PUTRAJAYA - Kerajaan telah bersetuju supaya opsyen semula diberikan kepada anggota sektor awam yang telah memilih Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bertukar kepada skim pencen dalam tempoh sebulan bermula 1 Januari 2009. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai perjawatan dan gaji pekerja-pekerja sektor awam itu adalah untuk memberi peluang kepada anggota sektor awam mengambil skim pencen yang akan mula berkuat kuasa 1 Februari depan. "Selain itu, kerajaan juga telah bersetuju untuk memberi ex-gratia kepada ibubapa anggota perkhidmatan awam yang meninggal dunia berkuat kuasa 1 Januari 2009," katanya semasa majlis penyampaian Anugerah Kualiti Sektor Awam di sini, hari ini.Abdullah berkata, dua lagi keputusan yang dicapai dalam mesyuarat itu adalah untuk membuat penambahbaikan terhadap skim pegawai siasatan, penolong pengarah siasatan dan pembantu siasatan bagi memperkasa kegiatan pencegahan rasuah dan pembanterasan jenayah. "Bagi urusan pencegahan rasuah, skim perkhidmatan tersebut akan bermula dengan kelulusan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. "Bagi PDRM pula, penambahbaikan bagi skim perkhidmatan pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan konstabel berkuat kuasa pada 1 Januari 2009," katanya. Abdullah berkata, selain itu, memandangkan persamaan fungsi dan tugas antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, TLDM dan PDRM dari aspek penguatkuasaan undang-undang, kerajaan telah bersetuju supaya kadar tambahan 20 peratus atas kadar kenaikan gaji diberi kepada pegawai dan pegawai lain-lain pangkat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berkuat kuasa 1 Januari depan.
1 ulasan:
banyak nya kemudahan kakitangan kerajaan ye, rakyat yang lain apa dapat?
Catat Ulasan