Parti KeADILan Rakyat hari ini menghantar nota bantahan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), berikutan kegagalan badan itu mengendalikan Pilihan raya Kecil Permatang Pauh secara adil dan telus.
Dalam suratnya juga beliau menegaskan, KeADILan amat tidak berpuashati dengan SPR walaupun banyak aduan, kritikan dan cadangan, badan itu masih tidak berubah.
Berikut disiarkan teks penuh surat bantahan KeADILan kepada SPR;
RUJUKAN KAMI: SUA2008/SPR/0115
TARIKH: 21 Ogos 2008
Yang Berbahagia
Tan Sri Dato' Seri Ab. Rashid b. Ab. Rahman
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia
Aras 4 & 5, Blok C7, Kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62690 PUTRAJAYA
Yang Berbahagia Tan Sri,
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
ADUAN BERHUBUNG PERJALANAN KEMPEN PILIHANRAYA KECIL P.44 PARLIMEN PERMATANG PAUH
Menemui Yang Berbahagia Tan Sri semoga dalam lingkungan kesejahteraan yang baik.
Merujuk kepada perkara di atas dan seperti yang kita maklumi bersama bahawa Pilihanraya Kecil bagi Parlimen Permatang Pauh sedang rancak berjalan. Pilihanraya kali ini dianggap paling menjadi tumpuan negara dan dunia kerana mempertemukan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim menentang calon dari Umno dan AKIM.
Adalah sangat mendukacitakan ketika seluruh rakyat dan masyarakat antarabangsa begitu berminat mengikuti perkembangan pilihanraya, namun perjalanan kempen pilihanraya terus dicemari dengan pelbagai salah laku kempen yang memperlihatkan kelemahan sistem demokrasi di Malaysia dan tentunya memperlihatkan kegagalan SPR untuk mengendalikannya secara adil dan telus.
Saya sangat mempersoalkan kredibiliti dan kerja SPR kerana apa yang timbul bukanlah perkara baru malahan ianya adalah perkara sama yang berbangkit pada setiap kali pilihanraya walaupun berbagai-bagai aduan, kritikan, dan cadangan telah dikemukakan kepada pihak SPR.
Sehubungan dengan itu saya meminta dan berharap agar SPR dapat meneliti untuk bertindak dengan serius dan bersungguh-sungguh terhadap aduan yang saya kemukakan seperti berikut;
i. Nama Pengundi Hilang
Dilaporkan bahawa terdapat lebih dari 900 pengundi yang namanya tercicir dan hilang daripada buku daftar pemilih bagi Parlimen P.44 Permatang Pauh. Nama-nama tersebut terdapat dalam senarai daftar pemilih yang lepas dan boleh membuang undi pada pilihanraya umum ke 12 baru-baru ini kini didapati tercicir dari daftar pemilih terbaru.
ii. Pemilihan Hari Bekerja Sebagai Hari Membuang Undi
Dilaporkan bahawa pemilihan hari Selasa 26hb Ogos, 2008 iaitu hari bekerja adalah sesuatu yang sangat dipersoalkan kerana akan menyukarkan kepada pengundi untuk membuang undi terutamanya pengundi-pengundi yang bekerja dan pengundi yang berada diluar kawasan.
iii. Menggunakan Agensi Kerajaan Untuk Tujuan Kempen Umno/BN
Agensi kerajaan telah dugunakan secara terang-terangan untuk berkempen bagi pihak Parti kerajaan Umno/Barisan Nasional. Penglibatan agensi kerajaan untuk tujuan kempen adalah menjadi suatu kesalahan dan melanggar etika kempen pilihanraya
iv. Laporan Media Yang Berat Sebelah
Laporan media terhadap kempen pilihanraya secara keseluruhannya menyebelahi calon Umno/BN dan pendekatan menyerang calon Parti Keadilan Rakyat secara keseluruhannya laporan media adalah sesuatu yang malang bagi prinsip etika media dan sistem Demokrasi Malaysia.
v. Penggunaan Pasukan Anggota Keselamatan
Kempen pada kali ini menampakkan kawalan keselamatan yang berlebihan. Ramainya anggota polis, menggunakan helikopter dan polis simpanan persekutuan adalah bertujuan untuk mengganggu kempen dan mewujudkan rasa takut kepada pengundi disamping media cuba melabelkan Parti Keadilan Rakyat dengan keganasan yang langsung tidak berasas sama sekali.
vi. Mengambil Kad Pengenalan Pengundi
Terdapat laporan petugas-petugas kempen Umno/BN telah berjumpa dengan pengundi dan mengambil kad pengenalan pengundi atau salinan kad pengenalan. Tindakan ini adalah menjadi suatu kesalahan dan mewujudkan kesangsian tindakan Umno/BN.
vii. Sogokan Wang kepada Pengundi
Dilaporkan bahawa kempen Umno/BN telah menggunakan sogokan wang untuk meraih undi. Petugas Umno/Bn bertemu pengundi menawarkan wang supaya pengundi diminta mengundi calon Umno/BN atau pun pengundi menyerahkan kad pengenalan mereka. Tindakan ini selain menyalahi etika pilihanraya dan mempunyai unsur amalan rasuah.
Kerjasama dan tindakan dari pihak Tan Sri saya hargai dengan ucapan terima kasih. Semoga usaha bersama kita memartabatkan demokrasi Malaysia akan mencapai kejayaan.
Sekian, terima kasih.
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Rakyat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan