Ruang Iklan Untuk Disewa (RM50 sahaja Sebulan) Sila Email dppkbesut@gmail.com untuk tempahan.

TV ONLINE

16 Jan 2010

Nafi Ugutan: Guan Eng Selar Ketua Polis Selangor

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyelar Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang bingkas menafikan ugutan untuk menahannya berhubung ucapan beliau pada Kongres Pakatan Rakyat Disember lalu.

Khalid sebelum ini mendakwa Guan Eng akan ditahan dan disoalsiasat kerana mengeluarkan kenyataan mendiang Teoh Beng Hock mati dibunuh.

Namun Ketua Polis Selangor itu mula berdolak dalih dengan mengatakan Guan Eng tidak akan ditahan.

Khalid mewar- warkan akan menahan Setiausaha Agung DAP ini kerana dikatakan beliau enggan memberi kerjasama kepada polis Selangor yang datang ke pejabatnya di Pulau Pinang

Kenyataan Khalid itu bagaimanapun disanggah Guan Eng, katanya beliau telah memberikan layanan yang baik kepada anggota polis berkenaan disaksikan wakil media tempatan yang hadir membuat liputan.

Sehubungan itu, Guan Eng kesal dengan tindakan Khalid yang cuba memutar belitkan keadaan bukan sahaja mencalarkan imejnya sebagai pemimpin bahkan imej PDRM turut mendapat tempias.

Sebelum ini Khalid juga bingkas memberi respon mahu mengambil tindakan kepada EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah hanya kerana saranannya supaya polis menghentikan siasatan kepada Guan Eng.

Pemerhati politik mengkritik polis yang bergegas mengambil tindakan kepada individu- individu yang langsung tiada kaitan dengan punca kematian Beng Hock sebaliknya membiarkan pihak- pihak berkepentingan kekal bebas.~TV Selangor

Jakim : Tiada 2 Undang-undang Berkaitan Isu Kalimah Allah


Kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mula dibidas cabang-cabang kerajaan sendiri.

Kali ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpendirian bahawa masyarakat Kristian di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak tidak boleh menggunakan kalimah Allah.

Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, tidak boleh ada dua jenis undang-undang dan peraturan berhubung isu Allah.

Badan hal-ehwal Islam persekutuan ini bersama-sama pimpinan gereja Kristian menyanggah kenyataan Nazri yang dilaporkan sebagai berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membenarkan kalimah itu terus digunakan di Sabah dan Sarawak.

Kenyataan Nazri ini disiarkan di muka hadapan akhbar The Borneo Post.

Wan Mohamad berhujah oleh kerana aturan telah ditentukan Kebinet berhubung isu ini, maka kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh pihak gereja.

Jakim berpandangan pengecualian untuk Sabah dan Sarawak tidak akan menyelesaikan polemik hari ini ekoran penghijrahan dan mobiliasasi rakyat negeri itu ke Semenanjung.

Wan Mohamad berkata perkara ini hanya boleh diselesaikan secara sistematik, melalui satu undang-undang dan aturan standard.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 16 Mei 1986 yang memutuskan bahawa kalimah Allah antara perkataan yang tidak boleh diizinkan penggunaannya untuk masyarakat bukan Islam.

Selain kalimah Allah, turut digazet eksklusif untuk masyarakat Islam adalah Baitullah, Solat dan Kaabah dibawah (Warta P.U (A) 15/82) dan (Pekeliling KKDN. S.59/3/6/A) bertarikh Dec 5 1986.

Kabinet sekali lagi menguatkusakan larangan itu pada 18 Oktober 2006 dan 1 November 2006. Kali terkahir dibawah pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 Januari 2008.

Sepuluh negeri kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan menguatkuasakan Enakmen Agama-Agama Bukan Islam 1988 yang menyekat penggunaan kalimah Allah secara oral mahupun bercetak.

Futsal Persahabatan antara Pemuda DUN-DUN Besut

Sebahagian dari AJK Pemuda Dun2 dalam Kaw Besut bergambar ramai sebelum perlawanan di mulakan
Sepak mula,Ketua Pemuda Besut Ust Zulkifli Kadir(2 dari kanan) dan Tim. Ketua Ust Kaspi Ismail(3 dari kanan) yang mewakili Pemuda Dun Kuala Besut
Sebahagian aksi
Sebahagian dari peserta dan penonton


Perlawanan persahabatan yang di adakan di Gelanggang Futsal Kg Raja ini menyaksikan setiap Pemuda Dun dalam Kaw. Besut masing masing menghantar dua pasukan.A ntara Pemuda Dun yang terlibat ialah Pemuda Dun Kuala Besut, Kota Putera, Jerteh dan Hulu Besut. Syarat utama, setiap pasukan mestilah di sertai oleh hanya AJK Pemuda Dun masing masing.Antara tujuan utama perlawanan ini di adakan adalah untuk merapatkan lagi hubungan antara AJK Pemuda Dun.

Sekurang kurangnya mereka boleh berkenalan dengan lebih erat lagi antara satu sama lain.Perlawanan yang di anjurkan Lajnah Sukan Pemuda Pas Kaw. Besut ini bermula jam 10.00 mlm dan berakhir jam 12.30 pagi.Menurut Ketua Lajnah Sukan Pemuda Besut saudara Asriazwa, perlawanan persahabatan ini juga antara lain sebagai persiapan menganjurkan Kejohanan Futsal yang membabitkan seluruh Pemuda Cawangan dalam Kaw. Besut yang akan di adakan sedikit masa lagi.

15 Jan 2010

AG: Tiada Tuduhan Terhadap Dr Pornthip



Lawyers in bitter battle over remarks - edge-tv

Mahkamah Koroner dimaklumkan pakar patologi Thailand yang dilantik Kerajaan Selangor, Dr Pornthip Rojanasunad tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung dakwaan berlaku kebocoran hasil laporan bedah siasat kedua.

Perkara itu dinyatakan peguam mewakili pejabat Peguam Negara, Tan Hock Chuan kepada Koroner Azmil Muntapha Abas dalam inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini.

"Kertas siasatan telah diserahkan kepada pejabat AG dan peguam negara, Tan Seri Abdul Gani Patail meminta saya mengumumkan bahawa Dr Pornthip tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Tidak ada tuduhan yang akan dibuat terhadap Dr Pornthip," katanya.

Menurutnya, polis juga mendapati Dr Pornthip tidak melakukan sebarang kesalahan.

Kontroversi ini timbul selepas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raub Ghani membuat laporan terhadap saksi penting dalam inkues itu pada 1 Januari lalu.

Raub membuat laporan berhubung satu artikel dalam akhbar PKR 'Suara Keadilan' yang memetik seorang pegawai kementerian kesihatan bahawa Dr Pornthip telah mengesahkan bahawa Teoh telah dibunuh.

Keluarga Beng Hock mempersoalkan tindakan Raub yang membuat laporan polis terhadap Dr Pornthip dan kemudiannya memfailkan permohonan menghina mahkamah terhadap pegawai SPRM itu. Permohonan tersebut sedang didengar di hadapan Azmil hari ini.

Mantan Setiusaha politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas dia memberi kenyataan sebagai saksi dalam siasatan dakwaan salahguna peruntukan ADUN di Selangor, di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan yang sama pada 16 Julai tahun lalu.

Sementara itu, berlaku perang mulut antara penguam mewakili keluarga Teoh, Karpal Singh dengan peguam mewakili SPRM, Datuk Abdul Razak Musa berhubung permohonan membawa tuduhan menghina mahkamah terhadap Raub. tvselangor

Pas kutuk artikel Hamidah hina Islam



Pas Shah Alam mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman yang disifatkan sebagai menghina PAS dalam laman blognya.

Sehubungan itu satu laporan polis dibuat Ahli Jawatankuasanya, Mohamad Jamil Abbul Rahman di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam jam 10.30 pagi tadi.

Jamil berkata, tindakan Hamidah dalam laman blognya yang meletakkan logo parti Islam pada pakaian kebesaran agama Kristian ternyata menjatuhkan maruah dan moral pemimpin dan seluruh ahli serta penyokong Pas.

“Kita merasakan bahawa beliau dengan sengajanya menghina dengan meletakkan lambang Pas pada pakaian kebesaran agama Nasrani. Kita rasa perbuatan ini dengan sengaja ingin mencemarkan Parti Islam.

“Demi kepentingan survival politik, beliau sanggup memutarberlitkan isu kalimah Allah ini sehingga mewujudkan suasana tidak tenteram di antara penganut agama di Malaysia. Beliau celaru dengan seruan ‘Umat Islam perlu bersatu’ tetapi perbuatannya menghancurkan persaudaraan Islam,”katanya selepas membuat laporan polis.

Oleh itu, Pas Shah Alam mendesak Hamidah memohon maaf kepada seluruh pemimpin, ahli dan penyokong Pas di seluruh negara dan menghentikan perbuatannya dengan segera.

“Menasihatkan beliau agar merujuk kepada ulamak-ulamak muktabar yang diiktiraf oleh kerajaan UNMO-BN yang dianugerahkan Tokoh Maal hijrah seperti Dr Wahbah Az Zuhaili dan Dr Yusof al-Qaradawi dalam penggunaan kalimah Allah oleh penganut Samawi,”katanya.

Hamidah dalam artikel ‘Need To Unite Muslim’ di blognya meletakkan gambar Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berpakaian ala-Pope dan tertera logo Pas di tengkolok yang dipakai.

Dalam pada itu, Khalid ketika dihubungi berkata, beliau meminta Hamidah untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. selangorkini

Tergamak Blogger UMNO Salibkan Tuan Guru Nik Aziz

Gara-gara isu Khalimah Allah dan kes bakar gereja yang melanda negara sekarang ini, maka ramai juga puak-puak UMNO yang menuding jari kepada pimpinan Pakatan Rakyat. Kononnya kejadian itu telah dirancang dengan rapi susulan pilihanraya di Sarawak tidak lama lagi.

Mereka menuduh bahawa ia telah diatur oleh pembangkang dalam usaha menarik sokongan penganut agama Kristian di sana untuk menyokong Pakatan Rakyat. Biar apa pun yang terjadi, terkadang kita agak hairan dengan sikap mereka yang sanggup menghina pemimpin Pakatan Rakyat terutama ulamak dari PAS sendiri

Sebelum ini, telah didedahkan bahawa ramai dikalangan blogger UMNO yang tergamak meletakkan lambang salib (Kristian) kepada beberapa orang pemimpin PAS atas kejadian tersebut.

Sikap kurang ajar mereka ini semakin menjadi-jadi apabila tergamak meletakkan lambang Salib pula pada wajah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat. Kami sungguh terkejut melihat paparan ini.

Tergamak benar mereka melakukan perbuatan sedemikian, sedangkan perkara ini bukanlah dilakukan oleh pemimpin terbabit. Mereka ini membuktikan kononnya Tuan Guru Nik Aziz turut bersekongkol dengan penganut Kristian dalam merencanakan kejadian yang berlaku baru-baru ini.

Tambah parah lagi apabila gambar Nik Aziz diletakkan ditengah-tengah lambang salib berkenaan dan mereka meletakkan perkataan "undi didahulukan, Allah dicemarkan". Sebagai bukti sila klik DI SINI.

[Sunggup kurang ajar melihat sikap para blogger UMNO yang tergamak meletakkan lambang salib pada wajah pemimpin PAS, apatah lagi terhadap MB Kelantan Tok Guru Nik Aziz ini.

Biarpun Bloggger bebas seperti kami banyak menulis dan mengutuk kepimpinan kerajaan hari ini, namun setakat ini masih belum tergamak untuk meletakkan lambang Kristian itu terhadap wajah-wajah pemimpun UMNO.

Apakah begini sikap yang ingin mereka tonjolkan. Rakyat perlu bijak buat penilaian terhadap semua ini]

sumber : Pahang Daily Online

Gerhana Matahari Cincin 15 Januari 2010


Satu kejadian gerhana matahari dijangka akan berlaku pada hari Jumaat 15hb Januari 2010. Ia merupakan Gerhana Matahari Cincin yang akan dapat dilihat disepanjang laluan sejauh 300km yang merentasi benua Afrika, kemudian melalui Lautan Hindi di mana gerhana akan berada pada fasa paling lama iaitu 11 m 8 saat.

Kiraan waktu gerhana di Kuala Lumpur bermula pada jam 3:01PM dan dijangka berakhir pada 5:38 PM.

Cara melihat gerhana

Jangan SEKALI-KALI melihat matahari dengan mata kasar atau alat mencerap (teleskop atau binokular). Cahaya matahari amat terang dan memancarkan radiasi yang amat tinggi sehingga boleh merosakkan mata sehingga buta.

Kaedah paling selamat melihat fasa-fasa gerhana ialah dengan menggunakan kamera lubang pin (Pin Hole Camera).

Jika anda mempunyai binokular, gunalah kaedah projeksi atas kertas (cardboard projection).

Jika anda mempunyai teleskop, sebaik-baik kaedah ialah dengan menggunakan penapis matahari (seperi baader atau mylar). Cuba elakkan daripada menggunakan kaedah projeksi atas kertas kerana intensiti cahaya matahari amat kuat dan boleh mencairkan kanta mata (eyepiece) anda!

Rujukan lanjut : Falak Online – gerhana matahari separa 15 Januari 2010

Solat sunat gerhana matahari adalah sunat yang digalakkan. Boleh dilakukan secara berjemaah atau bersendirian.

Niat solat sunat gerhana matahari- Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat (makmum) kerana Allah Ta’ala”.

Cara solat sunat gerhana matahari :

Seperti solat sunat biasa atau yang biasa dilakukan dengan dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua rukuk pada tiap-tiap satu rakaat .

  • Selepas takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah.
  • Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah ( apa saja yang mampu)
  • Kemudian rukuk dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiamkedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah.
  • Kemudian rukuk semula ( rukuk kedua).
  • Apabila bangkit Iktidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama.

©Kujie

“Kenapa SPRM tak panggil Nazim, Deepak?” - Shamsul Iskandar



Kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang cuma mengambil kenyataan penyiasat persendirian P Balasubramaniam sahaja diselar kerana wujudnya sikap berat sebelah dalam siasatan tersebut.

"Kenapa SPRM tak ambil kenyataan dan siasat Nazim dan Deepak?" kata Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mat Akin ketika mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed baru-baru ini.

Abu Kassim dalam kenyataan terbarunya berkata, SPRM bersedia memanggil Bala untuk meneruskan siasatan berhubung akuan bersumpahnya itu walaupun penyiasat pensendirian itu berada di luar negara dan akan terus menyiasat dalam serba kekurangan prasarana.

Balasubramaniam mengundang kontroversi apabila pada 3 Julai 2008, beliau muncul dan mengumumkan akuan bersumpahnya berkaitan dengan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun keesokannya, beliau menarik balik kenyataan akuan sumpah awalnya itu melalui akuan sumpah kedua dalam satu sidang media sebelum bertindak menghilangkan diri dipercayai ke luar negara bersama keluarganya

Balasubramaniam juga mengaku bahawa beliau pernah bertemu adik Perdana Menteri Mohd Nazim Abdul Razak dan Deepak yang dikatakan ada kaitan dengan kehilangannya di luar negara sebelum ini.

"Jadi, apakah kerana Nazim itu adik Perdana Menteri, maka Nazim tidak dipanggil oleh SPRM?" kata Shamsul Iskandar ketika dihubungi Era Pakatan di sini, hari ini.

SPRM mahu menyiasat Balasubramaniam ekoran rakaman cakera padat (CD) yang dikatakan mengandungi lapan perkara mengenai penyiasat persendirian kepada penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda itu.

Antara lapan perkara yang terdapat dalam CD itu ialah isu wang RM5 juta bagi mendorong Balasubramaniam menarik balik akuan bersumpahnya yang bertarikh 1 Julai 2008, ugutan terhadap keluarganya, penerimaan RM750,000 oleh Balasubramaniam dan RM800,000 kepada keluarganya termasuk paksaan akuan sumpah yang disediakan.

"Kita alu-alukan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mahu menyiasat Balasubramaniam itu. Tapi, itu cuma kenyataan dan bukannya tindakan. Jadi, kenyataan beliau itu saya sanggah kerana beliau seolah-olah tidak memahami bahawa dalam negara ini, banyak perkara boleh hilang, dan dihilangkan, enjin pesawat boleh hilang.

"Dan, apa jaminan sekarang ini kalau Balasubramaniam tidak hilang sekali lagi?" soal beliau. Era Pakatan

14 Jan 2010

`Hartawan’ Lebanon ditahan miliki USD60.6 juta palsu



Gambar: Semasa Ellie menawarkan 'derma' kepada MAKNA sebanyak RM1.3 Billion

Rakyat Lebanon Ellie Youseff Najeem (gambar) yang pernah mengemparkan negara dengan mendakwa dirinya orang ketiga terkaya di dunia dan berhasrat menyumbangkan berbilion ringgit untuk tujuan amal, ditahan Ahad lalu di sebuah hotel empat bintang di Bukit Bintang di sini kerana miliki wang palsu AS$66.2 juta (RM225 juta).

Dia diberkas bersama mata wang lama palsu Amerika Syarikat.

Ellie yang berusia 50 tahun ditahan oleh pada pukul 12.05 tengah malam Ahad lepas setelah seorang pekerja pengemas bilik hotel di Bukit Bintang itu membuat laporan setelah menerima sekeping wang kertas AS$500 sebagai tip daripadanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Izany Abdul Ghany berkata polis menemui 60 keping wang kertas AS$1 juta setiap satu, 60 keping wang kertas AS$100,000 dan 40 keping wang kertas AS$500.

Nilai paling tinggi wang kertas dolar Amerika Syarikat sekarang ialah AS$100.

Izany berkata polis sedang menyiasat dari mana wang itu diperoleh dan tujuan ia digunakan.

“Kalau kita tengok wang itu ia merupakan mata wang lama dipercayai digunakan sekitar tahun 1934,” kata beliau.

Dia sedang menghadapi perbicaraan kerana tuduhan menipu.

Ellie pernah mengejutkan ramai ekoran pengakuannya mahu membiayai Majlis Kanser Nasional untuk menubuhkan sebuah hospital merangkap pusat rawatan dan penyelidikan kanser kanak-kanak dengan sumbangan RM1.04 bilion.

Dia mengakui memiliki kekayaan bernilai RM175 bilion, mengatasi kekayaan tokoh pelaburan Warren Buffett dan mempunyai akaun di Chase Manhattan Bank.

Pemangku Raja Kelantan terharu sambutan rakyat

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang ini penuh sesak dengan kebanjiran orang ramai bagi menyambut keberangkatan pulang Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.

Baginda tiba jam 4.28 petang dan ketika keluar dari bilik istirehat diraja, Pemangku Raja melambaikan tangan sambil mengucapkan terima kasih berulang kali kepada orang ramai.

Wajah Tengku Muhammad Faris jelas terharu dan kelihatan mengalir air mata dengan kehadiran rakyat jelata.

Baginda berpakaian baju Melayu berona merah terang.

Sebelum baginda berangkat ke istana, baginda dan pemimpin negeri mengaminkan doa dibaca Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Che Rahim Jusoh.

Keberangkatan pulang baginda disambut oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Speaker Dun, Nasuruddin Daud, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Pengelola Istana D’raja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad bersama pegawai kanan istana juga kelihatan.

Dianggarkan lebih 5,000 berhimpun di terminal tersebut yang terdiri pelbagai lapisan rakyat. Turut kelihatan masyarakat Cina, India dan Siam.

Alim ulama termasuk pelajar pondok yang berpakaian jubah putih juga ramai. Anggota pasukan keselamatan yang diketuai Ketua Polis Kelantan, Datuk Rahim Hanafi mengawal keadaan.

Suasana agak tenang biar pun kesesakan berlaku di luar dan dalam bangunan terminal.

Turut dilihat banyak sepanduk yang bertulis ‘Rakyat Menjunjung Kasih dan Taat Setia Kepada Pemangku Raja’.

Ada juga sepanduk ‘Daulat Tuanku’ yang bertulis lambang Umno.

Difahamkan, sebaik tiba Pemangku Raja dijangka bertitah kepada orang ramai yang hadir menyambut keberangkatan baginda.

Pentas khas disediakan di luar bangunan terminal.

Orang ramai mulai tiba di lapangan terbang tersebut kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Ketika jam menghampiri 4 petang bilangan rakyat tambah ramai dianggarkan hampir 5,000 orang berkumpul di lapangan terbang.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu majlis sambutan Pemangku Raja dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama NGO.

Katanya, semua pegawai kerajaan negeri di peringkat jajahan, pihak berkuasa tempatan dan parti-parti politik turut menyambut keberangkatan pulang baginda bagi menzahirkan rasa kasih serta taat setia yang tidak berbelah bagi.

“Biar pun penerimaan rakyat terhadap baginda begitu baik, namun taat setia dari mereka dan kerajaan perlu diperjelaskan.

“Malam ini sekali lagi kita akan berhimpun di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V untuk menunaikan solat sunat hajat dan kita minta rakyat hadir pada majlis itu yang bermula solat Maghrib,” ujarnya.

Gereja Di Kota Tinggi Disimbah Cat Merah

KOTA TINGGI: Sebuah gereja katolik, St Elizabeth di Jalan Kota Kecil, di sini, dilempar cat merah yang dipercayai berlaku awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Osman Mohamed Sebot berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 8.30 pagi.

"Terdapat tujuh kesan dua jenis cat merah di gereja itu termasuk di pintu pagar utama, pintu masuk hadapan dan bahagian perkarangan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Osman berkata individu yang terlibat dalam kejadian itu didapati memasukkan dua jenis cat merah berkenaan ke dalam tujuh bungkus plastik sebelum melemparkan ke gereja tersebut, sama ada dari bahagian hadapan pintu pagar utama atau dari tepi.

Beliau berkata polis turut menemui dua tong cat, satu cat merah dan coklat, yang ditinggalkan di dalam longkang di luar pagar gereja itu.

Berdasarkan sebahagian cat yang masih basah, Osman berkata pihaknya percaya kejadian itu berlaku antara pukul 6 hingga 7 pagi tadi dan dilakukan oleh lebih daripada dua individu.

"Kita tidak mahu membuat spekulasi dan sedang menyiasat motif kejadian ini termasuk mengesan saksi kejadian.

"Mana-mana orang ramai yang melihat kejadian ini diminta tampil membuat laporan ke balai polis," katanya. BERNAMA

Firma peguam Herald dipecah masuk, lagi gereja ‘diserang’

Polis menjalankan pemeriksaan di firma guaman Fernandez dan Selvarajah. — Gambar olih Choo Choy May

(themalaysianinsider) PETALING JAYA — Firma guaman yang mewakili akhbar Katolik Herald dalam kes penggunaan kalimah “Allah” dipecah masuk manakala sebuah lagi gereja disimbah dengan cat merah, kedua-duanya awal pagi ini.

Gereja kesembilan yang menjadi sasaran serangan ialah gereja Katolik St Elizabeth di Kota Kecil, Johor.

Serangan ke atas gereja itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Osman Mohamed Sebot.

Serangan ke atas gereja-gereja bermula awal pagi Jumaat lalu.

Dalam pada itu, firma guaman Fernandez dan Selvarajah yang terletak di Jalan Yong Shook Lin di sini, lokasinya bertentangan dengan Pusat Sivik PJ dan berhampiran dengan Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, dipercayai dipecah masuk awal pagi ini.

Derek Fernandez, salah seorang daripada tiga rakan kongsi, menyedari premisnya dipecah masuk ketika tiba di pejabatnya kira-kira 8.15 pagi tadi.

Beliau kemudian membuat laporan polis.

Kalimah Allah: 70 NGO minta Tuanku Mizan campur tangan

Memorandum yang mengandungi 12 resolusi, ditandatangani wakil 70 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin meminta campur tangan bagi menyelesaikan isu kontroversi penggunaan kalimah “Allah”.

Ia diputuskan pada muzakarah tertutup anjuran Gabungan NGO-NGO Islam Bantah Salah Guna Kalimah Allah berkenaan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini semalam.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd. Azmi Abd. Hamid mewakili NGO terbabit dipetik berkata, memorandum itu turut mendesak supaya dipastikan penggunaan kalimah Allah adalah eksklusif untuk umat Islam.

“Kita juga merayu secara bersungguh-sungguh supaya raja-raja Melayu mengambil peranan muktamad bagi memastikan situasi tegang yang timbul akibat penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam tidak berlarutan,” katanya.

Dipetik Utusan Malaysia, kata beliau, memorandum mengandungi 12 resolusi diluluskan pada Muzakarah Pakar Isu Kalimah Allah: Katakanlah Allah Itu Yang Maha Esa.

Tarikh penyerahan kepada Istana belum ditetapkan.

Muzakarah kira-kira empat jam turut disertai tiga ahli panel lain iaitu Penaung Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa), Datuk Dr. Haron Din yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS; Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Ann Wan Seng dan Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Md. Asham Ahmad.

Pada 31 Dis lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Lau Bee Lan membenarkan akhbar mingguan Herald menggunakan kalimah Allah.

Azmi berkata, dalam memorandum itu pihaknya turut mendesak supaya pihak Gereja Katolik menarik balik niatnya untuk menggunakan kalimah Allah. MI

Taat setia kepada Pemangku Raja - Nik Aziz



Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru seluruh rakyat termasuk pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat negeri ini menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra demi untuk kesejahteraan, keamanan dan kebajikan semua pihak.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri yakin Pemangku Raja telah bertindak dengan sebaik mungkin untuk melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan iaitu menjalankan segala kuasa dan tanggungjawab Sultan Kelantan mengikut perlembagaan.

Tegasnya lagi, selaras dengan tataurus dan pentadbiran kerajaan negeri yang dijalankan berlandaskan undang-undang, terutamanya Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, maka kerajaan negeri sentiasa mematuhi serta menjalankan segala perkara yang dititah termasuk segala arahan baginda selaras dengan peruntukan Perkara 4 Fasal 1 Perlembagaan.

“Antara lain perlembagaan menyebut Kebawah Duli Yang Maha Mulia, maknanya Sultan bagi negeri dan termasuk Waris Gantinya dan, jika kebetulan dengan maknanya termasuk Al-Marhum Raja-Raja yang memerintah yang dahulu daripadanya dan jika ada Pangkuan Raja, termasuk Pemangku Raja atau jika ada Majlis Pangkuan Raja, termasuk majlis itu,” ujarnya.

Jelasnya, kerajaan negeri adalah sebuah kerajaan yang sah dan dipilih oleh rakyat mengikut saluran undang-undang, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan mengikut Perkara 10 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, dengan jelas memperuntukkan undang-undang berkenaan.

“Kuasa memerintah hendaklah diserah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia tetapi tanggungan-tanggungannya bolehlah di bawah undang-undang, dikurniakan kepada mana-mana orang atau mana-mana kuasa,” jelasnya.

Beliau mewakili kerajaan negeri turut menyeru rakyat seluruhnya berdoa kepada Allah semoga Sultan Kelantan bertambah sihat dari kegeringan dan menyertai solat sunat hajat yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV malam esok.

Katanya, majlis bermula dengan solat Maghrib akan dihadiri Pemangku Raja.

“Solat sunat hajat ini diadakan bertujuan untuk memohon pada Allah semoga Kelantan yang sentiasa aman bertambah makmur tanpa sebarang kacau-bilau,” ujarnya. Hrkh

13 Jan 2010

Snap sah sertai Pakatan Rakyat

Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) yang ditubuhkan sebelum Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia, disahkan menyertai Pakatan Rakyat (PR) sejak 2006 lagi yang mana pada ketika itu, gabungan pembangkang di Sarawak menamakan diri mereka sebagai Barisan Bersatu Sarawak (BBS).

Perkara itu didedahkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Dominique Ng Kim Ho ketika mengulas isu penyertaan Snap ke dalam gabungan PR baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun PR ditubuhkan selepas Mac 2008, namun, dalam pilihan raya Sarawak pada 2006, Snap sudah pun bersama PKR, Kongres Dayak Malaysia (MDC) dan PAS bagi menjalinkan satu gabungan politik bagi menentang BN yang akhirnya menyaksikan pembangkang berjaya meraih sembilan buah kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Walaupun pada masa itu Dap tidak menyertai BBS secara rasmi, tetapi kerjasama yang ditunjukkan oleh gabungan parti politik pembangkang di sini memberi suatu bentuk politik baru di Sarawak,” katanya ketika dihubungi erapakatan.com di sini, hari ini.

Beliau yang juga Adun Padungan memberitahu, pada ketika itu MDC turut bertanding menggunakan lambang PKR apabila pendaftaran parti mereka gagal diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Antara pimpinan utama MDC ialah Baru Bian yang kini memikul tugas sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak.

Dominique yang juga mantan Pengerusi PKR Sarawak turut menjelaskan dakwaan segelintir pihak berhubung, ada pemimpin Snap yang menyokong BN.

"Pemimpin Snap yang menyokong BN itu telah dikenakan tindakan disiplin oleh jawatankuasa Snap dan orang itulah yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan pengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Batang Air tahun lalu sehingga menyaksikan BN mengekalkan DUN tersebut,” katanya.

Mengulas isu sama, Ketua Pemuda PAS Sarawak, Abang Addy Allyanni berkata, Presiden Snap, Edwin Dundang Bugak pada Majlis Makan Malam PR di Miri pada 9 Januari lalu, ada membuat pengumuman berkaitan perlunya kerjasama antara parti-parti pembangkang di Sarawak dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Menurut Addy, fokus ucapan Edwin pada malam itu berkaitan ekonomi dan politik Sarawak yang sekian lama ketinggalan akibat kelemahan pentadbiran kerajaan BN.

Majlis pada malam itu adalah sesuatu yang bersejarah bagi parti politik pembangkang di negeri itu kerana buat pertama kalinya gabungan PKR, SNAP, PAS dan DAP duduk bersama dalam satu majlis rasmi atas nama Pakatan Rakyat yang turut dihadiri pimpinan PR negeri dan pusat.

Antara pimpinan PKR yang hadir pada majlis itu ialah Pengarah Strategik, Tian Chua, Pengerusi, Baru Bian, Timbalan Pengerusi, Wan Zainal Wan Senusi, Naib Pengerusi, Jimmy Donald, Ketua AMK Sarawak yang baru dilantik, Ahmad Nazib Johari dan mantan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Hafsah Harun.

Turut serta ialah beberapa pimpinan DAP, PAS dan Snap iaitu Speaker PR di Perak V. Sivakumar, Adun DAP kawasan Batu Lintang, Voon Lee San, Ketua Pemuda PAS Sarawak, Abang Addy Allyanni, Presiden SNAP, Edwin Dundang Bugak dan Timbalan Presiden Snap Kebing Wan serta beberapa pimpinan PR di Miri.

Sementara itu, Voon Lee San mencadangkan agar Snap terus menyemarakkan sejarah perjuangan Stephen Kalong Ningkan dalam parti yang ditubuhkan sejak 1961 itu.

Menurutnya perkara itu penting bagi meningkatkan momentum Snap yang sejak dahulu lagi menunjukkan kesungguhan membantu masyarakat pelbagai kaum di Sarawak khasnya kaum Iban yang gagal mendapat pembelaan kerajaan negeri pimpinan BN.

PR yang dianggotai PKR, PAS dan DAP sehingga kini masih lagi menunggu kelulusan rasmi dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung pendaftaran gabungan itu yang tertangguh hampir tiga bulan. erapakatan

PAS Kesal Ugutan KDN Kepada Anwar, Jangan Guna ISA Tutup Kelemahan

Kenyataan Media

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) amat kesal dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengugut akan mengambil tindakan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal membendung gejala serangan ke atas gereja dan menuduh UMNO sebagai dalang sebenar di dalam perkara ini.

Apa yang dikatakan oleh Anwar itu adalah persepsi masyarakat Malaysia pada masa ini dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sewajarnya mengambil kenyataan itu sebagai satu teguran. Persepsi rakyat juga melihat bahawa Umno cuba mendalangi isu ini. Maksud mendalangi itu luas kerana segalanya berpunca dari kelemahan Umno yang meletakannya salah seorang pemimpinnya sebagai Menteri KDN, tetapi gagal memainkan peranannya. Sewajarnya KDN menyelesaikan isu ini secara diplomasi dan rundingan bukannya membiarkan NGO-NGO pro-Umno menghangatkan isu ini dengan demontrasi serta pelbagai provokasi.

PAS menghormati tugas pihak Polis dan KDN, tetapi kelembapan KDN bertindak boleh menyebabkan isu ini mencetuskan ketegangan yang berpanjangan. Berulang kali Hishamuddin menyebut bahawa KDN sudah kenal pasti suspek, tetapi hingga hari ini tiada satu tangkapan pun dibuat. Menteri sepatutnya ‘walk the talk’ bukan ‘Talk the walk” sahaja.

Ugutan kali kedua tentang penggunaan ISA semalam juga mengukuhkan persepsi bahawa Menteri sedang cuba menutup kelemahannya dalam menguruskan isu ini. Bila ada sahaja isu yang gagal ditangani, Menteri akan ugut ISA. Sikit-sikit ugut ISA, macam perangai budak tadika.

PAS tegas untuk menolak ISA dan mahu ianya dimansuhkan. PAS juga melihat amaran penggunaan ISA kali kedua ini menghampiri Ops Lalang kedua dimana orang-orang yang bersalah tidak dibawa ke Mahkamah, tetapi orang yang persoalkan tindakan lembap KDN pula ditahan di kamunting. Ini jelas sebagai satu strategi untuk menjadikan dilihat BN begitu dominan.

Dengan pengalaman yang ada, percaturan politik BN sudah dapat dibaca rakyat. Oleh itu, PAS mengingatkan KDN supaya bertindak bijak, bukannya menurut hawa nafsu politik Menteri yang mahu menyelamatkan partinya yang kini terdesak untuk memulihkan keyakinan rakyat dan mahu dilihat ‘juara rakyat’ dengan mengorbakan pimpinan Pakatan.

PAS berharap isu ini dapat diselesaikan melalui pendakwaan di Mahkamah dan menyeru agar semua pihak agar terus bertenang disamping mengukuhkan perpaduan serta saling bertolak ansur. Marilah kita berkongsi seruan dari Allah swt;

“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal…” (Al-Hujurat; 13).


Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Nik Aziz: Lawat gereja kerana simpati

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan kesediaan melawat beberapa gereja di Kuala Lumpur baru-baru ini kerana simpati penganiayaan yang dilakukan.

Beliau berkata, kunjungan ke gereja yang terbakar kerana dikhianati sama seperti menziarahi orang yang sakit.

“Islam mengajar umatnya bersimpati terhadap orang teraniaya seperti kejadian membakar gereja di beberapa tempat di Lembah Klang baru-baru ini.

“Perbuatan itu sememangnya tidak boleh diterima oleh Islam kerana menggunakan kaedah kekerasan,” katanya ketika ditemui pemberita sekembali dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, hari ini.

Baru-baru ini Menteri Besar Kelantan melawat tiga gereja di Kuala Lumpur termasuk Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta dan Gereja St Francis Xavier di Jalan Gasing bagi melihat dari dekat kesan kerosakan akibat dikhianat pihak tidak bertanggungjawab.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempersoalkan tindakan pihak terbabit sehingga merosakkan rumah ibadat orang bukan Islam.

“Saya pergi kerana rasa simpati terhadap mereka yang teraniaya,” ujarnya.

Beliau juga berkata, lawatannya ke gereja hanya boleh dijadikan isu kepada mereka yang berfikiran sempit.

“Sebelum ini pun saya pernah melawat kuil Hindu dan Buddha di Tumpat beberapa kali. Sami-sami Buddha juga datang ke pejabat saya,” ujarnya.

Beliau juga berkata, lawatan tersebut secara tidak langsung dapat menterjemahkan keindahan Islam kepada golongan bukan muslim. Hrkh

12 Jan 2010

Himpunan Haram Disertai UmnoBN - Terengganu



http://buletinonline.net/images/stories/berita18/Beruk%204.JPGKerajaan Terengganu Terlibat Dengan Penganjuran Demo di Batu Burok??

Apakah benar pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu terlibat dengan penganjuran Demonstrasi atau Rapat Umum isu penggunaan kalimah Allah di Batu Burok Jumaat lalu, 8 Januari? Persoalan ini adalah sesuatu yang amat berat untuk ditanya mahu pun kalau mahu dijawab!

Namun mungkin Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Mokhtar Nong (sekiranya masih lagi di pejabat) boleh menjawab, mengapakah kenderaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu berada bersama para demonstran pada waktu dan hari tersebut?

Atau, mungkin Menteri Besar Negeri Terengganu, Dato’ Ahmad Said boleh memberikan penjelasan atau ‘pendedahan’ (perkataan sensasi yang selalu digunakan) bagaimana pihak kerajaan boleh memberikan khidmat kepada satu program yang ‘haram’ disisi undang-undang!

Tinjauan wartawan Buletinonline ada hari tersebut, sebuah lori milik kerajaan negeri Terengganu berada dibelakang pentas dimana para peserta himpunan 'haram' tersebut berkumpul.

Apabila disemak, didapati, alat siaraya yang digunakan dalam perhimpunan 'haram' itu adalah disyakki disediakan kemudahannya oleh pihak yang membawa lori yang bertulis 'Pejabat Setiausaha kerajaan Terengganu'.

Manakala sekurang-kurangnya salah seorang peserta, dengan jelas memakai baju berlambangkan 'dacing' menunjukkan dengan jelas bahawa Umno dan Barisan Nasional terlibat dalam penganjuran rapat umum yang berjaya mengapi-apikan semangat 'membabi buta' orang ramai.

Sehingga semalam Sarawak, menjadi sasaran cubaan membakar dan vandalisme

Pencerobohan, pembakaran dan vandalisme terhadap gereja berlaku sebaik sahaja selepas himpunan yang di anjurkan diseluruh Negara pada Jumaat lalu. BO

11 Jan 2010

Sdr Nasir Awang sebagai SU PAS Kawasan Besut baru



PAS Kawasan Besut mengambil keputusan untuk memperkukuhkan organisasi parti melalui penyusunan semula beberapa post penting sebagai persiapan dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

Mesyuarat AJK PAS Kawasan Besut kali ke 10 pada 10 Januari 2010 telah memutuskan untuk melantik Sdr. Mohd Nasir Awang sebagai Setiausaha PAS Kawasan yang baru. Beliau dilantik ke jawatan tersebut setelah Ustaz Adam Mat Said mengosongkan jawatan tersebut ekoran perlantikan beliau sebagai Pengarah Majlis Tindakan DUN Kota Putera.

Ustaz Abdul Aziz Abas yang sebelumnya diamanahkan sebagai Pengarah MTD Kota Putera telah mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan tersebut bagi memberikan laluan kepada tenaga baru bagi menggalas cabaran yang semakin kompleks di DUN tersebut. Beliau akan memberikan perhatian yang lebih kepada Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Kawasan setelah diamanahkan sebagai Timbalan Pengerusi lajnah tersebut.

Perlantikan-perlantikan ini berkuatkuasa serta merta.

Kita berdoa semuga Allah SWT mempermudahkan kita dalam semua urusan perjuangan.

Sekian wassalamu'alaikum wrm. wbt.

HAJI WAN AZHAR WAN AHMAD
Yang DiPertua PAS Kawasan Besut

10 Jan 2010

Nik Aziz kunjungi 3 gereja hari ini

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menziarahi dua gereja sekitar Petaling Jaya hari ini iaitu Gereja St Francis Xevier di Jalan Gasing dan gereja Katolik Assumption, di Jalan Asunta.

Di gereja Jalan Asunta, beliau telah berbincang sekejap dengan paderi di situ, Philip Muthu. Di kedua-dua gereja itu, penganut Kristian sedang berada dalam perhimpunan mingguan mereka.

Sebelum ke kedua-dua gereja di Petaling Jaya itu, Nik Aziz telah ke gereja Metro Tabernacle di Taman Melawati yang dibakar. Di situ, MB Kelantan itu telah memberikan sumbangan peribadi beliau kepada penjaganya.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa mengunjungi gereja yang sama bagi melahirkan rasa simpati PAS kepada tindakan membakar gereja itu. Hrkh

Saifudin Nasution SU Agung PKR baru

Saya mengucapkan tahniah kepada Sdr Saifudin Nasution yang baru malam tadi dipilih sebagai Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat bagi menggantikan Dato’ Saleh yang telahpun meletakkan jawatan.

Tugas yang digalas sdr Saifudin bukanlah mudah kerana beliau juga harus menumpukan perhatian serta membahagikan masa sebagai ahli parlimen. Inshaallah beliau akan melaksanakan amanah ini sebaik mungkin.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan rasa penuh penghargaan kepada sahabat saya Dato’ Salehuddin Hashim yang telah berkhidmat cemerlang selama 6 tahun. Segala jasa dan bakti tidak akan kami lupakan.

ANWAR IBRAHIM



Tindakan Disiplin Sekiranya Ahli PAS Terlibat Menceroboh Gereja



PAS kesal berhubung tindakan menceroboh dan menyerang gereja yang berlaku dibeberapa tempat di ibu Negara kelmarin.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, ia akan menjadi lebih menyedihkan jika perkara tersebut dilakukan orang Islam sendiri.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Taklimat Isu-isu penerangan PAS Pusat di Wisma MBSA disini, semalam (gambar)

Beliau menegaskan, Islam yang sebenar, mengajar manusia menghormati penganut agama lain termasuk rumah-rumah ibadat mereka walaupun dalam keadaan peperangan.

"Bila Islam diceroboh, berlaku peperangan, namun dalam peperangan sekalipun gereja perlu dipelihara," katanya.

Bagaimanapun beliau yakin isu penggunaan kalimah Allah ini mampu diselesaikan dengan mengadakan dialog antara agama.

Katanya, dialog itu penting bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung ajran Islam sebenar berdepan isu-isu berkaitan agama.

"PAS sedia berdialog, menghadiri majlis-majlis memberi kefahaman kepada rakyat," katanya.

Beliau juga menyeru pihak media memberikan ruang diberikan kepada PAS bagi tujuan tersebut.

Apa yang berlaku katanya, kerana selama ini penyebaran ajaran Islam itu sendiri telah dikongkong dan ditutup.

"Saya yakin isu ini dapat diselesaikan dengan elok, syaratnya jangan ada yang tidak ikhlas untuk menangguk di air yang keruh, untuk dapat sokongan," katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya, dalam menyampaikan kebenaran, PAS tidak melihat kepada sokongan rakyat, namun apa yang penting adalah kewajipan PAS menjelaskan kebenaran kepada masyarakat.

"Saya anggap ada pihak-pihak tertentu yang menyalahgunakan isu ini dan mengambil kesempatan dan meniupkan api supaya membakar," katanya.

Jelasnya, kalimah Allah adalah kalimah yang benar, tetapi telah dihuraikan cara mencapai matlamat yang salah oleh pihak-pihak tertentu.

Ditanya sama ada PAS kan mengambil tindakan jika ahlinya didapati terlibat dengan demonstrasi isu kalimah Allah semalam, beliau menegaskan PAS tidak sampai berbuat begitu namun telahpun menasihatkan ahlinya supaya tidak terlibat dengan mana-mana bantahan isu itu.

Namun, sebaliknya, kata beliau, sekiranya ada ahli PAS didapati terlibat dengan insiden serangan ke atas gereja, PAS tidak akan teragak-agak mengambil tindakan seperti diperuntukkan perlembagaan parti. BO

Paderi puji ketegasan PAS

Ketua Paderi bagi Gereja Metro Tarbenacle, Hock Teck Leong merakamkan penghargaan kepada PAS kerana mengutuk pengeboman tiga gereja tempatan, pagi semalam.

Demikian maklum balas Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan at-Tantawi, yang turut menyertai Ziarah Mesra PAS ke Gereja Metro Tarbenacle di Desa Melawati, Setapak, Kuala Lumpur petang tadi.

“Dia cukup terharu dan mengucapkan terima kasih atas kunjungan dan simpati yang ditunjukkan oleh para pemimpin PAS,” jelas Nasruddin ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurutnya, pihak gereja turut memuji ketegasan PAS mengutuk pengeboman tiga gereja terbabit oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Dalam sesi dialog, Nasruddin turut menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. melarang umatnya meruntuhkan rumah ibadat bukan Islam.

“Kita berdialog, saya sempat jelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. melarang umatnya membunuh budak kecil, wanita dan orang tua, tumbuh-tumbuhan hatta rumah ibadat ketika berperang.

“Kalau waktu berperang, Islam mengajar sebegitu, inikan pula waktu aman, orang yang terbabit tidak belajar keadilan dalam Islam,”ujarnya.

"Kalaupun timbul isu perbezaan pendapat dengan orang bukan Islam, kita tidak sepatutnya bertindak seperti ini dan langkah yang paling bijak ialah berdialog, berbincang dan berhujjah.

"Apabila saya tengok sendiri hari ini, saya bukan sahaja tidak setuju tapi mengutuk tindakan (membakar gereja) ini" tegas beliau.

Selain itu beliau turut mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan yang cepat bagi menyelesaikan isu ini kerana ditakuti ia akan menjadi lebih parah lagi.

Sebelum itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama-sama beberapa pemimpin PAS Pusat sendiri turun melawat gereja tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, pengeboman tiga gereja di sekitar Lembah Klang dipercayai umum ekoran Gereja Roman Katholik memohon menggunakan nama Allah dalam akhbar mingguan mereka, The Herald.

Permohonan yang masih di mahkamah itu mengundang kritikan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan pemimpin Umno sendiri sedangkan PAS berpendirian, al-Quran membenarkan penggunaan nama Allah di kalangan penganut agama-agama samawi.

PEMUDABESUT @ HIMPIT10K

Berita berkaitan dalam PEMUDA BESUT

Blog Widget by LinkWithin

Hancur...Hancur..... Hancur Yahudi.....

ANTARA YANG WAJIB KITA LAKUKAN
Kita Mampu Melakukannya Insyaallah

Wahai Ummat Islam ! Marilah kita lakukan apa sahaja yang mampu kita lakukan demi saudara seagama dan seaqidah yang kini sedang dizalimi , dikepong dan diletupkan oleh Yahudi Alaihilaknatullah .

Mudah-mudahan kita tidak termasuk dalam golongan yang membiayai Yahudi untuk membunuh Ummat Islam di Palestine .


BOYCOTT ISRAEL CAMPAIGN

SENARAI BARANGAN YANG PERLU DIBOIKOT (SILA KLIK)

TAJUK SEBELUM....

PANDANGAN DALAM LAMAN INI
TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER & DPPKB

(DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BESUT, TERENGGANU DARUL IMAN)

©1429 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini
untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.