KOTA BARU, 5 Mei — Peguam Gobind Sing Deo (gambar) yang mewakili Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra mendakwa gagal menemui baginda untuk menyediakan afidavit kerana dihalang pihak tertentu.
“Kami telah buat percubaan untuk berjumpa dengan Tuanku Sultan untuk mendapat (menyediakan) afidavit untuk tindakan satu mahkamah tetapi kami dihalang, tidak dibenarkan oleh pihak polis, seterusnya kami juga buat percubaan untuk berjumpa dengan Raja Perempuan tapi gagal juga kerana tidak dibenarkan.
“Saya datang ke sini untuk jumpa anak guaman untuk sediakan afidavit, saya tidak tahu apa perlu untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak-pihak tertentu,” kata beliau kepada pemberita di pekarangan pintu masuk utama Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian petang ini.
Beliau enggan menyatakan tujuan afidavit itu.
Bagaimanapun kata beliau, pihaknya akan mengadakan sidang media di Kuala Lumpur esok untuk menjelaskan tindakan susulan.
Kegagalan menemui Sultan Kelantan menyebab beliau tidak dapat mengesahkan butir-butir afidavit tersebut.
Gobind yang dikatakan buat pertama kali mewakili Sultan Kelantan itu hadir di hospital berkenaan dengan ditemani peguam Datuk Haziq Pillay kira-kira 5.30 petang.
Dalam pada itu Gobind menganggap usaha menghalang beliau sebagai satu situasi yang agak aneh.
“Sesuatu yang agak aneh bila peguam dihalang daripada berjumpa anak guamnya, lebih-lebih lagi baginda merupakan Sultan dan Raja Perempuan bagi negeri Kelantan.
“Pada kami semua orang ada hak untuk membawa tindakan ke mahkamah untuk mempertahankan diri mereka.
“Dan kami di sini hanya untuk mendapatkan dokumen supaya dapat teruskan satu tindakan,” jelasnya.
Sehubungan itu beliau berharap kes berkenaan dapat difailkan di mahkamah dalam masa terdekat.
“Kita akan berusaha mendapatkan jalan alternatif sekiranya gagal untuk kami jumpa anak guaman kami.
“Dan kita akan beri semua butir-butir berkenaan dengan ini apabila kita failkan nanti, saya tak boleh beri maklumat itu sekarang ini,” tambahnya.
Menjawab pertanyaan pemberita sama ada selepas ini Sultan Kelantan akan dibawa ke Singapura setelah gagal berbuat demikian semalam, beliau berkata, “setakat ini apa yang saya tahu Tuanku nak pulang ke Istana.”
Sultan Kelantan dimasukkan ke HUSM malam tadi selepas dipertikaikan keberangkatannya ke Singapura untuk rawatan susulan.
Berikutan itu juga Tengku Temenggong dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan berada di premis itu kira-kira tiga jam.
Mereka ditahan kira-kita 100 meter dari Istana Mahkota oleh pasukan polis dari Unit Tindakan Khas semasa dalam perjalan menuju ke lapangan terbang untuk berangkat ke Singapura.
Turut ditahan dua doktor peribadi Sultan Kelantan dan lima anggota keselamatan Tengku Temenggong.TMI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan