Oleh Roslan SMS
Yayasan Basmi Kemiskinan – YBK sehingga hari ini terus menjadi topik perbualan hangat khasnya di negeri Selangor. Laporan SPRM telah dibuat, kertas putih mengenainya akan dikeluarkan. Mengapa tiba-tiba isu kemiskinan dipolitikkan?
Semalam selepas solat Jumaat, dengan laluan mudah dan lancar (kalau pihak lain sudah pasti ditahan atau diseret ke mahkamah) segerombolan gurkha-gurkha Umno dan NGO yang kononnya dikenali Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara berarak dengan marah-marah dari Masjid Negeri ke Bangunan SUK Shah Alam untuk memprotes dan menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri Selangor berkenaan isu YBK.
YBK menjadi modal hangat selepas kerajaan negeri memohon agar MB dan beberapa wakil kerajaan dibenarkan duduk dalam lembaga yayasan berkenaan. Jika yayasan ini ditubuhkan untuk membasmi kemiskinan dan modal atau asetnya datang dari kerajaan negeri dalam bentuk dana dan hartanah wajarlah Menteri Besar duduk dalam lembaganya kerana rakyat Selangor wajib mengetahui kemana perginya dana dan harta kerajaan negeri. Berapa banyka yang telah dibelanjakan untuk tujuan pembasmian kemiskinan? Berapa ramaikah yang telah dibantu? Apakah sasaran seterusnya?
Tiba-tiba tuntutan untuk menzahirkan ketelusan itu disambut dengan laporan kepada SPRM. Kononnya MB menyalah-guna kuasa! Dalam kekalutan itu kerajaan negeri menuntut YBK meneyelesaikan tunggakan cukai tanahnya bernilai RM5.4 juta khasnya ke atas tanah kerajaan negeri yang diberikan kepadanya di Serendah, Hulu Selangor seluas 1,300 ekar yang bernilai RM78juta ringgit.
Lalu panas hatilah para pengendali dan pengurus yayasan ini yang rata-rata berselindung disebalik kain sarong Umno.
Atas hasutan dan barangkali upahan pihak berkepentingan maka beraraklah budak-budak mereka, menuntut berbagai tuntutan termasuklah mendesak Tan Sri Khalid Ibrahim meletak jawatan sebagai MB Selangor.
Demikianlah keghairahan Umno Selangor, apa sahaja isu walau sekecil kuman, kalau boleh dicanai dan digoreng akan dijaja demi untuk menjatuhkan kerajaan sah pilihan rakyat ini. Yang berarak entahkan tahu entahkan tidak isu sebenar, tapi berarak juga kerana yang penting kerajaan PR Selangor mesti diaibkan.
Isunya disini adalah agenda pembasmian kemiskinan. Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ditubuhkan dengan semangat mahu melahirkan sebuah negeri Selangor yang berkebajikan, membantu golongan susah, memerangi kemiskinan. Kerana itu diperkenalkan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) agar rakyat negeri ini bukan sekadar akan hidup dalam sebuah negeri maji tetapi turut menikmati limpahan dari kemajuan itu. Biar negeri maju rakyat pun senang.
Sejauh manakaha YBK bawah tangan Umno sejak ia ditubuhkan pada April 1990 telah membantu dalam membasmi kemiskinan di Selangor. 20 tahun YBK bawah tangan Zainal Sakom (bekas SETPOL Mat Taib ketika beliau MB) berapa ramaikah rakyat miskin menjadi senang setelah dibasmi kemiskinan mereka?
Saya harap yang ramai-ramai berarak itu turut bertanya soalan ini. Tahukah mereka ada khabar yang mengatakan yayasan ini turut digunakan semasa Mat Taib berkempen untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno dahulu, betulkah? Mungkin Zainal Sakom boleh menjawabnya, kerana mengikut maklumat demikianlah yayasan-yayasan (tertentu) yang lain seluruh negara digunakan ketua-ketua negeri Umno setiap kali ada pertandingan dalam parti mereka. Agaknya yayasan di Melaka yang mahu membantu rakannya di Selangor ini juga terlibat ketika Pak Ali Rustam bertanding dulu?
Tiba-tiba melompat dari Pasir Mas ke Shah Alam, Presiden PERKASA, Ibrahim Ali, mendakwa kerajaan PR Selangor angkuh dan sombong dan turut menuntut MB letak jawatan. Rakyat Selangor tidak perlu orang lompat-lompatan yang tiada prinsip dalam perjuangan itu untuk mengajar mereka apalagi mendesak ketua mereka letak jawatan.
Kerana tidak telus, kerana mempolitkkan agenda kemiskinan, kerajaan negeri Selangor pilihan rakyat berhak ambil tahu darihal perjalanan di YBK. Jika enggan, maka wajarlah diputuskan sahaja hubungan dengan yayasan ini. Saya percaya seluruh rakyat di negeri ini bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Khalid apabila beliau berkata:
“Mungkin kerajaan terdahulu tidak mahumengambil tahu tetapi kerajaan Pakatan Rakyat tidak boleh membelakangkan isu ini kerana kami bertanggungjawab atas setiap wang rakyat.”
Dalam isu YBK ini seluruh rakyat Selangor yang prihatin, mahukan ketelusan dan keadilan berdiri teguh di belakang MB dan kerajaan negeri Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan