Ruang Iklan Untuk Disewa (RM50 sahaja Sebulan) Sila Email dppkbesut@gmail.com untuk tempahan.

TV ONLINE

25 Jul 2009

Bekas Naib Presiden MIC sertai PKR


Barisan Nasional (BN) menerima satu lagi tamparan hebat hari ini apabila bekas Naib Presiden MIC, Dato' SS Subramaniam mengumumkan menyertai KeADILan dalam satu majlis yang diadakan di MBPJ tengahari tadi.

Sebelum ini, bekas pemimpin MCA, Dato' Chua Jui Ming telah menyertai KeADILan dan menyatakan sokongan secara terbuka terhadap dasar-dasar perjuangan yang dibawa oleh Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Tengahari tadi, dalam majlis di Petaling Jaya itu, Subramaniam juga mengumumkan bahawa 10 buah cawangan MIC di Petaling Jaya akan dibubarkan dan ahli-ahlinya akan menyertai KeADILan secara besar-besaran.

Dianggarkan seramai 1,700 ahli MIC daripada cawangan-cawangan tersebut akan menyertai KeADILan.

"Saya telah menyokong KeADILan dan Anwar Ibrahim sejak dahulu lagi, cuma sekarang saya dapat memberanikan diri untuk menyatakan bahawa saya akan sertai parti ini,"katanya sambil mendapat sorakan daripada lebih 350 hadirin dalam majlis tersebut.

Menurut laporan daripada Malaysiakini, Subramaniam telah berkhidmat sebagai Naib Presiden MIC lebih 20 tahun dan juga merupakan bekas Naib Pengerusi MIC Selangor untuk tiga dekad.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi Adun Bukit Raja dan Ahli Parlimen Segamat.

Sementara itu, di awal majlis tersebut, pemimpin MIC cawangan Pekan Meru, AR Palaya juga mengumumkan menyertai KeADILan dan akan membubarkan cawangannya.

Manek Urai :Ibrahim Ali agih agihkan wang membeli undi



Ustaz Kassim Ahmad: Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato Ibrahim Ali mengetuai pembahagian wang di Manek Urai.

”Saya telah didatangi oleh seorang tuan punya bengkel kereta yang muda, katanya beliau bersama-sama golongan pemuda seramai lebih kurang 30 orang didatangi oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Pasir Mas, saudara (Dato’) Ibrahim Ali,

”(Ibrahim Ali) rupa-rupanya mengetuai pembahagian wang, tiap-tiap seorang ahli (pemilik) bengkel itu memperolehi RM300,”kata Ustaz Kassim ketika berucap dalam Majlis Kesyukuran Meraikan Kemenangan DUN Manek Urai di Kampung Merang, Setiu, semalam.

24 Jul 2009

Pemuda Pakatan serah memorandum gesa suruhanjaya siasat kematian Teoh


Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum kepada Suhakam sebentar tadi menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja yang skopnya lebih luas bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Pihaknya mahu suruhanjaya yang kini diadakan untuk melihat mekanisme urusan soal siasat SPRM, diperluaskan meliputi punca dan siapa yang bertanggungjawab atas kematian Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor minggu lalu.

Ia diserahkan kepada Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N. Siva Subramaniam pada pukul 3 petang di sini.

Memorandum diserahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan At-Tantawi dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd. Akin.

"Keputusan kerajaan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang terbatas kepada skop bagi menyiasat dan menilai kaedah yang diguna pakai SPRM semasa soal siasat yang dijalankan dan menentukan sama ada berlakunya pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh disoal siasat sahaja.

"Oleh itu, Pemuda Pakatan menegaskan keputusan kerajaan mengehadkan peranan Suruhanjaya Diraja menunjukkan kerajaan tidak telus dalam menyelesaikan misteri kematian Teoh.

"Suruhanjaya itu perlu mempunyai peranan yang lebih besar dan tidak dihadkan dengan hanya tugas-tugas tertentu sahaja," kata memorandum yang diserahkan.

Kes liwat Anwar ditangguh 2 September


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan pendakwaraya menangguh pemberian bahan bukti yang penting kepada peguam bela Anwar Ibrahim sehingga Mahkamah Rayuan membuat keputusan ke atas isu berkenaan.

Pendakwaraya sebelum ini memohon menangguhkan arahan mahkamah sama bahawa bukti-bukti dalam kes liwat itu harus diserahkan kepada Anwar bagi membolehkan beliau menyediakan pembelaan tuntas terhadap pertuduhan itu.

Justeru mahkamah akan mendengar semula kes itu pada 2 September ini.

"Mahkamah telah memutuskan bahawa permohonan pendakwaraya untuk penangguhan pelaksanaan terhadap arahan untuk menyerahkan bukti dibenarkan. Oleh itu penggantungan diberikan sehingga Mahkamah Rayuan membuat keputusan" kata peguam Anwar Sankara Nair.

Sankara berkata mahkamah hari ini turut menetapkan 2 September untuk sebutan kes permohonan Anwar bagi membatalkan pertuduhan itu atas alasan ia tidak berasas dan dibuat dengan niat jahat.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pada 16 Julai, Datuk Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen dan barangan bukti tertentu dari pihak pendakwa sebelum kes bermula.

Antara dokumen yang dibenarkan oleh pihak mahkamah untuk diberikan kepada pihak pembelaan ialah kenyataan Mohd Saiful, kenyataan Dr Osman Abdul Hamid daripada Hospital Pusrawi, pemilik kondominium berkenaan dan tiga saksi utama lain.

Selain itu, salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pos pengawal di kondominium terbabit juga akan diserahkan.

Bagaimanapun hakim menolak permohonan untuk mengarahkan pendakwaraya menyerahkan bukti-bukti sampel DNA untuk membolehkan peguam Anwar memperakukan kesahihan bukti berkenaan.

Peguambela Anwar, Amer Hamzah Arshad dalam hujahnya hari ini berkata, pihak mahkamah perlu memberikan ruang kepada pihak pembelaan untuk meneliti terlebih dahulu bukti yang ada pada pendakwaraya supaya perbicaraan tidak berat sebelah.

Anwar telah dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Azlan, 24 tahun di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun tahun lepas.

Namun, laporan doktor Hospital Pusrawi dan Hospital Kuala Lumpur mengesahkan tidak ada bukti klinikal menunjukkan Saiful di liwat.

Anwar berkata pendakwaan itu adalah konspirasi politik kedua didalangi oleh Najib razak untuk menekan pemimpin-pemimpin Pakatan rakyat yang menjadi seteru politik beliau. -TVA

Kenduri bagi mengisi Tabung Pilihan Raya PAS Besut



Hari ini sedang berlangsung Majlis Kenduri bagi mengutip derma bagi mengisi Tabung Pilihan Raya Umum yang akan datang serentak di 4 dun. DUN Kuala besut berlangsung di Markaz Tarbiah Beris Baru, DUN Kota Putera di Gong Bayor, DUN Jerteh di Masjid Padang Landak & DUN Hulu Besut di MTD Lubok Kawah.



Bagi menjayakan jamuan rakyat sebanyak lapan ekor lembu akan dikorbankan iaitu dua ekor bagi setiap Dun.

Pada sebelah malam nanti, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh akan menyampaikan ceramah di Pusat Tarbiyah Darul Ridwan Kampung Baru.

Manakala pada keesokan hari pula Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menyampaikan ceramahnya di Belakang Masjid Bandar Jertih bersama ahli Majlis Tertinggi KeADIlan, Dr Badrul Amim Baharom.

Ustaz Harun Taib: Saya kata secara umum, dia yang tafsir, sepatutnya Nizar tak pergi.




http://www.buletinonline.net/images/stories/berita7/ada%20dua%20subahat%20dengan%20tidak.jpgKetua Dewan Ulama' PAS, Dato’ Ustaz Harun Taib, menafikan kenyataan beliau berkaitan memasang lilin ditujukan kepada sesuatu peristiwa khusus atau kepada seseorang.

Katanya, beliau memberikan panduan secara umum sebagaimana menurut ajaran Islam berdasarkan hadis RasuluLlah SAW.

Beliau berkata demikian dalam satu Majlis Dailog di Kampung Bukit Tunggal, dekat sini, petang tadi.

”Islam tidak membuat hukum untuk satu-satu orang, Islam membuat garis panduan untuk semua orang, kita ada dua (pilihan) sebagaimana dalam hadis Rasulullah,

(Gambar - Ustaz Harun menjelaskan dlam Islam ada dua, subahat atau tidak, tinggalkan yang ragu kepada yang tidak ragu)

”ada (keadaan) yang ragu ada yang subahat, orang yang membersihkan dari subahat dia membersihkan imannya, agamanya dan maruahnya, orang yang subahat ini umpama langkah sempadan,

”saya tak tujukan kepada dia (Nizar), tapi kaedah umum, ada subahat, ada tak subahat, saya kata secara umum, dia (media tersebut) yang tafsir, sepatutnya Nizar tak pergi,”katanya ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar media perdana hari ini berkaitan perkara tersebut.

23 Jul 2009

PAS Besut fokus gerak kerja pilihan raya

BESUT, 23 Julai (Hrkh) - Peluang PAS Terengganu mengulangi kecemerlangan 1999 semakin terbuka luas sekarang ekoran krisis dalaman Umno yang tiada penghujung.

Mengambil kira momentum itu PAS Besut mempertingkatkan gerak kerja bagi menarik sokongan rakyat menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Dan esok PAS kawasan itu menganjurkan program jamuan makan bersama pemimpin tertinggi PAS Pusat yang akan diadakan di seluruh kawasan parlimen Besut.

Ketua Penerangan PAS Besut, Ustaz Wan Sukri Wan Isa berkata, empat Majlis Tindakan Dun (MTD) akan mengadakan jamuan makan bersama pemimpin tertinggi PAS yang hadir menemui masyarakat setempat.

Katanya, pimpinan PAS Pusat akan diketuai Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan turut disertai Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

"Jamuan makan sambil menderma yang bermula jam 10 pagi hingga 6 petang itu diadakan bagi mengisi tabung pilihan raya empat MTD di kawasan Parlimen Besut," katanya di sini.

MTD terbabit iaitu Kuala Besut, Kota Putera, Jertih dan Hulu Besut.

Menurutnya Ustazah Nuridah akan memulakan lawatan menemui penduduk setempat mulai jam 10 pagi, manakala Ustaz Nasharuddin mengadakan lawatan pada sebelah petang.

Kata beliau program itu bermula di MTD Kuala Besut mulai jam 10 pagi, diikuti Dun Kota Putera bertempat di Markas PAS Cawangan Gong Bayor kemudian Dun Hulu Besut bertempat di Markas Kampung Lubok Kawah.

Lawatan Timbalan Presiden pula bermula selepas solat Jumaat di Markas PAS Kampung Baru diikuti Dun Kota Putera, Dun Jertih dan Dun Besut.

Wan Sukri juga berkata, bagi menjayakan jamuan rakyat sebanyak lapan ekor lembu akan dikorbankan iaitu dua ekor bagi setiap Dun.

Pada sebelah malam kedua-dua pemimpin PAS terbabit akan menyampaikan ceramah di Pusat Tarbiyah Darul Ridwan Kampung Baru.

Manakala pada hari Sabtu pula Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menyampaikan ceramahnya di Belakang Masjid Bandar Jertih bersama ahli Majlis Tertinggi KeADIlan, Dr Badrul Amim Baharom. - Ramli Yamat

PAS harap Suruhanjaya Diraja menyiasat kematian Teoh benar-benar bebas



http://www.buletinonline.net/images/stories/berita7/PerasmianBulanTarbawi%20019.jpgMARANG – PAS bersyukur kerana jamaah menteri hari ini akur dengan desakan pelbagai pihak supaya ditubuhkan satu Suruhanjaya DiRaja menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa berharap Suruhanjaya tersebut benar-benar bebas dan menjalankan penyiasatan secara menyeluruh serta professional.

”Pakatan Rakyat telah bermesyuarat pada minggu lepas dan telah membuat satu keputusan supaya satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat kes kematian ini,

”dan AlhamduliLlah, pada hari ini Suruhanjaya tersebut telah ditubuhkan dan kita mengharapkan Suruahnajya Diraja ini menjadi surahanjaya yang benar-benar bebas, dan professional sifatnya, untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,”katanya ketika ditemui selepas melancarkan program Bulan Tarbiyah, disini, semalam.

Beliau berkata, PAS tidak berhasrat meletakkan sebarang andaian terhadap kes kematian misteri Teoh dan akan menunggu keputusan hasil penyiasatan oleh Suruhanjaya DiRaja tersebut.

Sehubungan itu, katanya, PAS berpegang dengan asas Islam yang membenarkan seseorang Islam menziarahi dan mengucapkan takziah terhadap kematian seseorang bukan Islam.

Menurutnya, kehadiran wakil PAS ke majlis ziarah takziah mendiang Teoh di Melaka adalah selaras dengan keputusan bersyarat Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang diadakan Sabtu lalu.

”kita meletakkan syarat, ziarah takziah dibolehkan, tetapi tidak boleh melibatkan dengan hal-hal yang berkaitan dengan agama,” jelasnya.

Apabila ditanya berkaitan ahli PAS yang menyalakan lilin, beliau berkata PAS akan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak Dewan Ulamak bagi menentukan pandangannya (terhadap perkara itu).

Turut hadir dalam Majlis Perasmian Bulan Tarbiyah tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Setiausaha, Haji yahaya Ali dan Ketua Dewan Pemuda, Ustaz Mohd Nor Hamzah. BO

Warkah Takziah Daripada Tuan Guru Nik Aziz Kepada Keluarga Mendiang Teoh Beng Hock

27 Rejab 1430 / 20 Julai 2009

Ibu bapa kepada
Mendiang Teoh Beng Hock
D/a Pejabat YAB Menteri Besar Selangor
Tingkat 21, Bangunan SSAAS
40502 Shah Alam
Selangor Darul Ehsan.

Warkah Takziah

Saya cukup tergamam apabila menerima berita penuh misteri di hari pemergian mendiang Teoh Beng Hock pada awal petang 16 Julai 2009. Lebih tragik apabila bencana yang menimpa mendiang, berlaku sewaktu beliau sedang menjadi tetamu kepada SPRM; ketika beliau sedang memberikan kerjasama ke atas sebuah kes dalam siasatan.

Dalam Islam, tidak syak lagi tetamu wajib dihormati, bahkan dilindungi. Tidak boleh sekali-kali timbul sebarang syak akan status keselamatan tetamu dalam apa jua keadaan kerana sebaik-baik tetamu diterima sebagai tetamu maka Islam secara otomatik mewajibkan jaminan perlindungan diberi oleh tuan rumah. Jaminan perlindungan ini meliputi soal maruah, air muka, keturunan, harta benda dan nyawa. Ini soal hak asasi yang dijamin oleh Islam. Ini konsepnya.

Bagaimanapun, apa yang berlaku di Plaza Masalam di Shah Alam pada Khamis yang sugul itu cukup-cukup membuatkan saya menjadi terkejut. Hati saya sebak, enggan menerima dan tidak dapat menahan kesedihan. Saya sungguh-sungguh tidak dapat membayangkan bagaimana ini semua boleh terjadi. Saya cukup yakin, untuk dilantik ke jawatan Setiausaha Politik, sudah tentu mendiang adalah seorang yang terdidik, telah melalui liku-liku pengalaman, dan terdedah dengan pelbagai rancah kehidupan. Bukan senang untuk melahirkan satu-satu bakat, kebolehan dan ketokohan.

Kepada kedua ibu bapa dan seluruh ahli keluarga mendiang, saya mohonlah berpesan supaya teruskan bersabar. Tabahkan hati sewaktu mengharungi ujian yang segenting ini. Di sisi Islam, jika Allah menguji kita dengan sesuatu musibah nescaya di sana akan ada kebaikan yang akan menanti kita. Terus bersangka baiklah. Sementara menantikan sebuah Suruhanjaya Bebas di Raja yang perlu di lantik dalam tempoh terdekat, izinkan saya mengangkat sekawat nota takziah buat Tuan , Puan serta seluruh ahli keluarga. Insya-Allah, kita akan dapat mengetahui punca sebenar yang telah meragut nyawa mendiang melalui siasatan yang sehabis telus dengan pembentukan Suruhanjaya yang sangat diperlukan ketika ini. Jika dalam banyak hal kita sering bercakap tentang integriti dan ketelusan , maka inilah ketika untuk membuktikannya.

Dari siasatan Suruhanjaya itu, rakyat berhak untuk mendapat maklumat penuh tentang apa yang sebenarnya telah terjadi. Sudah tentu andaian-andaian longgar yang sekadar mengesahkan, “mendiang mati kerana jatuh dari tempat yang tinggi” tidak boleh diterima. Saya berharap, jangan ada satupun fakta biarpun sejarum patah, yang sengaja ditinggalkan di dalam peti siasatan sewaktu mengendalikan pos mortem ke atas tragedi ini.

Dalam hal ini, semua pihak harus sedar bahawa melakukan siasatan dan bercakap benar adalah menjadi kewajipan. Jika tidak, di akhirat kelak, dari segi Islam semua orang akan tetap diheret juga untuk dipaksa bercakap benar.


Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud,

“pada hari (itu) dibukakan segala rahsia. Maka sekali-kali tidak ada bagi manusia itu satu kekuatanpun dan tidak (pula) seorang penolong”- [ on the day when men’s consciences are searched (for belief, intention etc.) (at the moment) men shall have no power (to defend himself) and no helper.”] - ( Surah Ath Thaariq : Ayat 9 dan 10).


Sementara itu, teruskan bersabar dan kuatkanlah kesabaran.


Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS merangkap
Menteri Besar Kelantan

www.blogtokguru.com

22 Jul 2009

Ahli UMNO demonstrasi sokong SPRM, polis

Mereka membawa kain rentang yang bertulis 'Umno bahagian Ampang yakin kredibiliti SPRM dan polis untuk teruskan siasatan' dan 'Umno bahagian Ampang menyokong tindakan SPRM dan polis".Kira-kira 60 penyokong Umno dan parti komponen BN menyertai demonstrasi di hadapan pusat membeli-belah Ampang Point untuk menyatakan sokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis untuk meneruskan siasatan terhadap kematian Teoh Beng Hock dan tidak mahu ianya dipolitik oleh parti pembangkang.

Perhimpunan selama kira-kira 15 minit diketuai oleh ketua Umno bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.

Ia disertai ahli Umno dari bahagian Ampang, Gombak dan Pandan.

Mereka juga membawa poster yang antaranya bertulis 'Jangan ganggu tugas SPRM dan polis, teruskan siasatan' dan 'Pembangkang jangan alihkan isu!!!'. Mereka turut melaungkan 'Hidup Umno' dan 'Hidup BN'.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ismail menegaskan sokongan kepada SPRM yang menurutnya mempunyai imuniti sewajarnya dalam menjalankan siasatan.

Katanya, mereka juga memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada polis dalam menjalankan siasatan secara adil dan profesional.

Polis arah bersurai

Ismail berkata, mereka percaya amanah yang diberikan kepada SPRM dan polis akan dilaksanakan menurut budibicara dan undang-undang negara sebagai badan bebas yang berkanun.

Beliau juga memberi amaran tegas kepada pihak-pihak yang menurutnya tidak bertanggungjawab supaya jangan menimbulkan isu berkauman daripada kes kematian Teo tersebut.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas itu, Ismail menyampaikan simpati mereka kepada keluarga Teoh.

Sambil menggesa supaya isu itu tidak dipolitikkan, beliau sebaliknya berkata, isu sebenarnya ialah rasuah dalam kepimpinan negeri selangor.

Sehubungan itu, beliau menyataka sokongan penuh kepada SPRM dan polis supaya meneruskan siasatan rasuah dalam kepimpinan negeri Selangor tanpa sebarang tekanan dan berat sebelah.

Oleh itu, Ismail meminta rakyat supaya jangan terkeliru dengan isu tersebut dan tidak terpengaruh dengan dakyah dan kenyataan berat sebelah parti pembangkang, sehinggalah selesai siasatan polis.

Ketika sidang akhbar tersebut, pegawai polis menemui Ismail dan meminta beliau mengarahkan perhimpunan itu bersurai.

Berikutan itu, Ismail dengan mengguna pembesar suara, meminta mereka bersurai.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang, ACP Abdul Jalil Hasan memberitahu pemberita bahawa perhimpunan itu diadakan tanpa permit polis.

Oleh itu, katanya, polis akan memanggil pihak penganjur untuk memberi keterangan.

Katanya, pihak polis mengarahkan mereka bersurai kerana perhimpunan itu mengganggu lalulintas di Jalan Ampang.

Akhirnya Najib akur.. Tubuh Suruhanjaya Diraja

Kabinet sebentar tadi memutuskan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini.

Pada sidang media itu, Najib berkata satu inkues yang diketuai oleh majistret juga akan diadakan untuk menentukan punca kematian Teoh.

"Kabinet putuskan tiga perkara iaitu sebuah suruhanjaya diraja akan diwujudkan untuk meneliti dan mengkaji peraturan soal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ini bagi menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi dalam kes itu langkah ini untuk memastikan perkara yang sama tidak berulang," katanya.

Najib berkata, Suruhanjaya Diraja dan inkues itu mungkin akan memulakan tugas minggu depan.

Keputusan rasmi kabinet itu yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak dalam satu sidang media khas di pejabat perdana menteri di Putrajaya menyebut:

Pertama, Kementerian Dalam Negeri dan polis diarahkan menyelesaikan siasatan secepat mungkin dan laporan siasatan tersebut, yang sedang berjalan, akan diumumkan.

Dua, satu inkues atau siasatan awam yang diketuai oleh seorang majistret untuk menentukan punca kematian Teoh.

Tiga, menubuhkan suruhanjaya diraja dengan bidang kuasa khas untuk menilai kaedah soal siasat yang diguna pakai oleh SPRM dan menentukan sama ada pernah berlaku pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh disiasat mulai petang 15 Jun hingga awal pagi esoknya.



Susulan kematian mengejut dan penuh tanda tanya Teoh selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna peruntukan DUN di Selangor, banyak pihak menggesa penubuhan suruhanjaya tersebut.

Teoh merupakan setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Gambar Gerhana Matahari


Gerhana penuh matahari paling lama berlaku pagi tadi apabila bulan berada di antara matahari dan bumi menyebabkan sebahagian matahari terlindung. Atas kiri: Gambar dirakam di Menara Alor Setar. Atas kanan: Varanasi, India (AP). Bawah: Hyderabad, Pakistan (AP).

RM10,000 untuk pembunuh Teoh

Seorang individu berpangkat 'Datuk' menawarkan RM10,000 kepada mana-mana pihak yang boleh memberi maklumat yang membawa kepada penangkapan pembunuh Teoh Beng Hock.

Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming berkata rakyat amat tidak berpuas hati dengan kematian Teoh yang berada dibawah pengawasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sehinggakan seorang datuk yang tidak mahu identitinya didedahkan sanggup membuat tawaran sebegitu rupa.

"Ramai orang mahu tahu apakah punca dan situasi yang membawa kepada kematian Teoh, dan tawaran ini adalah galakan kepada mereka yang mempunyai maklumat untuk tampil ke hadapan dan membantu siasatan polis," kata Nga. TVA

Hishamuddin terlibat dalam konspirasi Musa dan Gani menzalimi Anwar



Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat dua aduan polis berhubung "kenyataan- kenyataan palsu" yang terdapat dalam afidavit pihak pendakwaan berhubung kes liwat terhadapnya dan juga tiada tindakan konkrit berhubung aduannya terhadap peguam negara dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Kenyataan tersebut berhubung siasatan terhadap Abdul Gani yang dituduh oleh mantan timbalan perdana menteri, dalam laporan polisnya, pernah terlibat memalsukan kes mata lebamnya.

Kedua-dua laporan polis itu akan dibuat awal petang ini.

Aduan pertama berhubung pendirian tiga hakim bebas yang menilai hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Abdul Gani yang mendapati seorang daripada anggota panel itu berhujah bahawa terdapat kes jenayah terhadap peguam negara.

Bagaimanapun afidavit yang disediakan oleh Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Datuk Razak dan timbalan pendakwaraya Hanafiah Zakariah, pada 30 Jun lalu, menyatakan ketiga-tiga hakim tersebut mendapati tiada kes terhadap Abdul Gani.

"Saya menemui kenyataan palsu yang terkandung di dalam afidavit tersebut. Saya percaya mereka menyedari kepalsuan kenyataan-kenyataan tersebut namun masih tetap memasukkannya untuk tujuan digunakan dalam prosiding mahkamah nanti," kata Anwar.

"Tindakan mereka adalah satu kesalahan jenayah dan menguatkan serta mengesahkan hujah bahawa saya berhadapan dengan pasukan pendakwaan yang merupakan sebahagian daripada konspirasi politik sebagaimana yang wujud ketika perbicaraan 1998 itu."

Ahli parlimen Permatang Pauh mendakwa "Razak dengan sengaja mengelirukan Mahkamah Tinggi" dengan berkata tiga hakim bersara tersebut Datuk Kadir Sulaiman, Datuk Mohd Noor Ahmad dan Datuk Mohama Noor Abdullah "mendapati Abdul Gani tidak terlibat dalam sebarang kesalahan jenayah."

"Razak ... sewajarnya menyedari sekurang-kurangnya seorang ahli panel daripada tiga hakim tersebut mendapati Abdul Gani sememangnya melakukan kesalahan jenayah," kata Anwar dalam satu kenyataan berhubung aduan polis terbarunya.

"Hanafiah pula selaku timbalan pendakwaraya kanan semestinya sudah menyiasat dan meneliti fakta-fakta tersebut sebelum memasukkan afidavit Razak yang mengandungi kenyataan palsu ke dalam afidavit pendakwaan (untuk menjawab permohonan Anwar agar kes liwatnya diketepikan)."

Kes ini akan disebut pada 24 Julai, sementara esok mahkamah akan mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perintah menyerahkan dokumen kes liwat kepada Anwar yang diperolehinya daripada hakim, 16 Julai lalu.

Aduan kedua Anwar dibuat berhubung dakwaan polis gagal menyiasat laporan olehnya pada 20 Februari lalu ke atas Abdul Gani dan Musa susulan peranan mereka yang dituduhnya memalsukan laporan polis berkaitan penahanannya pada 20 September 1998.

Peguam cara saya telah menghantar surat bertarikh 23 April lalu kepada ketua balai Damansara (Utama) untuk mengetahui status laporan, namun sehingga ke saat ini belum ada sebarang jawapan," kata Anwar lagi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein - dalam jawapannya kepada soalan Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah di Dewan Rakyat 22 Jun lalu - berkata laporan yang dikemukakan Anwar telah dirujuk kepada SPRM untuk tindakan lanjut pada 21 Februari.

"Peguam saya kemudiannya menghantar surat bertarikh 26 Jun lalu kepada SPRM bertujuan untuk mengetahui kedudukan penyiasatan kerana kami belum mendapat sebarang maklum balas dari mereka selama ini," kata Anwar.

"Kami terkejut apabila menerima maklum balas bertulis bertarikh 10 Julai lalu yang menyatakan mereka telah menerima laporan tersebut, telah menelitinya dan mendapati kesalahan yang didakwa berlaku adalah luar dari bidang kuasa mereka.

"Mereka merujuk semula laporan tersebut kepada polis untuk tindakan selanjutnya."

Mantan timbalan perdana menteri itu menambah, perkembangan ini bermakna polis dan pegawai Kementerian Dalam Negeri "menyebabkan Hishammuddin mengelirukan Parlimen" dengan mengemukakan jawapan pada 22 Jun kepada Sivarasa, juga ahli parlimen Subang.

"Polis yang menerima semula laporan tersebut daripada SPRM gagal untuk berbuat apa-apa. Kesimpulannya adalah jelas - wujud satu perancangan dalam polis untuk memastikan tidak ada tindakan terhadap laporan yang dibuat oleh saya serta memastikan jenayah yang berlaku disembunyikan," kata Anwar dalam kenyataan yang sama.

"Oleh kerana laporan saya ini menyatakan Abdul Gani dan Musa terbabit memalsukan laporan, usaha menutup serta menyembunyikan dakwaan saya ini pastinya datang dari pihak atasan."

Akibat sikap kedua-dua agensi penguatkuasaan itu, Anwar mendakwa Abdul Gani dan Musa "dilindungi secara politik demi menyembunyikan peranan yang dimainkan mereka merekayasa pertuduhan palsu terhadap saya pada 1998 dan sekarang," katanya lagi. greenboc

21 Jul 2009

Manohara sedia hadapi saman RM105j


“Kami sekeluarga tidak takut disaman berapa banyak pun. Tuhan memihak pada yang benar dan harap berbalik rezeki (menang dalam saman itu) kepada kami,” kata Daisy Fajarina, 44, ibu mentua Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra.

Daisy dihubungi di Indonesia bagi mengulas tindakan saman fitnah berjumlah RM105 juta dikemukakan Tengku Muhammad Fakhry terhadapnya semalam dan anak kedua Daisy, Manohara Odelia Pinot, 17, yang juga isteri Tengku Temenggong Kelantan.

Saman berkenaan difailkan di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di sini, semalam melalui peguam, Mohd Haaziq Pillay.

Tengku Muhammad Fakhry, 31, sebagai plaintif, menamakan ibu mentuanya, Daisy Fajarina sebagai defendan pertama dan isterinya, Manohara Odelia Pinot defendan kedua.

Sebelum ini, pada 5 Julai lalu, putera ketiga Sultan Kelantan itu memfailkan dua saman di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan, bagi menuntut Manohara kembali taat kepadanya dan mengembalikan semula hutang sebelum dan selepas berkahwin sebanyak RM972,750.

Mengenai kemelut kekeluargaan yang terjadi itu, Daisy berkata, naluri ibu dimilikinya tidak berapa tepat apabila menganggap Tengku Muhammad Fakhry boleh menjaga Manohara dengan baik.

“Saya amat percaya kepadanya (Tengku Muhammad Fakhry) ketika kali pertama bertemu dalam satu majlis makan malam pada 2006 yang turut dihadiri Manohara.

“Beliau datang kepada saya dan dengan sopan meminta kebenaran: ‘Boleh tidak saya berkenalan dengan puteri ibu (Manohara)’. Saya membenarkan kerana I really trust him so much (saya sangat percayakannya)...,” katanya.

Selain Manohara, dia memiliki seorang lagi cahaya mata perempuan iaitu Dewi, 20.

Wartawan cuba mendapatkan ulasan Manohara, tetapi Daisy memberitahu anaknya tiada di rumah kerana berada di lokasi penggambaran filem bertajuk ‘Manohara’.

Menurutnya, Manohara juga sibuk menyiapkan biografi mengenai kisah kehidupan dirinya dan dalam proses mencari penerbit. Manohara bercadang melancarkan buku berkenaan di Amerika Syarikat.

Ditanya persediaannya untuk menghadapi tuntutan saman itu, Daisy memberitahu dia dan anaknya mempunyai peguam bagi menangkis dakwaan Tengku Muhammad Fakhry bahawa dia melakukan fitnah.

“Saya dan anak sudah bersedia ke sana (Malaysia) pada bila-bila masa diperlukan. Dia (Tengku Muhammad Fakhry) harus menanggung segala perbuatan terhadap Manohara.

“Manohara juga sedang dalam perancangan untuk bercerai. Dia tidak akan kembali kepada Tengku Muhammad Fakhry,” katanya.

Tengku Muhammad Fakhry dan Manohara yang memegang gelaran Cik Puan Temenggong Kelantan berkahwin pada 26 Ogos tahun lalu dan menetap di Istana Mahkota, Kubang Kerian.

Selepas sembilan bulan berkahwin, Manohara pulang ke Indonesia dan enggan kembali.

Kisah bekas model itu mendapat liputan meluas media cetak dan elektronik Indonesia sehingga mengundang pelbagai persepsi negatif.

Berita mengenai Manohara yang melarikan diri daripada suaminya ketika di Singapura, baru-baru ini, mendapat liputan meluas akhbar di Indonesia.

Manohara yang mendakwa didera secara fizikal dan seksual oleh suaminya turut menjadi bahan berita utama 10 stesen televisyen swasta Indonesia yang menyiarkan sidang media dan wawancara dengannya sekembali ke Jakarta.

Pemimpin Pakatan Rakyat memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Teoh.

Kesedihan menyelubungi mereka yang menanti kenderaan yang membawa jenazah Teo Beng Hock di Taman Peringatan Nirvana , Semenyih. Jenazah mendiang sebelum itu dibawa balik ke Melaka bagi membolehkan acara sembahyang dan memberi penghormatan terakhir di kampong halamannya. Pakatan Rakyat dan DAP khasnya kehilangan seorang anak muda yang sungguh berdedikasi terhadap perjuangan membela rakyat

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bersama pemimpin Pakatan Rakyat dilihat hadir memberi penghormatan kepada mendiang dan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. Turut hadir Tn. Hj. Mohd Sabu, YB Dr. Shafie Abu Bakar, YB Dr. Abd. Rani, YB Khalid Samad, YB Lee kim Sin.

20 Jul 2009

Gambar Pengkebumian Teoh Beng Hock

Teoh mati 4-5 jam sebelum ditemui

Siasatan awal mendapati Teoh Beng Hock sudah meninggal dunia empat atau lima jam selepas mayatnya ditemui mati dekat pejabat Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pukul 1.30 tengah hari Khamis lalu, kata ketua polis negeri.

Satu serpihan selak penutup tingkap pejabat SPRM itu, di Plaza Masalam di Shah Alam, turut ditemui dekat tempat mayat ditemui, kata Datuk Khalid Abu Bakar hari ini.

Dalam sidang media bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan di ibu pejabat polis negeri di Shah Alam, Khalid berkata rakaman CCTV menunjukkan setiausaha politik seorang exco Selangor memasuki bangunan itu jam 5.15 petang Rabu.

Bagaimanapun tidak rekod Teoh keluar keesokannya selepas dilaporkan selesai siasatan jam 3.45 pagi Khamis.

Khalid juga berkata polis sudah mendapat telefon bimbit Teoh daripada seorang pegawai penyiasat SPRM.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut berkenaan rekod telefon tersebut kerana masih dalam siasatan polis.

Musa, dalam sidang itu, berkata polis setakat ini telah berjaya menyiasat 60 peratus kes kematian tersebut - yang diselubungi pelbagai persoalan.





Saudara Abu Khir bersama Khairul Che Lah






Saudara Aminuddin Jalil bersama ayahanda kepada Teoh Beng Hock

PRK N41 Manek Urai (44) : UMNO keluar duit juta juta, Bank Kuala Krai tutup sementara



http://www.buletinonline.net/images/stories/ManekUrai/paklahceramahpayadatu.jpgPengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bio-Teknologi Kerajaan Negeri Kelantan YB Che Abdullah Mat Nawi berkata terlalu banyak wang yang digunakan oleh UMNO dan Barisan Nasional untuk membeli (merasuah) pengundi dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Ngeri Manek Urai baru-baru ini.

Beliau berkata beberapa bank di bandar Kuala Krai terpaksa ditutup sehari sebelum hari mengundi kerana kehabisan wang, akibat terlalu banyak wang yang dikeluarkan oleh jentera UMNO/BN.

”Bank di Kuala Krai pada sehari sebelum mengundi terpaksa (di) tutup kerana habis duit, (telah) dikeluarkan beberapa juta (ringgit) dalam masa sebentar (yang singkat),”katanya

Beliau berkata demikian dalam ucapany dalam satu Majlis Penerangan di Kampung Paya Datu, Teluk Pasu, semalam.

Menurutnya, ketika jentera perayu undi PAS mengadakan lawatan rumah ke rumah, ada tuan rumah yang mengeluarkan beberapa sampul surat berisi wang betulis dengan nama-nama pemimpin UMNO, menunjukkan banyaknya wang yang mereka terima.

Sebelum itu, dalam majlis yang sama, beliau mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya benar-benar telus, supaya mengambil tindakan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin yang telah merasuah secara terbuka pengundi-pengundi Manek Urai.

Katanya, janji Muhyidin untuk membina jambatan di Manek Urai Lama, sekiranya menang pilihanraya tersebut adalah satu rasuah yang cukup jelas.

”Perkataan itu (janji-janji) sepatutnya tidak keluar dari mulut seorang tokoh demokratik, kerana itu merupakan rasuah yang cukup jelas,

”sebagai kerajaan tidak boleh menjanjikan upah kemenangan itu dengan satu benda,”tegasnya.

Katanya, sebagai sebuah kerajaan, samada menang atau kalah, sepatutnya sesebuah kerajaan itu, mesti melaksanakan pembangunan untuk rakyat.

Menurutnya, kerajaan UMNO/BN pusat hanya pandai berjanji dan janji-janji tersebut tidak akan dilaksanakan.

Katanya, kini, setelah selesai pilihanraya kecil Manek Urai, rakyat dan pelbagai pihak menuntut supaya kerajaan pusat melaksanakan janji-janji yang telah dibuat, namun jawapan yang diterima sebalikya.

”Selepas pilihanraya (Manek Urai) apabila ditekan, supaya mereka melaksanakan semua janji-janji, tubek (keluar), hari ini pun keluar dalam suratkhabar,

”Dato’ Mustapha Mohd sebut, kita akan buat sekiranya ada peruntukan, (sedangkan) masa (ber) janji dalam pilihanraya, tidak sebut pun sekiranya ada peruntukan,”jelasnya.

Selain janji dan rasuah membeli undi, katanya, UMNO/BN juga menggunakan seluruh jentera kerajaan sehingga jabatan-jabatan yang tidak ada kena mengena dengan Manek Urai, dikerah membantu kempen UMNO/BN, seperti Universiti, Kastam dan lain-lain. BO

Zahid khinati umat islam

Pas mengecam tindakan Menteri Pertahanan Malaysia yang berjumpa dengan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak semasa Pertunjukan Udara Paris di Perancis Jun lepas (NST 19 Julai 2009). Pertemuan yang berlangsung selama 35 minit dengan Barak adalah satu pertemuan yang mengguriskan perasaan umat Islam di Palestin dan saudara seagama di Asia Barat.

Persoalannya adakah kerajaan Malaysia sudah mengiktiraf kerajaan haram ini. Zahid mesti disiasat kenapa beliau berani berbuat demikian. Paling merbahaya beliau ialah Menteri Pertahanan yang sanggup berjumpa dengan manusia yang saban hari menyembelih umat Islam di Palestin. Siapakah Zahid yang hendak berlagak hendak tunjuk hero kepada dunia untuk berbincang dengan Israel. Seperti sedia maklum bahawa pemimpin Israel bukan bangsa boleh berbincang. Israel hanya faham dengan bahasa jihad sahaja. Buktinya berapa banyak perundingan mengenai masalah Palestin terutamanya, telah gagal kerana dikhianati oleh Israel. Tentu kita masih ingat Dr Mahathir sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dahulupun menafikan pertemuan dengan pemimpin Israel kerana takut umat Islam marah. Sudah pasti pertemuan ini medapat restu daripada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib, ini satu lagi hadiah 1Malaysia pada rakyat. - Ustaz Idris Ahmad

Mati terbakar dalam Kelab Malam di Thailand




Tuanku Nur Zahirah tidak hadir Konvokesyen UDM kerana ‘Program Bersama Tokoh’ ?


KUALA TERENGGANU - Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah tidak berangkat hadir ke Majlis konvokesyen Universiti Darul Iman (UDM) dan tidak di masyhurkan sebagai Canselor pertama universiti tersebut.

Seorang kakitangan Universiti berkenaan memberitahu, bukan sahaja Tuanku Permaisuri tidak hadir malahan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said serta ahli-ahli Exconya juga turut tidak hadir.

Majlis makan malam rasmi yang dianjurkan oleh pihak Universiti itu hanya dihadiri oleh Yang DiPertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Seri Panglima Raja, Tengku Badruzaman Sultan Mahmud.

Perkara ini telah menimbulkan banyak spekulasi di kalangan rakyat negeri ini khususnya persoalan apakah sebabnya Yang DiPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong tidak berangkat ke majlis yang amat penting itu.

Ia adalah kerana, menurut sumber lain, pada hari Majlis Konvokesyen UDM, Tuanku Yang DiPertuan Agong berada di negeri ini, namun tidak ada sebarang kenyataan dikeluarkan, oleh mana-mana pihak, mengapa baginda tidak hadir.

Sebelum ini oleh pihak UDM memaklumkan Tuanku Permaisuri Agong akan berangkat hadir pada majlis konvokesyen yang julung-julung kali diadakan itu.

Pada 28 Jun lalu, Naib Canselor UDM, Profesor Datuk Dr. Alias Daud (gambar bawah) berkata, Tuanku Nur Zahirah telah menyatakan perkenan baginda untuk pelantikan tersebut dan persetujuan berangkat ke istiadat pemasyhuran itu.

"Pemasyhuran itu akan dibuat semasa majlis konvokesyen pertama UDM pada 14 hingga 16 Julai ini," katanya semasa majlis pendaftaran pelajar baru sesi 2009/2010 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Kampus Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (KUSZA) di Gong Badak.

Mengulas kelewatan penganjuran konvokesyen, Alias berkata, ia disebabkan pihaknya terpaksa menyediakan peralatan baru.

Tahun lalu, sebuah akhbar mendedahkan, UDM gagal mengadakan Konvokesyen selepas tiga tahun dinaik taraf sebagai universiti (dulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin atau KUSZA).

Sebaliknya pada tahun ini, walaupun konvokesyen berjaya diadakan, ianya dilihat tidak sempurna dengan ketidakhadiran Canselornya dan para graduan hanya menerima skrol Datuk Naib Canselor.

Pelbagai pendapat yang di utarakan oleh orang ramai mengulas ketidakhadiran Tuanku Permaisuri Agong.

Antaranya, mengaitkan kehadiran Bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh yang dijemput hadir dalam ‘program bersama tokoh’ yang dianjurkan oleh UDM semasa Minggu Mesra Siswa pada awal bulan ini. Buletinonline

19 Jul 2009

Himpunan memperingati kematian Teo Beng Hock di ganggu polis.

18 Julai, Ipoh : Sebagai memperingati dan memprotes diatas trajedi kematian penuh misteri seorang pembantu Exco Negeri Selangor,mendiang Teo Beng Hock, di sekitar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor semasa memberikan penerangan di pejabat berkenaan pada hari Khamis, 16 Julai 2009 , Pakatan Rakyat Perak telah mengadakan suatu perhimpunan menyalakan lilin berhampiran dengan Wisma DAP disini malam tadi.


Perhimpunan secara aman tersebut dihadiri lapisan masyarakat yang turut bersimpati diatas trajedi malang yang penuh misteri.Mereka hadir untuk menyatakan tanda kegelisahan rakyat dan menuntut keadilan untuk simangsa.

Turut hadhir dalam majlis itu ialah pimpinan Pakatan Rakyat Perak yang antaranya ialah, Lim Kit Siang , Ngeh Khoo Ham, Idham Lim dan lain-lain.

Dalam ucapannya mengenai isu kematian misteri tersebut Lim Kit Siang berkata, “ Siapa yang akan percaya , Teoh, 30 , akan membunuh diri dengan terjun dari tingkat 14 di Ibu Pejabat SPRM , sedangkan dia akan mendaftarkan perkahwinannya dengan seorang guru, Soh Cher Wei, 28 pada keesokannya dan Soh sedang mengandung dua bulan?”

“Insiden ini telah mencetuskan perasaan takut dan curiga orang ramai terhadap kebolehpercayaan SPRM khasnya dan pihak penguatkuasa kerajaan amnya dalam menjaga kepentingan rakyat dan Negara”

Lim berharap dapat menemui PM Najib Tun Razak sekembalinya dari luar negeri dalam masa yang terdekat ini.

Perhimpunan yang sederhana itu turut dikawal rapi dan dipantau oleh pasukan keselamatan yang membenarkan majlis tersebut berjalan sehingga jam lebih kurang 10.30malam. alhusseyn51

PEMUDABESUT @ HIMPIT10K

Berita berkaitan dalam PEMUDA BESUT

Blog Widget by LinkWithin

Hancur...Hancur..... Hancur Yahudi.....

ANTARA YANG WAJIB KITA LAKUKAN
Kita Mampu Melakukannya Insyaallah

Wahai Ummat Islam ! Marilah kita lakukan apa sahaja yang mampu kita lakukan demi saudara seagama dan seaqidah yang kini sedang dizalimi , dikepong dan diletupkan oleh Yahudi Alaihilaknatullah .

Mudah-mudahan kita tidak termasuk dalam golongan yang membiayai Yahudi untuk membunuh Ummat Islam di Palestine .


BOYCOTT ISRAEL CAMPAIGN

SENARAI BARANGAN YANG PERLU DIBOIKOT (SILA KLIK)

TAJUK SEBELUM....

PANDANGAN DALAM LAMAN INI
TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER & DPPKB

(DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BESUT, TERENGGANU DARUL IMAN)

©1429 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini
untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.