KUALA LUMPU
R: Ahli Parlimen Bayan  Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim hari ini terus menggemparkan  persidangan Dewan Rakyat apabila beliau menamakan lapan Ahli Parlimen  Barisan Nasional (BN) yang didakwa oleh Pakatan Rakyat (PR) akan  melompat parti dalam percubaan mengambil alih kerajaan pada 16 September  2008.
Mereka ialah wakil rakyat Kalabakan (Datuk Abdul Ghapur Sallehs),  Kimanis (Datuk Anifah Aman), Kinabatangan (Datuk Bung Moktar Radin),  Tawau (Dr Chua Soon Bui), Sepanggar (Eric Majimbun), Batu Pahat (Datuk  Dr Puad Zakarshi), Jerantut (Datuk Seri Tengku Azlan Ibni Sultan Abu  Bakar) dan Gua Musang (Tengku Razaleigh Hamzah).
Zahrain memberitahu dewan, beliau mula berasa kecewa dengan Parti  Keadilan Rakyat (PKR) apabila ketamakan kuasa dan keutamaan diri menjadi  keutamaan dalam percubaan merampas kuasa itu.
Dan apabila Timbalan Yang Dipertua, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar  bertanya siapakah timbalan yang dipertua dewan yang dimaksudkan oleh  Zahrain sebagai sebahagian daripada mereka yang akan melompat parti  menyertai pembangkang pada 16 September 2008, Zahrain dalam nada  menyindir berkata; “YB Timbalan Yang Dipertua pun tahu siapa dan saya  pun tahu siapa.”
Zahrain meneruskan ‘pembalunannya’ dengan menyelar para pemimpin PR  terutamanya Timbalan Presiden PKR, Senator Dr Syed Husin Ali yang  berkata, proses pembersihan dalam PKR kini telah selesai dengan tiadanya  lagi pemimpin-pemimpin sepertinya.
“Hakikatnya, saya ingin tegaskan di sini, bahawa Tuhan yang telah  melakukan proses pembersihan dalam PKR dengan membuka hati kami untuk  meninggalkan parti itu dan apa yang tinggal di dalam parti itulah yang  penuh dan bergelumang dengan najis,” ujarnya.
Beliau menasihati Syed Husin supaya membaca buku ‘Shit’ oleh sasterawan  negara, Profesor Emeritus Datuk Shanon Ahmad untuk memahami dengan lebih  lanjut apa yang beliau maksudkan.
“Dan hari ini, di dalam dewan yang mulia ini, saya ingin mendedahkan  pekung di dalam PKR supaya rakyat mengetahui permainan politik sebenar  PKR,” katanya.
N. Gobalakrishnan (PKR - Padang Serai) lantas bangun dan mencelah dengan  menuduh Zahrain sebagai hipokrit besar dan pengkhianat.
Wan Junaidi kemudiannya menegur Gobalakrishnan supaya tidak memanggil  ahli dewan yang lain dengan perkataan ‘kamu’ dan ‘pengkhianat’. Tian  Chua (PKR-Batu) kemudiannya bangun dan mengeluarkan sepucuk surat yang  ditulis oleh Zahrain kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng  yang memperlihatkan bahawa selepas insiden kegagalan 16 September 2008,  beliau (Zahrain) masih menunjukkan keyakinannya kepada kepimpinan PR  tidak seperti yang disebut di dalam dewan hari ini.
Kata Tian Chua, jika benar selepas 16 September Zahrain telah hilang  keyakinan kepada PR, kenapa dalam sepucuk surat bertarikh 8 Jun 2009  yang ditulis kepada pucuk pimpinan negeri, Zahrain mencadangkan Majlis  Kepimpinan PR Pulau Pinang patut bertemu sekurang-kurangnya sekali  sebulan supaya kepimpinan negeri boleh berbincang dan berinteraksi di  antara satu sama lain dengan lebih baik.
Tian Chua juga mendakwa, di dalam suratnya itu, Zahrain turut  mencadangkan supaya Guan Eng yang mempengerusikan mesyuarat tersebut.
“Orang yang beliau cadangkan supaya mempengerusikan mesyuarat PR itulah  yang beliau tuduh sebagai seorang berfikiran komunis, cauvanis dan  berfikiran sempit,” tegasnya.
Beliau kemudian terus membaca isi kandungan surat itu yang berbunyi:  “Berhubung pengesahan anugerah gelaran Datuk Seri, saya (Zahrain) ingin  menyampaikan rasa terima kasih dan penghargaan saya ke atas TYT (Tuan  Yang Terutama) Gabenor kerana bersetuju untuk memberikan anugerah ini  dengan sokongan saudara (Guan Eng).”
“Bagaimanapun saya difahamkan, TYT juga turut mencadangkan agar saudara  juga menerima anugerah yang sama tetapi saudara telah menolaknya dan TYT  kemudian mencadangkan agar anugerah itu diberikan kepada ayah saudara,  Lim Kit Siang yang telah banyak berjasa kepada negara.
“Dan sebagai tanda hormat kepada TYT, saya hanya akan menerima anugerah  Datuk Seri ini sekiranya ayah saudara turut bersetuju menerimanya.
“Saya ingin menjelaskan di sini bahawa saya berhasrat untuk bekerja  dengan lebih rapat dengan saudara dan mengekalkan hubungan yang ikhlas  serta mengukuhkan persaudaraan di antara kita. Saya juga memandang ke  hadapan untuk meneruskan kerjasama yang baik ini.”
Tian Chua kemudian berkata, kandungan surat itu dengan jelas menunjukkan  yang Zahrain bersetuju untuk menerima anugerah dan gelaran ‘Datuk  Seri’.
Zahrain kemudiannya mempertahankan dirinya dengan berkata surat itu  bukanlah untuk beliau memohon gelaran itu untuk dirinya.Mstar