KOTA TINGGI: Sebuah gereja katolik, St Elizabeth di Jalan Kota Kecil, di sini, dilempar cat merah yang dipercayai berlaku awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Osman Mohamed Sebot berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 8.30 pagi.
"Terdapat tujuh kesan dua jenis cat merah di gereja itu termasuk di pintu pagar utama, pintu masuk hadapan dan bahagian perkarangan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Osman berkata individu yang terlibat dalam kejadian itu didapati memasukkan dua jenis cat merah berkenaan ke dalam tujuh bungkus plastik sebelum melemparkan ke gereja tersebut, sama ada dari bahagian hadapan pintu pagar utama atau dari tepi.
Beliau berkata polis turut menemui dua tong cat, satu cat merah dan coklat, yang ditinggalkan di dalam longkang di luar pagar gereja itu.
Berdasarkan sebahagian cat yang masih basah, Osman berkata pihaknya percaya kejadian itu berlaku antara pukul 6 hingga 7 pagi tadi dan dilakukan oleh lebih daripada dua individu.
"Kita tidak mahu membuat spekulasi dan sedang menyiasat motif kejadian ini termasuk mengesan saksi kejadian.
"Mana-mana orang ramai yang melihat kejadian ini diminta tampil membuat laporan ke balai polis," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan