16 Apr 2009

Dewan Bedah Hospital Daerah Besut Tidak Selamat

Kuala Terengganu - Dewan bedah Hospital Daerah Besut di Jertih yang menelan belanja jutaan ringgit belum dapat digunakan meskipun ia telah siap dibina beberapa tahun lalu.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokthar berkata demikian dalam menjawab soalan ADUN Wakaf Mempelam Hj Mohd Abdul Wahid Endut.

Dr A.Rahman berkata berikutan hasil beberapa siri ujian termasuk ujian kebersihan dan ujian suci hama yang dilakukan mendapati ia tidak selamat untuk digunakan.

Jelasnya, mengikut jadual pembinaan, dewan itu siap pada 30 November 2005 tetapi penggunaannya terpaksa ditangguhkan kerana masalah tersebut.

''Jadi isu bangunan 'berkulat' seperti dibangkitkan anggota pembangkang tidak betul sebab yang penting kita mahu memastikan ia 100 peratus selamat digunakan," katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Hj. Mohd Abdul Wahid Endut yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah bangun dan menyatakan maklumat tentang bangunan tersebut berkulat diberitahu kepada beliau di Parlimen oleh Ahli Parlimen Besut.

Pendedahan Wahid kemudiannya dihalang oleh Yang Dipertua Dewan seolah-olah mahu menutup perbezaan pendapat antara Dr. A Rahman yang juga ADUN Kuala Besut dengan Dr. Abdullah Mat Zin berkenaan masalah hospital berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan