Ruang Iklan Untuk Disewa (RM50 sahaja Sebulan) Sila Email dppkbesut@gmail.com untuk tempahan.

TV ONLINE

9 Jan 2010

Banyakkan menerang bukan menyerang- Hadi

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini mengingatkan seluruh kepimpinan parti di seluruh peringkat agar terus memberi penerangan kepada masyarakat khususnya berkaitan isu-isu semasa yang melanda negara.

Berucap sewaktu merasmikan program Taklimat Penerangan Isu-isu Semasa di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pagi ini beliau memberitahu tugas menyedarkan masyarakat bukan sahaja diberi ganjaran pahala yang besar malah ianya juga prasyarat mencapai kemenangan.

"Kewajipan kita lebih banyak menerang, bukan menyerang, sebab itu kita namakan lajnah penerangan, bukan penyerangan," ujarnya.

Apatah lagi katanya, perkembangan teknologi sekarang khususnya kemunculan blog yang kadang kala melaporkan maklumat yang tidak benar boleh memberi kesan buruk jika tidak pandai ditangani.

Namun apa yang penting ujarnya, adalah iltizam dan istiqamah pimpinan parti memberi keterangan sebenar kepada masyarakat berdepan maklumat yang salah yang dilapor dalam blog.

"Maklumat yang betul tidak apa, maklumat salah menimbulkan masalah memberikan masalah kadang kadang menimbulkan masalah dalaman.

"Sebab itu tugas penerangan sangat besar dalam hal ini," katanya lagi.

Menyentuh isu semasa, beliau turut mengutuk keras serangan membakar gereja yang dianggap bukan dari ajaran Islam.

"Kenapa berlaku bakar gereja, serang gereja? Ajaran mana mereka dapat?

"Ini punca sikap jahil terhadap agama islam itu sendiri, jahil feqah dan jahil politik," katanya lagi.

Lebih 500 pemimpin PAS khususnya jentera penerangan disegenap peringkat hadir menyertai taklimat anjuran Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat hari ini. >Hrkh

8 Jan 2010

Lebih 1000 orang berhimpun bantah Mesir




Lebih seribu orang berhimpun secara aman di hadapan Kedutaan Mesir di ibu negara hari ini bagi menyerahkan memorandum membantah tindakan kerajaan negara itu yang bersekongkol dengan Israel menindas umat Islam Palestin.

Himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) itu bermula di perkarangan Kompleks Tabung haji selepas solat Jumaat tengahari tadi dan seterusnya berarak ke Kedutaan Mesir.

Perarakan diketuai Ketua DPPP, Nasrudin Hassan dan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.

Himpunan kali ini bagi membantah tindakan kerajaan Mesir yang menghalang pasukan konvoi Palestin di Pelabuhan El-Arish, yang mahu menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan bernilai lebih AS$1 juta kepada rakyat di sana.

Laungan takbir dan 'Hhidup Islam', 'Hancur Yahudi, 'bebasPalestin,bebas Al Aqsa, 'hancur Hosni Mubarak' bergema dalam perarakan itu.

Mereka ketika ini sedang menunggu untuk menyerahkan memorandum kepada wakil Kedutaan Mesir sambil menyanyikan lagu Al-Amalulillah dengan penuh semangat.

Kelihatan pihak keselamatan mengawal baik himpunan dengan menjaga lalu lintas untuk memberi laluan kepada peserta himpunan.

Manakala pasukan Unit Amal menjadi barisan hadapan dan menjaga keselamatan peserta himpunan.

DPPP meminta pihak Kedutaan membenarkan lima wakil mereka masuk untuk meyerahkan memorandum namun hanya empat orang sahaja yang dibenarkan masuk.

Mereka ialah Salahudin, Nasrudin, Timbalan DPPP, Azman Shapawi Abdul Rani dan Ketua Muslimat, Nuridah Salleh.

Memorandum berkenaan berjaya diserahkan kepda Duta Mesir,Hani Abdel Kader Ahmed sendiri.

Himpunan bersurai jam 3.30 petang tadi dalam keadaan aman. Hrkh

Dua peguam Bala terpaksa hilangkan diri

americk singh Kematian tragis warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan kehilangan penyiasat persendirian, P Balasubramaniam menyebabkan rakyat semakin sangsi dan tidak yakin sama ada nyawa dan keselamatan mereka mampu dijamin pihak berkuasa.

Terbaru dua peguam yang mewakili dan membantu Bala berhubung akuan bersumpah yang dibuat beliau pada Julai 2008 kini terpaksa menghilangkan diri akibat menerima ancaman kepada nyawa mereka.

Menurut Americk Singh Sidhu (gambar) beliau berasa dirinya tidak lagi selamat berada di negara sendiri berikutan pendedahan temuramah Bala yang disiarkan dalam laman web Malaysia Today November lalu.

"Saya berada di luar negara sejak November kerana saya tidak yakin keselamatan saya terjamin," kata beliau ketika dihubungi Suara Keadilan di Indonesia.

Tambahnya lagi seorang lagi peguam, Amarjit Singh Sidhu juga terpaksa ke luar negara kerana mendakwa mendapat tekanan daripada anggota Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia.

Americk berkata Amarjit adalah bekas anggota Cawangan Khas sebelum menjadi peguam.

"Beliau juga meninggalkan Malaysia kerana sentiasa diikuti dan diganggu oleh ‘Special Branch’.

"Malah pemandunya juga pernah didatangi oleh anggota ‘SB’ yang bertanyakan dimana bosnya berada," kata Americk.

Seorang lagi peguam, Manjeet Singh Dhillon yang juga bekas presiden Badan Peguam Malaysia mengalami pengalaman menakutkan apabila rumah beliau dibaling beberapa bom petrol tidak lama setelah video temuramah Bala disiarkan dalam Youtube.

Ditanya mengenai perkembangan emel yang dihantar olehnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 4 Disember lalu, Americk berkata Manjeet Singh Dhillon sebagai peguamnya akan berurusan dengan SPRM bagi pihaknya.

Tambahnya Manjeet telah menghantar surat kepada SPRM selepas perayaan Krismas lalu memaklumkan kesediaan Bala untuk bekerjasama dengan SPRM tertakluk kepada beberapa syarat.

Antaranya Bala bersetuju untuk ditemuramah SPRM hanya di Singapura atau London kerana bimbangkan keselamatannya.

"Saya berhubung dengan Bala hampir setiap hari dan beliau hanya menunggu arahan daripada saya apabila sahaja SPRM bersetuju dengan syarat yang dikenakan.

"Bala tidak akan pulang ke Malaysia dalam apa juga keadaan kerana risiko kepada nyawanya amat tinggi," tegas Americk lagi.~freemalaysiatoday

Carta Google :Nizar lebih popular berbanding Najib

Google.com meletakkan Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin sebagai antara insan yang paling banyak mencetuskan berita atau diberitakan di Malaysia sepanjang tahun 2009.

Tokoh PAS itu turut mengatasi populariti Perdana Menteri, Najib Razak dan Menteri Pengangkutan, Ong Tea Keat yang masing-masing berada di tangga ke 8 dan ke 9.

“Ini merupakan penghargaan kepada rakyat khususnya di Perak yang selama ini kekal bersama dengan harapan ke arah perubahan dalam negara yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi erapakatan.com sebentar tadi.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, rakyatlah yang mencetuskan berita selama ini kerana mereka yang dahagakan keamanan dan keadilan yang semakin cuba dikuburkan oleh Umno dan Barisan Nasional.

Terdahulu, Nizar yang diamanahkan sebagai MB Perak selepas Pakatan Rakyat berjaya menawan negeri itu digugat oleh Umno dan BN yang melakukan rampasan kuasa setahun lalu sehingga mencetuskan pelbagai masalah dalam negara khususnya di Perak.

Rampasan kuasa itu turut meletakan ekonomi negeri Perak terganggu selain menyaksikan perlembagaan negara di atur sesuka hati oleh kerajaan Umno dan BN.

Nizar menambah, beliau tidak faham mengapa sehingga kini Mahkamah sukar menetapkan tarikh untuk menetapkan perbicaraan bagi menentukan siapakah Menteri Besar Perak yang sah.

Google turut meletakan Nizar sebagai lelaki paling popular dalam carian mereka sepanjang tahun 2009.

Turut tersenarai dalam 10 tangga teratas itu ialah Fasha Sandha, Zakiah Anas, Sufiah Yusof, Kartika, Elizabeth Wong, Manohara Odelia Pinot dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. erapakatan

SU PKR letak jawatan

Datuk Salehuddin Hashim yang dilantik sebagai setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) April 2008 mengesahkan yang beliau melepaskan jawatan itu berkuat kuasa hari ini.

Ia sekali gus menamatkan spekulasi lebih empat bulan.

Salehuddin, 58, ketika dihubungi mengesahkan yang beliau telah menghantar surat peletakan jawatan petang tadi.

“Ya, ya saya sudah berbincang dengan presiden, dan timbalan presiden dan kemudian menghantar surat letak jawatan.

“Saya hantar surat letak jawatan pada pukul 5 petang,” kata beliau.

Salehuddin berkata beliau memutuskan untuk meletakkan jawatan untuk meneruskan tugasan baru sebagai konsultan di luar negara, yang akan mengambil masa antara satu hingga dua tahun.

Ketika ditanya samada beliau meletakkan jawatan kerana masalah dalaman parti, Salehuddin berkata: “Tidak, tidak.”

Kata Salehuddin, beliau akan kekal sebagai ahli PKR.

“Saya seorang reformis. Saya akan kekal bersama PKR... cuma selepas enam tahun dalam jawatan setiausaha termasuk empat tahun sebagai setiausaha pengelola, kini masa untuk orang muda mengambil alih jawatan ini,” katanya.

Beliau dilantik April 2008 bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.~The Malaysian Insider

7 Jan 2010

NONEAhli Parlimen Shah Alam Khalid Samad selesai mengemukakan keterangan lisan kepada jawatankuasa disiplin PAS berhubung dakwaan Dewan Harian PAS Selangor lebih dua jam tetapi tiada keputusan terhadap beliau hari ini.

“Saya gembira kerana mereka telah memberi saya peluang untuk menjelaskan tentang kedudukan saya tetapi tiada keputusan dibuat kerana siasatan masih dijalankan,” kata beliau selepas lebih dua jam bertemu dengan jawatankuasa disiplin.

Ketika ditanya berapa lama siasatan ini akan berlarutan, Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam memberitahu, “ia kemungkinan mengambil masa seperti siasatan kerajaan terhadap isu enjin jet hilang, kemungkinan lebih lama.”

Khalid menambah beliau tidak boleh memberi komen lanjut mengenai apa yang berlaku ketika pertemuan dengan jawatankuasa disiplin yang dipengerusikan oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan dua yang lain.

Khaild yang merupakan pengkritik kuat kepimpinan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali kini sedang disiasat berhubung kesalahan tidak mematuhi arahan parti, menjejaskan imej parti dan bertindak bertentangan dengan perlembagaan parti.

Dakwaan ke atas beliau, yang juga anggota Lajnah Politik PAS dibawa oleh Dewan Harian PAS Selangor tahun lalu.

Hasan yang turut disiasat jawatankuasa disiplin itu akan menemui mereka Sabtu ini.

Khalid berkata sesi keterangan dengan jawatankuasa disiplin bermula pukul 3.30 petang dan menemui wartawan 6 petang di luar pekarangan ibu pejabat parti di sini.

Hadir bersama Khalid ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Ulu Klang Saari Sungib yang merupakan saksi beliau untuk menjelaskan beberapa perkara.

“Saya menjelaskan apa yang perlu dijelaskan kepada mereka,” kata Saari. themalaysianinsider

HJ NIZAR SELAMAT DAN MASIH DIRAWAT DI HOSPITAL RAJA PEREMPUAN BAINUN


Lawatan Wakil dari PSM
Pihak wartawan bersama Dato Seri
Dato Seri Ir Hj Nizar Jamaluddin sedang diambil keterangan oleh Pihak Polis

Adun-Adun PR berkumpul di depan Wad Kecemasan
Pimpinan Pas
Yb Siva dan Yb Tai mengadakan lawatan ziarah kepada Dato Seri Nizar
Bilik Dato Seri dipenuhi Rakyat yang hadir untuk bertanya khabar

Hj Nizar yang terlibat dengan kemalangan jalanraya pagi tadi ditahan oleh pihak hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh untuk pemeriksaan lanjut. Kecedaraan yang dialami hanyalah cedera ringan, luka di tangan kanannya dan sedikit luka di mukanya terkena serpihan kaca. Beliau ditahan dihospital kerana keadaan darah tingginya yang naik mendadak. Orang ramai tidak perlu bimbang tentang keselamatannya.

Kemalangan berlaku di hadapan bangunan Pejabat UMNO Negeri Perak, ia bukan bermotif jenayah atau politik, Hj Nizar yang memandu sendiri keretanya dari kediamannya di Sungai Rokam menuju bandaraya Ipoh kerana temujanji dengan doktor gigi. Kereta yang dipandunya hilang kawalan apabila cuba mengelak sebuah kereta yang meluncur laju keluar dari satu persimpangan. Akibatnya keretanya terbalik dan mengalami kerosakakan yang teruk.

Ramai pihak yang tidak puas hati kerana mengabaikan keselamatan Hj Nizar, pihak PAS juga turut dipersalahkan kerana tidak menjaga keselamatannya sehingga membiarkan beliau memandu seorang diri. Suka saya jelaskan, sejak akhir-akhir ini Hj Nizar sering memandu sendiri kenderaannnya apabila keluar rumah yang tidak jauh dari kediamannya terutama untuk menghadiri mesyuarat, berjumpa doktor dan sebagainya. Sebelum ini Hj Nizar keluar dengan pemandu sukarela dari kalangan anggota Unit Amal PAS Perak secara bergilir-gilir.

Pembantu khasnya sdr. Amran ada menghubunginya malam tadi untuk menemankannya berjumpa doktor di Ipoh, tetapi beliau tidak mahu menyusahkan sdr. Amran yang sering menemaninya ke mana sahaja beliau pergi, beliau mengatakan boleh memandu sendiri kerana tempatnya pula tidak jauh.

Tanggapan mengatakan pihak PAS mengabaikan keselamatannya adalah tidak benar sama sekali. Inilah sikap Hj Nizar yang sebenar yang wajar dipuji, walaupun kedudukannya sebagai ahli politik yang terkenal, dihormati dan disegani, namun beliau tidak pernah lupa asal usulnya yang dulu ke mana sahaja beliau pergi, beliau sering memandu kereta seorang diri. Sekali sekala beliau ingin juga memandu kereta sendiri untuk menghadiri mesyuarat di pejabat PAS Ipoh, balek ke kampung orang tuannya bersama keluarga, menghadiri jemputan kenduri kendara yang tidak jauh dari kediamannya.

Alhamdulillah kita besyukur kepada Allah swt, Hj Nizar selamat dan masih boleh meneruskan perjuangannya menegakkan kebenaran dan keadilan. Semuga tragedi yang menimpanya tidak mematahkan semangat dari terus berjuang.

Dua Harga Petrol Bermula 1 Mei

Dua harga petrol berbeza untuk warganegara dan bukan warganegara akan diperkenalkan bermula 1 Mei, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau berkata bagi warganegara, pelaksanaan harga petrol pula antara lain akan ditentukan berdasarkan kapasiti enjin kenderaan, yang bermaka bukan semua warganegara akan menikmati subsidi yang disediakan.

“Bukan semua warganegara akan mendapat subsidi ini. Subsidi ini sepatutnya lebih kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya selepas merasmikan identiti korporat baharu bahagian minuman ringan Fraser & Neave Holdings Bhd.

Golongan yang mendapat subsidi, katanya akan membeli petrol pada harga yang ditetapkan sekarang, manakala mereka yang tidak mendapat subsidi, akan membayar harga sebenar petrol.

“Bagi RON 95, kerajaan kini memberi subsidi sebanyak 30 sen bagi setiap liter. Harga sekarang ialah RM1.80 berbanding harga sebenar iaitu RM2.10.

“Jadi, mereka yang tidak layak mendapat subsidi dan juga bukan warganegera, akan membayar RM2.10 atau lebih,” katanya.

Ismail berkata kerajaan juga mungkin akan mengenakan cukai yang akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan. Pengumuman lanjut mengenai mekanisme baru itu akan dibuat pada 1 Mei.

Selain mengekalkan subsidi minyak, kerajaan juga masih mengekalkan subsidi gas, gandum, dan juga gula, katanya.

Menurut Ismail, walaupun harga gula dinaikkan sebanyak 20 sen, namun kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak 80 sen.

“Tahun lepas kerajaan memberi subsidi sebanyak 60 sen sekilogram, namun disebabkan kenaikan harga gula dunia yang mendadak sejak Ogos tahun lepas, kerajaan terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM1.00, sebab itu kita naikkan harga,” katanya.

Dengan subsidi 80 sen yang diberikan itu, katanya kerajaan akan menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion tahun ini berbanding RM720 juta tahun lepas. — Bernama

Gambar kereta DS Nizar kemalangan


Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Ds. Muhammad Nizar Jamaluddin terlibat dengan kemalangan jalanraya di hadapan Hotel Cassuarina Ipoh pagi ini. Demikian berita yang disahkan oleh pembantu peribadi beliau, Sdr. Amran Harun.

Ds. Nizar dikatakan memandu sendiri dalam perjalanan ke sebuah Klinik Gigi kerana ada temujanji pada pagi ini.

Beliau sekarang berada di Hospital Tuanku Bainun Ipoh dan mengalamai cedera ringan di bahagian kaki.

Kereta yang dipandunya dikatakan terbalik dan keempat-empat tayarnya diatas dalam kemalangan itu.




















Anwar mohon tuntutan qazaf tidak dilengahkan lagi



Kenyataan Media Dato’ Seri Anwar Ibrahim Selepas Memfailkan Tuntutan Agar Tuntutan Qazaf Tidak Dilengahkan Lagi


Responden bagi tuntutan ini ialah Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan (“KPS”), Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (“JAWI”) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal Agama Islam, Mejar Jeneral (B) Dato’ Hj Jamil Khir bin Baharom.

—KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—

Tarikh: 7hb Januari 2010


Pagi ini saya telah memfailkan suatu Permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur terhadap tiga pihak iaitu, Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan (“KPS”), Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (“JAWI”) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal Agama Islam, Mejar Jeneral (B) Dato’ Hj Jamil Khir bin Baharom.

Permohonan saya adalah untuk mendapat suatu perintah daripada Mahkamah Tinggi Syariah terhadap KPS supaya menggunakan kuasanya bagi mendakwa MOHD SAIFUL BUKHARI BIN AZLAN (“MSB”) di atas kesalahan jenayah Qazaf di bawah Seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997.

Saya juga memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah memerintahkan Pengarah JAWI dan Menteri tersebut supaya tidak menghalang dan/atau mempengaruhi KPS daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam pendakwaan terhadap MSB.

Permohonan saya tersebut adalah lanjutan daripada Qazaf saya bertarikh 9 Julai 2008 kepada Bahagian Penguatkuasa dan Pendakwaan JAWI terhadap MSB yang telah membuat suatu pengataan palsu bahawasanya saya telah melakukan perbuatan liwat ke atas dirinya pada tarikh 26 Jun 2008.

Saya telah disiasat sebanyak dua kali dan saya telah menyerahkan kepada JAWI kesemua bukti-bukti, di antaranya laporan polis, Sumpah Laknat Saiful, laporan perubatan dan senarai saksi-saksi yang bersama saya pada waktu kejadian.

Dalam bulan Ogos 2009 saya mendapat maklumat pihak JAWI telah selesai menjalankan siasatan mereka namun sehingga sekarang KPS masih belum mengambil apa-apa tindakan Mahkamah terhadap MSB. Kesemua surat-surat peguam syarie saya yang bertanyakan mengenai status Laporan Qazaf saya, tidak dijawab KPS.

Oleh itu saya agak terkejut apabila YB Menteri telah memberitahu Parlimen pada 27 Oktober 2009 bahawa KPS memutuskan bahawa pendakwaan Qazaf terhadap MSB hendaklah menunggu perbicaraan Liwat di Mahkamah Tinggi Sivil selesai terlebih dahulu.

Saya ingin menegaskan bahawa kesalahan jenayah Qazaf adalah berbeza dengan kesalahan jenayah Liwat. Qazaf adalah kesalahan jenayah syarie yang tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana kesalahan di bawah Kanun Jenayah yang digunakan di Mahkamah Sivil.

Saya memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah kerana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk membicarakan kesalahan Qazaf.

Mahkamah Syariah juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan Responden-Responden supaya menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka ke atas kesemua pendakwaan dan pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah di Wilayah Persekutuan.

Sebagai seorang Islam saya berhak untuk mendapat perlindungan terhadap maruah dan nama baik saya daripada dicemari seperti yang dijamin oleh Hukum Syarak.

ANWAR IBRAHIM

6 Jan 2010

Enjin jet: 2 termasuk sarjan TUDM didakwa hari ini

Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat sarjan bersama seorang pengarah syarikat didakwa hari ini berhubung kes kehilangan dua enjin jet pemintas F-5E TUDM yang mengejutkan negara baru-baru ini.

Kedua-dua mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini.

Ini pendakwaan pertama berhubung kes kehilangan enjin F-5E itu yang hilang pada 2007 membabitkan nilai hampir RM100 juta.

Sarjan TUDM itu akan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan curi dalam bangunan dan menolong menghapuskan barang curi.

Pengarah berusia 36 tahun yang terlibat dengan industri penerbangan pula didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan mengenai pendakwaan mereka.


"Siasatan menunjukkan kedua-dua enjin F5 itu dibawa keluar dari Gudang Material Udara 1 Kuala Lumpur hasil persubahatan anggota tentera berpangkat sarjan dan seorang pengarah syarikat menolong melupuskan kedua-dua enjin itu yang diketahuinya harta curi," kata beliau.

Kelmarin beliau memaklumkan polis telah melengkapkan siasatan kes itu dan beliau berpuas hati dengan hasilnya yang mendapati tiada pegawai tinggi tentera terlibat.

Lokasi terakhir enjin pesawat itu dikesan adalah di Uruguay.

Dua enjin F-5E berpangkalan di Skuadron 12 Scorpion Butterworth dilaporkan hilang ketika proses penyenggaraan rutin.

Kehilangan enjin pertama dilaporkan di Gudang Material Udara manakala enjin kedua sebaik meninggalkan pangkalannya di Butterworth untuk ke ibu negara.

Ia dipercayai dijual sebagai komponen alat ganti kepada sindiket antarabangsa di luar negara.

Bagaimanapun, kehilangan kedua-dua enjin bernilai RM100 juta itu hanya disedari pada 2008.

AJK Umno Tasek Gelugor pernah meniduri lebih 10 wanita??

KUALA LUMPUR: Bekas madu kepada penyanyi etnik kreatif Noraniza Idris hari ini mendakwa suaminya, Datuk Muhamad Mustafa Idrus, 54,yang juga AJK Umno Tasek Gelugor pernah meniduri lebih 10 wanita sepanjang perkahwinan mereka.

Mastura Bakar, 24, ketika memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini berkata, suaminya itu tidak adil dalam berpoligami selain banyak berfoya-foya.

"Dalam berpoligami memang dia tidak adil dan banyak berfoya-foya dengan lebih 10 wanita di hotel kerana saya mengenali dan menghubungi setiap wanita yang pernah tidur dengannya,” katanya hari ini ketika menjawab soalan peguam syarie Roslizam Rahim yang mewakilinya dalam semasa prosiding tuntutan cerai fasakh.

Dalam pada itu, Mastura mendakwa Muhamad Mustafa pernah meliwatnya setelah dia enggan tidur bersama.

“Dia (suami) suka paksa saya untuk tidur dengannya dan apabila saya enggan berbuat demikian, dia mengasari saya termasuk pernah meliwat saya.

“Jadi, sebab itu saya tertekan dan ingin memohon cerai fasakh dengannya. Bukan itu sahaja, dia juga pernah memukul, menampar dan menendang saya sebanyak tujuh hingga lapan kali apabila mempunyai masalah dan apabila saya bertanya tentang hubungannya dengan wanita lain.

“Apabila saya melarikan diri dari rumah, dia akan pecahkan barang-barang dan pernah melanggar saya dengan kereta sekali,” katanya pada perbicaraan kes tuntutan cerai fasakh terhadap suaminya itu.

Mastura juga memberitahu Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin bahawa dia merupakan isteri keempat ketika mereka bernikah pada 3 Jun 2006.

Namun, dia hanya mengetahui tentang statusnya itu semasa mahu melahirkan anak sulung mereka.

“Ketika bernikah dengannya, saya langsung tidak mengetahui yang saya merupakan isterinya yang keempat. Saya hanya mengetahui yang dia pernah berkahwin dan mempunyai anak-anak.

“Apabila saya nak bersalin anak pertama, baru saya tahu yang saya merupakan isteri keempat," ujarnya.

Beliau berkata, selepas itu suaminya berkahwin dengan tiga wanita termasuk Noraniza.

“Dia sendiri mengaku telah berkahwin dengan ketiga-tiga wanita itu kepada saya setelah saya mengemukakan bukti-buktinya.

Selepas dua tahun berkahwin, tambahnya, Muhamad Mustafa mula jarang pulang ke rumah apabila selepas dia mengetahui suaminya mempunyai isteri lain.

“Kadangkala, seminggu dia tidak pulang ke rumah. Sekitar Mei 2008, dia hanya pulang sekejap dan tidak bermalam di rumah. Saya rasa seperti tempat persinggahannya.

Menurut Mastura, dia bukan sahaja tertekan sehingga trauma untuk tinggal bersama malah lelaki itu juga didakwa tidak memberikan nafkah kepadanya dan anak-anak sejak Disember 2008.

“Sejak Disember 2008, semuanya (pakaian, makanan dan rumah sewa) saya tanggung sendiri dan mendapat bantuan keluarga,” ujarnya lagi yang kini menganggur.

Sebelum ini, Mastura menanggung keperluannya dan anak-anak menerusi pendapatannya bekerja sebagai pembantu jualan di kedai barang kemas My Diamond di The Curve, Damansara termasuk berkerja di pusat rawatan spa Mustika Ratu.

Mastura dan Muhamad Mustaffa bernikah pada 3 Jun 2006 di Masjid Pengkalan Hulu, Perak dan dikurniakan tiga anak berusia dua hingga lima tahun.

Muhamad Mustafa tidak hadir ke mahkamah dan diwakili oleh peguam syarie Zaidi Ibrahim.

Kes itu ditangguh pada esok, 6, 12, dan 13 Januari di mahkamah yang sama.

Sumber : http://mstar.com.my

5 Jan 2010

Di mana silap dan betulnya Hakim Lau Bee Lan?

Oleh: Mohamed Hanipa Maidin

Sebagai seorang peguam dan pemimpin PAS saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menberikan pandangan saya tentang keputusan Yang Arif Datuk Lau Bee Lan dalam kes penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar Herald yang diterbitkan oleh kristian Katholik. Bagaimanapun ulasan saya di sini hanya dari pesperktif undang-undang semata-mata.

Secara ringkasnya fakta kes tersebut adalah pada 18 Mac 2009 pemohon iaitu Paderi Roman Katholik di Kuala Lumpur iaitu Murphy Pakiam telah memfailkan permohonan semakan kehakiman (judicial review) ke atas Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia kerana memutuskan melarang akhbar “The Herald” dari menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan edisi bahasa Malaysia akhbar itu.

Sebelum ini Kerajaan telah mengisytiharkan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam sahaja dan pihak Kerajaan telah mengancam akan menutup akhbar itu jika ia tidak mengendahkan larangan tersebut .

Dalam samannya ke atas Menteri Dalam Negeri (MDN) Paderi Pakiam yang mewakili pihak Herald telah memohon Mahkamah bagi mendapatkan perintah antara lain perintah perisytiharan bahawa keputusan MDN melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald adalah keputusan yang tidak sah dan terbatal.

Beliau juga memohon Mahkamah mengisytiharkan bahawa akhbar Herald berhak menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitannya dan kalimah Allah tidak hanya ekslusif kepada Agama Islam sahaja. Selain itu Paderi Pakiam juga meminta Mahkamah membatalkan keputusan MDN yang melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald tersebut.

Sepertimana yang dilaporkan di dalam akhbar Hakim Datuk Lau Bee Lan telah pada 30 Disember 2009 yang lalu telah memutuskan membenarkan saman Paderi Pakiam dan memutuskan bahawa keputusan MDN yang melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald adalah keputusan yang tidak sah , terbatal dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum saya memulakan ulasan saya terhadap keputusan Datuk Lau Bee Lan tersebut saya perlu menyatakan di sini sebagai seorang peguam saya dididik untuk hanya mengulas sesuatu keputusan seorang Hakim itu hanya setelah membaca keputusan penuh seorang hakim itu supaya ulasan saya benar-benar hanya menyentuh keputusan sebenar Hakim tersebut dan bukannya dari tokok tambah dari mana-mana sumber selain keputusan itu sendiri.

Di sini saya ingin menyatakan bahawa seperti para pembaca saya hanya mengetahui intipati keputusan Hakim tersebut dari laporan akhbar sahaja. Dengan anggapan laporan itu adalah benar sepertimana yang dinyatakan oleh Hakim tersebut maka saya berpendapat keputusan itu adalah betul dari satu segi tetapi tersilap dari segi yang lain.

Bagi saya Hakim Lau Bee Lan boleh dipuji kerana keberanian beliau membuat keputusan yang membatalkan keputusan seorang Menteri . Mengapa saya kata beliau adalah seorang yang berani ? Hujah saya bersandarkan kepada alasan bahawa jika kita melihat Akta Penerbitan & Mesin Cetak yang digubal oleh Kerajaan BN, Akta tersebut memberikan satu kuasa dan budibicara yang mutlak kepada MDN untuk memutuskan membatalkan atau mengenakan sebarang syarat terhadap mana-mana akhbar yang ingin diterbitkan di negara ini.

Jika dilihat kepada Akta tersebut ia menyatakan keputusan MDN tidak boleh dicabar di Mahkamah. Di dalam undang-undang peruntukkan yang memberikan kekebalan kepada MDN itu dipanggil “ouster clause”.

Kes yang diputuskan oleh Hakim Lau Bee Lan melibatkan isu Perlembagaan atau secara spesifiknya isu kebebasan beragama. Pengalaman saya mengendalikan kes kebebasan beragama iatu kes tiga pelajar dibuang sekolah kerana memakai serban menyakinkan saya bahawa kes sebegini memang secara relatifnya adalah kes yang boleh dikategorikan sebagai kes “panas” dan pasti merimaskan mana-mana Hakim yang ditugaskan mendengar dan memutuskan kes tersebut.

Secara mudahnya bagi pihak Herald mereka merasakan bahawa sebagai pengganut Kristian di negara ini mereka berhak mengamalkan dan menyebarkan agama mereka (to practise and propagate their religion) seperti yang dijamin oleh Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu bagi pihak Herald termasuk hak mengamalkan dan menyebarkan agama itu adalah hak mereka untuk menerbitkan apa sahaja penerbitan yang boleh menjadi alat untuk menyebarkan agama itu. Oleh itu mana-mana tindakan yang boleh mengancam dan menggugat hak tersebut adalah dikira bertentangan dengan prinsip kebebasan beragama yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Bagi pihak Herald meskipun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menjadikan Islam sebagai agama teras di dalam negara ini, Perkara 3 itu sendiri tidak menghalang pengganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka dengan aman dan harmoni yang boleh ditafsirkan tanpa sebarang gangguan yang tidak munasabah dari mana-mana pihak. Oleh yang demikian pihak Herald merasakan larangan menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar itu adalah bercanggah dengan Perkara 11 dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Saya berpendapat keputusan Lau Bee Lan adalah betul di sisi undang-undang dan Perlembagaan apabila beliau memutuskan bahawa kalimah Allah tidak terhad atau hanya ekslusif bagi orang Islam sahaja. Saya berpendapat keputusan itu adalah tidak bercanggah dengan mana-mana ajaran Islam kerana Allah bukan sahaja Tuhan kepada manusia (Islam dan bukan Islam) malahan Tuhan kepada seluruh alam. Allah adalah tuhan kepada mahkluk yang halal dimakan dan Allah juga Tuhan kepada mahkluk yang haram dimakan.

Di dalam pengajian Tauhid orang Islam diajar dengan Tauhid Rububiyyah di mana Tauhid ini membawa maksud mana-mana manusia meyakini Allah itu sebagai Rabb iaitu Tuhan yang mencipta dan mentadbir alam ini. Tauhid Rububiyyah, tidak seperti Tauhid Uluhiyah, diyakini bukan sahaja oleh orang Islam tetapi juga orang bukan Islam.

Saya juga berpendapat keputusan Lau Bee Lan yang menyatakan bahawa keputusan MDN yang melarang menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar di Herald adalah bercanggah denga hak untuk menyebarkan agama tersebut sepertimana yang dijamin oleh Perkara 11 (1) adalah juga keputusan yang betul.

Ini kerana meskipun hak untuk menyebarkan agama adalah terhad kepada orang bukan Islam iaitu mereka tidak boleh menyebarkan ajaran Kristian kepada mana-mana orang Islam tetapi di dalam kes ini tiada bukti bahawa “The Herald” telah disebarkan kepada mana-mana orang Islam. Perkara 11 (4) hanya melarang penyebaran ajaran bukan Islam kepada orang –orang Islam sahaja. Ini bermakna jika akhbar “The Herald” hanya tersebar kepada orang-orang Kristian sahaja ianya tidak bercanggah dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun saya berpendapat keputusan MDN melarang menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar “The Herald” masih boleh dipertahankan jika ianya , meskipun tidak salah di sisi Islam atau di bawah Perkara 11 (1) dan 11 (4), masih boleh dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana berpotensi untuk menjejaskan kenteraman awam (public disorder) dan keharmonian agama..

Saya berpendapat sepatutnya Hakim Lau Bee Lan sepatutnya memutuskan bahawa tindakan akhbar “The Herald” menggunakan kalimah Allah di akhbar itu tidak boleh lari dari sekatan dan halangan Perlembagaan yang dinyatakan di bawah Perkara 11 (5) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 (5) melarang mana-mana amalan agama hatta kepada amalan agama orang Islam sendiri jika amalan tersebut boleh menjejaslan ketenteraman awam (public disorder).

Apabila sesuatu amalan beragama berpotensi menjejaskan ketenteraman awam isu sama ada amalan itu selari dengan agama atau tidak tidak lagi timbul. Saya tidak pasti sama ada isu perlanggaran kepada Perkara 11 (5) dihujahkan oleh pihak peguam Kerajaan atau tidak , namun saya tetap yakin jika Kerajaan ingin menjustifikasikan larangan penggunaan kalimah Allah, satu-satunya hujah yang boleh digunakan adalah Perkara 11 (5) tersebut.

Mungkin Kerajaan juga boleh berhujah hatta jaminan kebebasan agama lain selain Islam boleh diamalkan di negara ini yang dilindungi di bawah Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan juga tertakluk amalan tersebut dipraktiskan dengan harmoni dan aman tanpa sebarang indikasi ia boleh menjejaskan keharmonian tersebut.

Hakim Lau Bee Lan menyatakan tiada sebarang bukti dikemukakan oleh pihak Kerajaan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah menjejaskan keselamatan negara. Memanglah Mahkamah terikat dengan bukti dan keterangan. Nampaknya Hakim Lau Bee Lan cuba mengelak untuk memutuskan atau menafsirkan Perkara 11 (5) itu dengan berselindung di sebalik alasan keterangan dan bukti.

Dengan hormat saya berpendapat dalam menafsirkan mana-mana peruntukkan Perlembagaan Mahkamah tidak harus dikawal oleh bukti dan keterangan semata-mata. Penafsiran Perlembagaan tidak sama seperti menafsirkan seperti mana-mana Akta atau Enakmen.

Dalam hal ini Hakim Lau Bee Lan seharusnya menafsirkan apa yang dimaksudkan dengan istilah menjejaskan ketenteraman awam di dalam Perkara 11 (5) Perlembagaan Persekutuan. Bagi menafsirkan frasa tersebut Hakim Lau Bee Lan tidak boleh lari dari memahami ketinggian nilai kalimah Allah dari perspektif orang Islam yang mana ianya hanya bermaksud Tuhan yang esa.

Oleh itu penggunaan kalimah itu di dalam maknaya yang lain sudah pasti berpotensi tinggi mengundang kemarahan orang Islam sekaligius berpotensi mewujudkan satu ancaman kepada ketenteraman awam.

Orang Kristian tidak seharusnya resah jika kalimah Allah itu tidak dibenarkan digunakan atas alasan kepentingan awam. Mungkin pada masa hadapan penggunaan kalimah ini, yang dibenarkan oleh ajaran Islam, tidak menjejaskan ketenteraman awam sekaligus boleh dibenarkan.

Sebelum ini orang Islam juga pernah dikecewakan dengan larangan amalan beragama kepada wanita Islam iaitu amalan pemakaian purdah oleh kakitangan awam (kes Halimatusadiah) di atas alasan menjaga kepentingan awam. Yang peliknya pada masa itu kita tidak dengar pula mana-mana pemimpin Umno yang berkokok seperti ayam jantan seperti sekarang ini. — Harakah Daily

Kes Dr Mohd Asri ditangguhkan 3 Mei 2010



05 Januari 2010 - Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin telah tiba di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada jam 8.41 pagi.

Kes telah ditangguhkan kepada 3 Mei 2010 kerana menunggu semakan keputusan daripada hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam.


  1. Laporan terkini daripada The Malaysian Insider: “Bon jaminan dilanjutkan, kes Asri didengar Mei“, sila klik di sini.
  2. Laporan terkini daripada The Malaysian Insider: “Isu tauliah: Asri di mahkamah rendah, tinggi Syariah“, sila klik di sini.
  3. Laporan terkini daripada Utusan Online: “Perbicaraan kes Dr. Asri ditangguh“, sila klik di sini.
  4. Laporan terkini daripada Berita Harian Online: “MUTAKHIR Perbicaraan Dr Asri ditangguh“, sila klik di sini.
  5. Laporan terkini daripada News Straits Times: “Ex-Perlis mufti’s case hearing postponed to May 3“, sila klik di sini.
  6. Laporan terkini daripada Bernama.com: “Bicara Asri Tangguh 3 Mei, Tunggu Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah“, sila klik di sini.
  7. Laporan terkini daripada myMetro: “Bicara Dr Asri ditanguh 3 Mei“, sila klik di sini.
  8. Laporan terkini daripada MalaysiaKini: “Kes Dr Asri ditangguh kepada 3 Mei“, sila klik di sini.
  9. Laporan terkini daripada The Star Online: “Dr Asri’s case hearing postponed to May 3“, sila klik di sini.
  10. Laporan terkini daripada Sun2Surf: “Asri’s case hearing postponed to May 3“, sila klik di sini.

Perkataan “Allah” Boleh Digunakan Oleh Agama Samawi – Presiden PAS



Pendirian PAS itu dibuat Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang melalui satu kenyataan yang dibaca Ketua Penerangan, Idris Ahmad selepas mesyuarat khas Lajnah Politik bersama Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut malam tadi.

Kenyataan Penuh Presiden PAS

PAS sebagai parti Islam, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutaan.

Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.

Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Imran ayat 64 yang bermaksud.

‘‘Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah’’.

Pas dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Presiden
Parti Islam Semalaysia (PAS)

Dr Rosli Allani mohon batal perintah mufarakah

Bekas ketua penerangan Pemuda PAS Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kader hari ini mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini untuk membatalkan perintah mahkamah itu pada 21 Dis lalu agar dia dan isteri keduanya tinggal berasingan kerana pernikahan mereka diragui.

Alasan yang dinyatakan dalam permohonan yang difailkan menerusi peguam Syarie, Mustafa Kamal Mat Hassan, ialah beliau dan Ilyani Mohd Noor, 30, telah bernikah semula mengikut hukum syarak di Kampung Bangsal Wakseng, Yarang, Pattani, Thailand pada 22 Dis lepas.

Mustafa Kamal memberitahu Hakim Syarie, Mohd Yusoff Awang, bahawa bagi menyokong permohonan bantahan awal dan pembatalan perintah mufakarah yang dikeluarkan terhadap defendan, beliau memfailkan beberapa afidavit sokongan sebagai bukti terdiri daripada salinan surat nikah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Pattani, pas sempadan milik Rosli Allani dan pasport antarabangsa milik Ilyani yang tertera cop imigresen berhubung kenyataan keluar masuk pasangan itu di sempadan negara.

“Berdasarkan beberapa fakta dan pernyataan itu, saya dengan rendah diri memohon mahkamah membenarkan semua perintah sebagaimana permohonan ini bagi mengelak reputasi kedua-dua defendan terus diaibkan di mata masyarakat,” kata Mustafa Kamal.

Pada prosiding hari ini Rosli Allani dan pasangannya tidak hadir manakala bapa Ilyani, Mohd Noor Che Man, 58, hadir bersama peguamnya, Mohd Zaki Zainal Abidin.

Mohd Zaki pula membantah permohonan yang difailkan oleh Rosli Allani itu.

Setelah mendengar hujahan dari kedua-dua pihak, Mohd Yusoff menetapkan 17 Jan ini untuk mengumumkan keputusan terhadap permohonan itu, dan sehingga tarikh itu, perintah mufarakah yang dikeluarkan terhadap pasangan terbabit dikekalkan.

Pada 21 Dis lalu, mahkamah yang sama telah mengarahkan pasangan itu tinggal berasingan (bermufaraqah) kerana terdapat keraguan pada kesahihan pernikahan mereka di sebuah masjid di Selangor pada 26 Dis 2008. — Bernama

4 Jan 2010

Dr Haron Din: Kufur Jika Sokong Guna Kalimah Allah

Pandangan Datuk Dr Haron Din tentang isu kalimah Allah




Mana-mana umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' dalam akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly dalam penerbitannya boleh membawa kepada kekufuran.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata, menyokong kepada sesuatu perkara yang salah di sisi Islam juga secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kekufuran dan syirik.

"Saya menyeru kepada sahabat-sahabat saya supaya mempertimbangkan semula pendirian mereka.

"Kalau kita sokong perkara yang kufur, kita pun secara tak langsung akan kufur sama," katanya dalam sidang media di kediamannya di sini hari ini.

Tokoh agama itu turut melahirkan kekesalannya terhadap beberapa penulis blog termasuk di kalangan beberapa pemimpin parti-parti politik yang menyatakan sokongan mereka kepada keputusan berkenaan.

"Saya harapkan orang-orang ini boleh bersatu pandangan, memanglah setiap orang itu ada kebebasan bersuara.

"Kalau hal politik memanglah ada banyak pandangan, tapi kalau hal agama, kita perlu balik kepada kaedah agama.

"Kalau kita berpuas hati dengan perkara yang syirik ia akan membawa kepada kekufuran," katanya tanpa menyebut secara khusus blog-blog berkenaan. >mStar

3 Jan 2010

PAS arah Khalid Hentikan Kenyataan Tak Selari Dengan Parti

PAS mengarahkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad supaya berhenti daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang bertentangan dengan pendirian parti berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan majalah Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Yang Dipertua PAS Shah Alam itu juga seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangannya bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan di kalangan ahli dan juga masyarakat.

"Dalam isu ini saya fikir YB (Yang Berhormat) Khalid perlu lebih berhati-hati.

"Isu ini sangat sensitif, kalau kita tersalah memberi pandangan, impaknya sangat besar," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perbalahan terbuka antara Khalid dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berhubung keputusan kontroversi Mahkamah Tinggi itu.

Media hari ini melaporkan bahawa Zulkifli mendesak supaya Khalid keluar dari PAS dan menyertai parti lain termasuk DAP kerana menyokong keputusan tersebut.

Zulkifli juga mendakwa kenyataan Khalid itu telah merosakkan imej PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Desakan Zulkifli itu dibuat sebagai respons kepada kenyataan awal Khalid yang dimuatkan dalam blognya iaitu Allah bukan Tuhan kepada orang Islam semata-mata tetapi Tuhan kepada seluruh alam semesta, termasuk orang bukan Islam dan Rasulullah tidak pernah menghalang penggunaan perkataan Allah oleh orang bukan Islam.

Katanya, al-Quran sendiri mempunyai banyak ayat yang menunjukkan bahawa orang bukan Islam, sama ada golongan Musyrikin, Yahudi mahu pun Nasrani menggunakan perkataan Allah apabila mereka memaksudkan Tuhan semesta alam.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS beranggapan bahawa kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam itu merupakan pandangan peribadinya dan tidak mewakili parti.

"Itu hanyalah pandangan peribadi beliau, bukan pandangan PAS secara keseluruhannya," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya akan mengambil sebarang tindakan terhadap Khalid, Tuan Ibrahim berkata: "Saya fikir tak perlulah sampai nak ambil tindakan disiplin terhadap beliau.

"Kita dalam PAS sentiasa mengamalkan dasar terbuka apabila mengeluarkan pandangan, tapi dalam hal ini beliau bercakap mengikut pandangannya berdasarkan hukum ciptaan iaitu tuhan kepada semua manusia ialah Allah."

Mengulas sama ada tindakan Khalid itu akan menjatuhkan imej PAS kerana masyarakat melihat wujudnya perselisihan pandangan di kalangan pemimpin parti itu terutamanya dalam isu-isu sensitif, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya sememangnya tidak menyekat kebebasan bersuara.

"Kita tak sekat ahli-ahli PAS yang ramai ini untuk memberi pandangan, tapi pandangan yang menjadi dasar PAS adalah datang dari enam peringkat tertinggi dalam parti iaitu Mursyidul Am dan timbalannya, Presiden dan timbalannya, Setiausaha Agung serta Ketua Penerangan.

"Kenyataan mereka ini kita anggap sebagai kenyataan rasmi parti," katanya.

Tambah Tuan Ibrahim lagi, pendirian PAS adalah jelas bahawa parti itu sememangnya membantah kebenaran yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi itu berhubung penggunakan kalimah Allah.

"PAS membantah sekeras-kerasnya mengenai perkara ini dan kami menyokong semua usaha termasuk rayuan yang akan dilakukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap keputusan itu," katanya.Mstar

PEMUDABESUT @ HIMPIT10K

Berita berkaitan dalam PEMUDA BESUT

Blog Widget by LinkWithin

Hancur...Hancur..... Hancur Yahudi.....

ANTARA YANG WAJIB KITA LAKUKAN
Kita Mampu Melakukannya Insyaallah

Wahai Ummat Islam ! Marilah kita lakukan apa sahaja yang mampu kita lakukan demi saudara seagama dan seaqidah yang kini sedang dizalimi , dikepong dan diletupkan oleh Yahudi Alaihilaknatullah .

Mudah-mudahan kita tidak termasuk dalam golongan yang membiayai Yahudi untuk membunuh Ummat Islam di Palestine .


BOYCOTT ISRAEL CAMPAIGN

SENARAI BARANGAN YANG PERLU DIBOIKOT (SILA KLIK)

TAJUK SEBELUM....

PANDANGAN DALAM LAMAN INI
TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER & DPPKB

(DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BESUT, TERENGGANU DARUL IMAN)

©1429 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini
untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.