Ruang Iklan Untuk Disewa (RM50 sahaja Sebulan) Sila Email dppkbesut@gmail.com untuk tempahan.

TV ONLINE

12 Jun 2010

Undi PAS naik 3 ganda dalam 10 tahun

KOTA BARU, 12 Jun — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menolak tanggapan mendakwa PAS sudah mula kehilangan sokongan pengundi-pengundi Melayu hanya kerana menjalin kerjasama dengan komponen Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu.
Ketika beberapa perwakilan menimbulkan kebimbangan bahawa PAS kemungkinan akan kemerosotan sokongan pengundi Melayu Islam disebabkan kerjasama dengan Pakatan Rakyat dan pembentukan Dewan Himpunan Penyokong PAS, Khalid berkata, hakikatnya undi diterima parti itu terus mengalami peningkatan.
“Ketika kita hendak menggantikan Umno... tanggapan undi Melayu lari daripada PAS kerana bersama Pakatan Rakyat, itu (saya rasa) tanggapan yang meleset,” kata beliau ketika membahaskan usul persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 pada Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di sini petang ini.
Sambil memetik hasil kajian badan pemikir Insap, Khalid berkata, maklumat menunjukkan jumlah undi yang diterima oleh PAS sepanjang tiga pilihan raya umum yang lalu terus meningkat.
Kata beliau, hasil kajian itu mendapati PAS menerima 367,000 undi pada pilihan raya umum 1999 dan ia meningkat kepada 1.1 juta undi dua tahun yang lalu.

10 Jun 2010

Pemuda: PAS terima bukan Islam tak ancam orang Melayu

Nasrudin (serban) mendengar hujah-hujah yang diperbentangkan. - Gambar oleh Choo Choy May

KOTA BARU, 10 Jun - Dewan Pemuda PAS mempertahankan usaha parti itu membentuk Dewan Himpunan Penyokong PAS dengan menegaskan, langkah tersebut tidak bercanggah dengan usaha mengekalkan sokongan bukan Melayu dan meraih sokongan lebih luas daripada masyarakat Melayu.

“Dewan Pemuda PAS begitu meyakini, rahmat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada seluruh alam adalah daripada Allah s.w.t. Tuhan yang maha Penyayang.

“Ia merupakan satu jaminan masyarakat Melayu dan bukan Melayu boleh hidup dengan harmoni dalam negara ini,” kata Nasrudin Hasan at-Tantawi dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat di sini hari ini.

Nasrudin berkata, dengan gandingan pelbagai pihak PAS mahu meningkatkan sokongan Melayu-Islam sehingga antara 15 hingga 20 peratus.

Nasrudin, hanya golongan yang berpegang kepada politik perkauman yang sempit seperti Umno dan BN, beranggapan masyarakat Melayu akan terancam sekiranya keadilan diberikan kepada masyarakat bukan Melayu.

“Sedangkan menurut Islam, keadilan itu merupakan sesuatu yang wajib diberikan kepada golongan bukan Islam sebagaimana firman Allah swt dalam ayat ke 8, surah al-Mumtahanah,” katanya.

Bertitik tolak daripada hakikat itu, kata beliau, Dewan Pemuda PAS menyeru kepada pendukung dan penyokong parti supaya menghentikan perselisihan dalaman yang tidak berkesudahan.

“Yakinlah bahawasanya tiada percanggahan antara usaha untuk mempertahankan sokongan masyarakat bukan Melayu seperti yang diperolehi oleh PAS dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu dengan usaha untuk meraih sokongan masyarakat Melayu untuk pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

“Kedua-dua golongan masyarakat bukan Melayu (ummah al-da`wah) dan masyarakat Melayu (ummah al-ijabah) sepatutnya didekati supaya mereka boleh memahami hala tuju perjuangan PAS,” katanya.

Dewan Himpunan Penyokong PAS dibentuk dengan menaikkan taraf Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan enam tahun lalu bagi mengiktiraf penyokong bukan Islam.

Di sebalik usaha itu timbul keperluan bagi PAS itu untuk mengekalkan pangkalan sokongan orang Melayu khususnya di kawasan luar bandar.

“Ayuh! mari kita gemblengkan tenaga untuk mendekati mereka demi membina negara Malaysia yang sejahtera, adil, saksama dan mendapat keredhaan Allah berteraskan prinsip yang digariskan oleh al-Quran,” katanya.TMI

Dr Hasan Ali Fail Saman Fitnah RM20 Juta

SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Hasan Mohamed Ali memfailkan saman fitnah bernilai RM20 juta terhadap empat defendan termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana didakwa mengeluarkan kenyataan mengandungi fitnah terhadapnya berhubung larangan berpolitik di masjid.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor, Datuk Zainal Abidin Sakom dan dua syarikat akhbar, iaitu Utusan Melayu (Malaysia) Sdn Bhd dan Agenda Daily.Com Sdn Bhd.

Hasan Ali selaku plaitif memfailkan saman itu pada pukul 12.30 tengah hari hari ini, di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini menerusi Tetuan Nazri Saad Associates.

Selain ganti rugi pampasan yang bernilai RM20 juta, plaintif turut menuntut ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang akan ditafsirkan mahkamah, faedah, kos serta lain-lain relif yang difikirkan sesuai.

Plaitif yang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan defendan turut memohon injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya daripada melafazkan atau menerbitkan kata-kata yang memfitnahnya.

Pada penyataan tuntutannya, plaintif mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan yang memfitnahnya dengan niat jahat yang mencetuskan kebencian dan merendahkan taraf plaitif pada pandangan umum.

Plaintif turut mendakwa kenyataan itu dibuat dengan niat memperkecilkan kedudukan plaintif, iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Ahli Dewan Undangan Gombak Setia.

Kenyataan defendan juga didakwa plaintif membawa maksud beliau menderhaka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya tidak menjadikan masjid dan surau sebagai gelanggang berpolitik.Mstar

8 Jun 2010

Anwar: JK Hak, Kebebasan Parlimen tangguh



Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sebentar lagi membuat keputusan untuk menangguhkan kes merujuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Anwar pada sidang media selepas itu berkata, penangguhan itu disebabkan jawatankuasa tersebut perlu menentukan sama ada beliau boleh membawa peguam semasa dirujuk.

Katanya, jawatankuasa itu juga perlu menentukan sama ada peguam yang dibawa bersama dibenarkan bercakap atau tidak.

"Saya telah kemuka cadangan dan notis diberikan semalam supaya peguam pilihan saya dapat bersama dan ini mengikut peraturan mesyuarat yang membolehkan.

"Jadi sekarang ini prosiding ditangguh untuk menetapkan sama ada peguam datang untuk menasihat sahaja atau peguam boleh berbicara.

"Ikut tafsiran saya, kalau peraturan kata peguam dibenar bersama maksudnya peguam boleh mengemukakan pandangan," katanya.

Semasa menunggu untuk dipanggil memasuki kamar jawatankuasa berkenaan, Anwar ditemani oleh peguamnya beserta Ahli Parlimen Machang dan Kuantan daripada PKR, Saifudin Nasution Ismail dan Fuziah Salleh manakala Ahli Parlimen PAS ialah Datuk Kamarudin Jaffar (Tumpat), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Khalid Samad (Shah Alam).

Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan memasuki kamar itu kecuali Anwar sahaja.

Pada 22 April lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul mengheret Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang dianggapnya Umno memaksa satu usul diluluskan walaupun ia bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 36(12) dan 80(1).

7 Jun 2010

PAS cadang wujud tentera OIC kawal misi kemanusiaan

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencadangkan agar diwujudkan pasukan tentera di kalangan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi memayungi misi kemanusiaan ke Gaza.

Tegasnya, misi bantuan tersebut mesti diteruskan, namun perlu dipayungi oleh tentera yang diwujudkan oleh OIC atau pihak antarabangsa demi keselamatan anggota misi dan memastikan bantuan sampai ke Gaza.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang juga mahukan Malaysia menggunakan pengaruh OIC, NAM dan PBB bagi mengheret pemimpin rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) walaupun secara paksa.

Ini, katanya kerana tindakan kejam zionis Israel sejak sekian lama adalah tidak bertamadun, mencabul undang-undang antarabangsa, melampau fitrah kemanusiaan dan lebih teruk daripada binatang.

"Fitrah kemanusiaan ada kesihan belas terhadap manusia bahkan kepada binatang," katanya ketika membahaskan usul mengutuk keganasan rejim zionis Israel di Dewan Rakyat, sebentar tadi. Usul tersebut dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi.

Tindakan Israel itu juga, katanya aalah manifestasi ideologi zionisme yang mahu membina sebuah negara Israel agung di bumi Palestin sehingga mengenepikan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kita mempunyai tanggungjawab bersama sangat besar, ketepikan kepentingan politik, bersatu atas sifat kemanusiaan," katanya lagi.

Kuasa ketiga di Dewan Rakyat

Lima bekas Ahli Parlimen Bebas, yang keluar Parti Keadilan Rakyat sejak awal tahun ini, hari ini mengumumkan pembentukan Konsensus Bebas di Dewan Rakyat.

Kelima-lima wakil rakyat berkenaan ialah Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Samsuri (Bagan Serai), Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju).

Mereka berkata konsensus itu akan berperanan sebagai “blok ketiga” untuk menawarkan suara yang berkesan di Parlimen.

Seorang lagi wakil rakyat Bebas ialah Datuk Ibrahim Ali.

Ibrahim, Presiden Perkasa dari awal tidak bersetuju dengan pembentukan blok wakil rakyat Bebas.

Beliau berkata konsensus berkenaan akan memberi fokus kepada pembentukan dasar-dasar yang mengutamakan rakyat selain membawa isu-isu rakyat dan negara dengan lebih inovatif berteraskan semangat reformasi tulen dan jujur.

Ditanya sekiranya konsensus berkenaan akan turut dianggotai wakil rakyat Bebas lain Ibrahim, Zahrain berkata: “Kita belum bincang lagi dengan beliau (Ibrahim) tetapi kami mengalu-alukan semua anggota Bebas untuk menganggotai konsensus ini.

“Kami juga akan memaklumkan Parlimen mengenai penubuhan konsensus ini selain akan menubuhkan sekretariat dan laman web kami sendiri,” katanya.

Zahrain berkata, Konsensus Bebas membentuk satu blok bebas di Parlimen yang efektif, bebas dan non-partisan selain menzahirkan pandangan serta tindakan politik secara bebas tanpa dibelenggu oleh kongkongan batasan politik kepartian dalam menyampaikan pendirian dan dasar-dasar politik sebagai Ahli Parlimen Bebas.

“Konsensus Bebas yakin untuk berperanan secara berkesan menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen walaupun tidak dinaungi oleh mana-mana parti politik,” kata Zahrain yang mewakili empat anggota lain pada sidang media di lobi Parlimen di sini.

Beliau berkata untuk menjadi Ahli Parlimen yang berkesan bukan terletak pada parti yang diwakili tetapi kepada kesungguhan dan kejujuran dalam berpolitik.

Kabinet Baru Malaysia-Kemana Arah Khairy Jamaluddin?

Dewan PEMUDA PAS Pusat (DPPP) merasakan yang PEMUDA UMNO sememangnya patut mempunyai sikap iri hati terhadap parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain setelah pembentukkan kabinet Kerajaan Malaysia yang baru diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak (PM) sekali lagi menyaksikan ketua mereka iaitu Khairy Jamaludin (KJ) yang juga merupakan MP Rembau tidak disenaraikan dalam barisan kabinet yang dibentuk.

Walaupun penafian demi penafian dibuat kononnya yang mereka sedikit pun tidak terkilan malah menyifatkan ini sebagai propaganda pihak pembangkang seperti yang terbaru, komen daripada Naib Ketua mereka, Dato’ Razali Ibrahim yang mengatakan ini adalah tindakan mereka yang tidak matang dan cuba memutar belitkan isu. Akan tetapi apabila melihat rayuan kepada PM yang datangnya daripada PEMUDA UMNO negeri-negeri seolah-olah tanda mereka sendiri tidak percaya yang ketua mereka disisihkan oleh PM.

Ketua PEMUDA UMNO Selangor, Suhaimi Mohd Ghazali mengingatkan PM supaya tidak sentiasa melupakan KJ. Ada yang berpendapat bahawa KJ setidak-tidaknya harus dilantik menjadi timbalan menteri sepertimana naib ketuanya.

Dalam tradisi UMNO, ketua pemudanya sentiasa diberikan jawatan di dalam kabinet antaranya Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein dan PM sendiri. Jadi jelaslah ada sesuatu yang tidak kena apabila KJ tidak dilantik menjadi menteri walaupun menang dalam Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu dan menang dalam pemilihan PEMUDA UMNO yang lepas.

Persoalannya, mengapa KJ diketepikan oleh PM sementara Dato’ Mukhriz Mahathir dilantik menjadi Timbalan Menteri Jabatan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedangkan beliau kalah dalam pemilihan yang lepas. Mungkinkah KJ dilihat sebagai ‘liability’ kepada UMNO itu sendiri? Apakah KJ tidak layak dimata PM? Cukupkah sekadar meletakkan KJ di parlimen tanpa ada ‘portfolio’ yang lain sehinggakan beliau mempunyai banyak masa untuk menyertai latihan Askar Wataniah selama sebulan?

DPPP mengharapkan agar PEMUDA UMNO tegas dan lantang dalam memperjuangkan hak ketua mereka dalam kerajaan PM sekarang agar PEMUDA UMNO terus dapat dilihat ‘relevan’ dengan suasana politik semasa. Jika tidak, bimbang suatu masa nanti PEMUDA UMNO dianggap sebagai salah satu sayap parti yang hanya digunakan untuk pilihanraya sahaja. Peranan mereka tidak lebih daripada itu kerana jika dilihat senario sekarang jelas memihak kepada parti komponen BN yang lain demi untuk memancing undi kaum lain. Jadi apa peranan PEMUDA UMNO jika ketua mereka sendiri di’tukun’kan oleh PM?


UST. AZMAN SHAPAWI ABD.RANI
Timb. KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

Pengadil negara akan beraksi pada perlawanan pembukaan Piala Dunia



Malaysia tidak bertanding pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang bermula 11 Jun ini tetapi wakil negara akan “beraksi” pada perlawanan pembukaan antara pasukan tuan rumah Afrika Selatan dan Mexico sebagai pengadil.

Pengadil Subkhidin Mohd Salleh, 44, bakal mengharumkan nama negara apabila terpilih sebagai pengadil keempat pada perlawanan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata Subkhidin adalah wakil Malaysia yang pertama dipilih sebagai pengadil untuk perlawanan Piala Dunia.

“Baru tadi saya diberitahu oleh urusetia Persatuan Bola Sepak Malaysia bahawa Subkhidin mendapat penghormatan sebagai pengadil keempat pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2010 antara Mexico dan Afrika Selatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

“Walaupun sebagai pengadil keempat, ia merupakan satu penghormatan kepada Malaysia kerana bukan senang untuk terpilih sebagai pengadil perlawanan pembukaan,” katanya.

Raja Ahmad Zainuddin berkata pemilihan Subkhidin, guru Sekolah Menengah Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang, sebagai pengadil pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2010 itu merupakan satu penghormatan kepada Malaysia dan arena bola sepak negara.

Subkhidin yang mempunyai kelayakan sebagai pengadil Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pernah dipilih untuk Piala Dunia 2006 di Jerman tetapi tidak mengendalikan sebarang perlawanan.

Sebanyak 30 pengadil akan bertugas mengendalikan 64 perlawanan sepanjang kejohanan bola sepak empat tahun sekali itu.

Dua pengadil Malaysia lain pernah dipilih sebagai pembantu pengadil kejohanan itu iaitu Allahyarham Kapten Halim Abdul Hamid di Piala Dunia 1998 di Perancis dan Mat Lazim Awang Hamat pada Piala Dunia 2002 ketika Korea Selatan dan Jepun menjadi tuan rumah bersama.

Pada kejohanan kali ini, FAM akan mempunyai dua lagi pegawai yang turut terlibat iaitu Datuk Dell Akhbar Khan dalam aspek keselamatan dan Paul Windsor sebagai komisioner perlawanan dan penyelaras gelanggang. — Bernama

6 Jun 2010

Israel bebas sukarelawan Malaysia naiki Rachel Corrie

Enam sukarelawan Malaysia yang menaiki kapal MV Rachel Corrie, kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dirampas Israel semalam dibebaskan di sempadan Israel-Jordan pada pukul 5.20 petang waktu Malaysia.

Mereka terdiri daripada anggota Parlimen Mohd Nizar Zakaria, anggota Pertubuhan Damai Perdana Global Shamsul Akmar, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, serta dua anggota akhbar, Halim Mohamed dan Mohd Jufri Judin dari TV3. — Bernama

PEMUDABESUT @ HIMPIT10K

Berita berkaitan dalam PEMUDA BESUT

Blog Widget by LinkWithin

Hancur...Hancur..... Hancur Yahudi.....

ANTARA YANG WAJIB KITA LAKUKAN
Kita Mampu Melakukannya Insyaallah

Wahai Ummat Islam ! Marilah kita lakukan apa sahaja yang mampu kita lakukan demi saudara seagama dan seaqidah yang kini sedang dizalimi , dikepong dan diletupkan oleh Yahudi Alaihilaknatullah .

Mudah-mudahan kita tidak termasuk dalam golongan yang membiayai Yahudi untuk membunuh Ummat Islam di Palestine .


BOYCOTT ISRAEL CAMPAIGN

SENARAI BARANGAN YANG PERLU DIBOIKOT (SILA KLIK)

TAJUK SEBELUM....

PANDANGAN DALAM LAMAN INI
TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER & DPPKB

(DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BESUT, TERENGGANU DARUL IMAN)

©1429 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini
untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.