Ruang Iklan Untuk Disewa (RM50 sahaja Sebulan) Sila Email dppkbesut@gmail.com untuk tempahan.

TV ONLINE

Memaparkan catatan dengan label UMNO. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UMNO. Papar semua catatan

27 Okt 2008

Ezam jadi Anwar Ibrahim ke-2 untuk UMNO ~ Malaysiakini

Dua malam lepas saya hadir di kediaman Sdr Ezam Mohd Nor di Shah Alam atas jemputannya sempena Aidilfitri.

Dah lama tak bersua dengan Ezam. Kali terakhir saya berkomunikasi dengan beliau adalah semasa desas-desus beliau akan menyertai UMNO. Saya dan ramai kawan-kawan beliau dalam PAS telah memujuk untuk beliau tidak menyertai UMNO, malah mempelawa beliau menyertai PAS.

Saya tidak berminat mengulas lanjut tentang perkara yang membuatkan beliau menyertai UMNO. Saya cuma ingin menelah nasib beliau di dalam UMNO selepas ini.

Apabila Ezam menyertai UMNO ia diihat satu tamparan yang hebat untuk pembangkang terutamanya Anwar Ibrahim dan partinya, PKR. Ezam mampu menjadi satu senjata ampuh untuk UMNO berdepan dengan Anwar. Walaubagaimanapun, itu semua terbukti meleset apabila kehadiran Ezam gagal menjejaskan populariti Anwar dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh. Malah Anwar menang besar dalam pilihanraya tersebut.

Maka apa lagi yang ada pada Ezam untuk UMNO?

Mungkin tidak ada apa-apa lagi pada Ezam untuk Pak Lah, kerana tempoh beliau bertakhta di dalam UMNO hanya berbaki beberapa bulan lagi. Tapi saya percaya Najib tidak akan mempersia-siakan kehadiran Ezam di dalam UMNO. Najib sedang merencana banyak agenda dalam persediaan beliau mengambil alih tanggungjawab sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Antaranya adalah tanggungjawab besar beliau untuk memulihkan kredibiliti UMNO dan BN di mata rakyat.

PRU-12 baru-baru ini membuktikan rakyat menuntut reformasi besar dalam pentadbiran negara. Di mata rakyat, Malaysia sudah kepupusan nilai demokrasi dan keadilan. Di mata rakyat juga, pemimpin BN dan UMNO adalah pengamal politik rasuah dan korupsi. Untuk UMNO dan BN terus relevan dalam persada politik negara, mereka mesti berusaha merubah hakikat ini, atau dengan cara yang lain, mengubah persepsi terhadapnya.

Kebangkitan rakyat menuntut integriti, keadilan dan pemulihan demokrasi mesti ditangani Najib. Apakah Najib akan menggunakan Ezam untuk membuktikan kepada rakyat bahawa beliau sedang melaksanakan pemulihan demokrasi dan perang terhadap rasuah?

Ezam adalah tokoh demokrasi dan anti rasuah sejak sekian lama. Seperti kata Salahuddin Ayub, diri Ezam itu bagai sebuah instititusi yang memperjuangkan demokrasi dan menentang rasuah. Saya yakin semangat dan inspirasi menentang rasuah masih berpasak dalam diri Ezam, dan saya harap ianya masih sekental dulu.

Di awal zaman awal 80-an, ketika UMNO berdepan dengan kebangkitan idealisma Islam sedunia yang juga memberi kesan dalam arus politik Malaysia, Dr Mahathir telah membawa masuk Anwar Ibrahim untuk memberikan imej Islam di dalam UMNO. Kemasukan Anwar, tokoh muda ABIM ke dalam UMNO telah memberikan keyakinan kepada umat Melayu Islam bahawa UMNO cukup serius dalam pelaksanaan Islam. Ia juga berjaya mengimbangi suara PAS sebagai sebuah parti pembangkang yang melaungkan pelaksanaan Islam dalam pentadbiran negara. Maka rakyat terpesona dengan UMNO dan melupakan PAS. Apa yang terjadi pada Anwar selepas itu adalah sejarah yang kita semua maklum.

Mungkin kali ini UMNO akan menggunakan Ezam untuk meredakan tuntutan rakyat dan pembangkang kepada demokrasi dan penentangan terhadap rasuah. Mungkin selepas ini, Ezam akan diberikan satu kedudukan penting dalam mana-mana portfolio kerajaan dalam menangani rasuah.

Maka sepertimana Anwar berjaya membuat tempelan-tempelan program Penerapan Nilai-Nilai Islamnya dengan maksud meredakan tuntutan pelaksanaan Islam sepenuhnya oleh PAS, Ezam akan membuat tempelan-tempelan dalam program anti rasuahnya untuk membaiki imej UMNO dan meredakan tuntutan rakyat yang mendesak. Cukup untuk membuat rakyat terpesona semula dengan UMNO.

Itu telahan saya. Saya harap saya silap! ~ AHMAD SABKI YUSOF

9 Okt 2008

Majlis Ulama’ Umno ditubuhkan? ~ Malaysiakini

SATU

Bakal bekas Mufti Perlis menyarankan supaya Umno menubuhkan Majlis Ulama’ Umno. Cadangannya tidak kosong tetapi disertai justifikasi dan cadangan keanggotaannya. Justifikasinya, Umno masih berkuasa tetapi berpenyakit. Penubuhan majlis itu diharap dapat menunda parti itu kembali ke jalan betul dan menyelamatkan mereka yang berada di dalamnya. Keanggotaanya pula hendaklah terdiri daripada ulama’ yang jujur, amanah dan progresif yang mampu mengikat Umno dengan prinsip Islam secara syumul. Mereka juga hendaklah takut hanya kepada Allah dan bukan ulama’ fulus. Baginya, ulama’ yang pernah ada di dalam Umno sebelum ini banyak merosakkan Umno.

Adakah majlis ini sesuai ditubuhkan di dalam Umno? Siapakah ulama’ yang dikatakan ikhlas ingin berada di dalam Umno? Adakah majlis ini jika ditubuhkan dihormati oleh Umno? Soalan tersebut mudah dijawab.

Perkara lain yang perlu diteliti daripada cadangan ini ialah, ini merupakan pengiktirafan kepada peranan ulama’ di dalam masyarakat. Bakal bekas mufti itu tidak mencadangkan Majlis Jurutera Umno, Majlis Doktor Umno, Majlis Peguam Umno, Majlis Arkitek Umno atau Majlis Juruukur Umno atau.., tetapi Majlis Ulama’ Umno. Maksudnya kewujudan begitu banyak engineer, lawyer, surveyor, architec, doctor tidak menjadikan Umno parti bermoral, parti yang berjalan lurus, parti berjurus atau parti bertanggungjawab. Ulama’ juga yang diharapkan untuk membetulkan Umno.

Parti yang tidak memartabatkan ulama’ disaran supaya memartabatkan ulama’. Ulama’ disaran menjadi pembersih kepada kekotoran kumpulan sekular itu. Ulama’ dipinta tampil menunda kembali kapal Umno yang terpesong itu ke jalan betul. Adakah profesional yang berlambak, teknokrat yang berkarung, korporat yang bertimbun tidak mampu membetul, menyelamat atau membaiki Umno, mengapa ulama’?.

Ulama’ tidak bertempat di dalam Umno dan orang yang tidak bertempat inilah diminta membaiki Umno. Umno rosak kerana tidak memberi tempat kepada ulama’, maka untuk jadi baik Umno perlu memberi tempat kepada ulama’. Samada Umno sesuai untuk ulama’ atau tidak, itu soal lain. Tetapi Umno diminta memberi tempat kepada ulama’ kalau Umno ingin jadi parti baik, elok dan bermoral. Selama Umno tidak memberi tempat kepada ulama’, Umno akan kekal busuk seperti sekarang dan akan jadi lebih busuk lagi pada masa hadapan kerana makin banyak anggotanya yang akan buruk disebabkan kencing manisnya semakin parah.

DUA

PAS dipimpin ulama’ dan ulama’ di dalam PAS diinstitusikan melalui Majlis Syura Ulama’ dan Dewan Ulama’. Kepimpinan ulama’ walau pun difahami sebagai kepimpinan institusi ulama’, tetapi ia juga tersirat makna kepimpinan individu ulama’. Ia bermaksud ulama’ mesti menjadi ketua sebagai simbol kepada pendaulatan kepimpinan ulama’.

PAS ada masalah tapi tak sama macam Umno. Walau pun ada ahli yang tidak bermoral, tetapi PAS dikenali sebagai parti bermoral. Walau pun kadang-kadang PAS dijangkiti penyakit, namun dia tidak menular. Penyakitnya lekas sembuh dan parutnya pun mudah padam. Ringkas cakap, PAS parti baik untuk orang baik.

Orang yang rasa dirinya kurang baik tidak bersedia masuk PAS. Walau pun dia tak suka Umno, dia akan cari parti lain. Baginya PAS terlalu ‘suci’ untuk orang sepertinya. PAS dara sunti yang solehah sementara dia pula jejaka yang tidak layak ‘beristerikan’ PAS. Mengapa PAS ditanggapi umum sebegini? Adakah kerana PAS ramai jurutera, ramai doktor, ramai lawyer, ramai …?

Kenapa jurutera, lawyer, doktor dan …yang ramai dalam PAS tak pilih Umno? Jawabnya, kerana Umno parti korap dan ‘kurap’. Mengapa dia korap dan ‘kurap’? Kerana ulama’ tidak ada tempat di dalamnya. Buktinya, bakal bekas mufti itu mencadangkan supaya ditubuhkan Majlis Ulama’ Umno untuk ubati ‘kurap’ yang sedang menular di tubuh Umno.

TIGA

Cadangan bakal bekas mufti itu tidak dihalakan kepada PAS. Kenapa? Kerana PAS lebih awal sedar mengenai kepentingan ulama’ didaulatkan semenjak sebelum bakal bekas mufti itu dilahirkan lagi. Dia juga tidak membuat cadangan lain kepada PAS atau Umno. Dia tidak cadangkan penubuhan Majlis Jurutera, Majlis Doktor, Majlis Peguam dalam PAS atau Umno. Mungkin baginya majlis seperti itu tidak diperlukan oleh Umno, kerana mereka yang ramai ada dalam Umno hari ini tidak mampu mengubat ‘kurapnya’.

Majlis seperti itu pula tidak dicadangkan kepada PAS kerana memang PAS tidak memerlukan majlis seperti itu. Kalau ia perlukan pun bukan untuk mengubati penyakit, tetapi untuk membantunya yang sihat itu supaya dapat berlari lebih cergas, boleh buat tekan tubi lebih banyak, boleh angkat beban yang lebih berat.

Umno pula tak dapat nak lari laju, tak boleh buat banyak tekan tubi, tak boleh angkat lebih berat sebab dia berpenyakit dan ramai jurutera yang ada di dalamnya tak mampu ubati penyakitnya. Silap haribulan bawa penyakit baru pula. Dia perlukan ulama’ untuk ubati penyakitnya itu. Inilah relevannya cadangan bakal bekas mufti itu.

EMPAT

‘Kalau’ tidak dibenarkan oleh agama. ‘Kalau’ adalah mainan syaitan. Tapi ‘kalau’ patut dikatakan untuk menyedarkan dan mengingatkan. Apa ‘kalau’nya?

‘Kalau’lah PAS tidak ada Dewan Ulama’. ‘Kalau’lah PAS tidak ada Majlis Syura Ulama’. ‘Kalau’lah Presiden PAS bukan ulama’. ‘Kalau’lah Timbalan Presiden PAS bukan ulama’. ‘Kalau’lah ulama’ PAS macam ulama’ yang ada dalam Umno. ‘Kalau’lah PAS perintah Malaysia dalam keadaan seperti itu. ‘Kalau’lah bakal bekas mufti itu jadi mufti kerajaan PAS.

Ketika itu tentu bakal bekas mufti itu akan cadangkan, PAS wajar tubuhkan Majlis Ulama’ PAS.

~ Zolkharnain Abidin

Perjanjian Abdullah dan Najib: Khairy Ketua Pemuda UMNO Malaysia ~ Malaysiakini


Gambar : MOB1900


Perjanjian sudah termaktub. Abdullah akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak. Akan tetapi Abdullah memberi dua syarat:

1) Jangan batalkan projek Landasan berkembar yang ada kepentingan SCOMI

2) Pastikan Khairy menang sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Baca artikel sepenuhnya dibawah dari MYKMU:

Eksklusif: Khairy Akan Terus Berkuasa

Jika ada sesiapa yang menganggap menantu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Saudara Khairy Jamaluddin, bakal kehilangan kuasa dan pengaruh dalam politik UMNO berikutan ura-ura pengunduran Presiden UMNO ini, nyata ia merupakan satu hipotesis yang tidak tepat.

Maklumat terbaru yang diperolehi oleh MYKMU mendapati sudah ada usaha kem Abdullah untuk memaksa DatukSeri Najib memastikan kemenangan Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia Mac ini jika mahu Pak Lah meletak jawatan tanpa bertanding.

Menurut sumber, dua perkara yang diminta oleh Abdullah kepada Najib dalam pertemuan baru-baru ini ialah Jangan batalkan projek Landasan berkembar yang ada kepentingan SCOMI dan pastikan Khairy akan menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Najib dikatakan bersetuju permintaan pertama tetapi tidak memberi apa-apa pandangan terhadap permintaan kedua. Disebabkan itu, Pak Lah tidak mengumumkan persaraannya Mac 2009 seperti sepatutnya. Pak Lah mahu melihat gerak tari Najib terlebih dahulu.

Najib mempunyai sehingga 9 Oktober ini untuk mencari jalan memastikan Khairy menang jawatan Ketua Pemuda atau sekurang-kurangnya meyakinkan Pak lah bahawa Najib akan memastikan Khairy menang.

Cakap-cakap di Kota Bharu juga mengesahkan Setiausaha Politik Datuk Seri Najib, Datuk Fatmi telah meminta Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu mencalonkan Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda bagi menunjukkan restu Najib terhadap menantu Abdullah.

Bagaimanapun sehingga berita ini ditulis, Mykmu difahamkan usaha Datuk Fatmi ini bukanlah atas arahan Datuk Seri Najib.

Penguasaan Khairy bukan sahaja bersangkutan politik dalaman UMNO. Malah penghijrahan datuk Seri Najib ke Kementerian Kewangan juga tidak merupakan proses peralihan kuasa sepenuhnya.

Mustapha Ong bin Omar Ong, rakan baik Khairy Jamaluddin dan salah seorang pemain utama Ethos Consultant, dikatakan bakal dilantik sebagai Setiausaha Politik Datuk Seri Najib di Kementerian Kewangan. Oleh kerana perlantikan Setiausaha Politik merupakan bidang kuasa Perdana Menteri, maka tidak banyak yang dapat Najib lakukan.

Mustapha Ong pernah bekerja dengan Datuk Seri Najib sebelum ini. Beliau dikatakan “Trojan Horse” Khairy dalam pejabat tersebut. Meninggalkan pejabat Najib atas persetujuan bersama setelah timbul beberapa isu dan juga berikutan kematian salah seorang penggerak utama Ethos sebelum ini.

Ethos merupakan salah satu pasukan konsultan yang digerakkan untuk kepentingan Khairy dalam pilitik dan perniagaan.

Nampaknya harapan Tun Mahathir dan pemimpin politik UMNO lain serta rakyat Malaysia untuk mengurangkan pengaruh Khairy belum terlaksana. Malah Khairy mungkin akan menjadi lebih kuat selepas ini. Ini kerana beliau akan berjaya menghilangkan labialiti sebagai menantu Perdana Menteri.

Apakah kita sebagai ahli UMNO mahu membiarkan perkara ini berlaku? Jika begini, lebih baik pemilihan parti diteruskan Disember ini. Biar semua jawatan dipertandingkan. Biar suara akar umbi UMNO yang menentukan.

Kami mahu Pak Lah letak jawatan dan menantunya disingkirkan dari UMNO. Semua ahli UMNO tahu yang menantulah yang menyebabkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menang besar di Permatang Pauh. Jika tidak kerana sikap sombong bodohnya, tidak mungkin Pakatan Rakyat akan menang sebesar itu.

Apakah kita harus biarkan parti kita diperkotak katikkan?

Anak Jati Rembau

http://antikhairy.wordpress.com & http://pinkturtle2.wordpress.com

[ Tetapi Pemuda UMNO Besut & Pemuda UMNO Setiu sudah mencalonkan Mukriz sebagai calon. Mukriz semalam (8/10) sudah datang melobi berjumpa dengan PEMUDA UMNO Besut di Dewan Gong Kemuntong Besut. Khairy bila nak datang BESUT . Tetapi PEMUDABESUT 'TOK SE' dulu, kini & selamanya kedua calon ni....]

7 Okt 2008

UMNO Setiu tolak Abdullah & Khairy ~ Malaysiakini

Belum pun mengadakan mesyuarat Bahagian, UMNO Bahagian Setiu tidak sabar-sabar lagi untuk mencalonkan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada mesyuarat perwakilannya yang ditunda Mac depan.

CSI PEMUDABESUT dapat maklumat daripada seorang AJK UMNO Bahagian Setiu mendakwa cadangan tersebut dibuat oleh sebahagian besar perwakilan yang akan menghadiri mesyuarat bahagian yang akan diadakan pada 25 oktober ini.

Bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO, katanya, pergerakan bahagian itu akan mencalonkan Exco Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Parlimen Jerlun pada mesyuarat perwakilan Pemuda. AJK UMNO Setiu juga mendakwa UMNO peringkat akar umbi mahu menghapuskan generasi Keluarga Pak Lah dalam jawatan tertinggi UMNO. AJK Bahagian itu juga mendakwa keluarga Pak Lahlah punca UMNO berpecah belah sekarang.

Sementara itu, jawatan utama dalam UMNO Bahagian Setiu iaitu Ketua Bahagian menyaksikan pertandingan 3 penjuru iaitu di antara Penyandang kerusi YB Dato' Mohd Jidin Shafie (MP Setiu) dengan YB Cikgu Ramlan Ali (ADUN Jabi) & seorang lagi ADUN Batu Rakit selepas pengesahan calon ditutup.



[ PEMUDABESUT cadang UMNO Setiu mencalonkan Ketua Kampung Ketua UMNO Cawangan Kampung Ubai, Pekan untuk jawatan Naib Presiden]


27 Sep 2008

UMNO Dalam Kecemasan, Bendera UMNO Diterbalikkan ~ Malaysiakini

UMNO memang kini dalam keadaan "Kecemasan" atau "Distress".
Bukan saya kata, tetapi mereka yang menyatakan sendiri:-



Sheih Kickdefella sudah dikenakan tindakan atas akta hasutan kerana menterbalikkan bendera Malaysia.

Apabila bendera UMNO diterbalikkan , siapa agaknya akan dikenakan akta hasutan?


Mari kita lihat UMNO Cawangan manakah yang memberontak itu.


Agaknya apa punca berlakunya kecemasan itu?
Disebabkan oleh penangguhan pemilihan parti?

Adakah mereka merancang untuk menterbalikkan bendera UMNO di litar F1 Singapura sebagai bantahan terhadap Robert Kubica yang tidak mahu meletakkan keris di bendera negaranya?

[ Polis kena gi siasat tu... Ni dah mencemar nama MELAYU tu...@ Hamidun Al-Babr cari org yang punya angkara dan bubuh dalam ISA jugak ]

~ HASBULLAH PIT

17 Sep 2008

SEKARANG DETIK TERBAIK UNTUK ABDULLAH BERUNDUR SECARA TERHORMAT ~ Malaysiakini

Ura-ura Pakatan Rakyat (PR) mahu membentuk Kerajaan Pusat pada 16 September 2008 hanya indah khabar dari rupa. Ura-ura tersebut kini jadi bahan gurauan dan jenaka. Impaknya amat negatif sekali kepada PR dan pemimpin besarnya.

Anehnya, perkembangan ini tidak pula menambahkan keyakinan rakyat jelata kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebaliknya, segolongan rakyat jelata, termasuk warga UMNO, kini berpendapat bahawa inilah waktu terbaik untuk BN sendiri menukar pimpinan nombor satunya supaya BN mampu memulihkan wibawanya dan memperkasakan semula jemaah perjuangannya demi menebus nama baik yang tercemar dan imej unggul yang tercalar akibat prestasi buruknya dalam PRU 12.

Persoalan pokoknya pada hari ini adalah: bila, siapa dan bagaimana? Bilakah pemimpin nombor satu kerajaan BN perlu ditukar? Siapakah yang akan mengambil-alih? Dan, bagaimanakah pula cara terbaik untuk melaksanakan pertukaran ini?

Banyak pihak, baik kalangan politik BN dan UMNO, masyarakat umum, rakyat akar umbi, kumpulan birokrat, kelompok teknokrat serta golongan akademik berpendapat bahawa Abdullah wajar mengundurkan diri sekarang – secara sukarela, secara terhormat dan secara serta merta. Waktu yang paling baik sekali adalah pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 18 September 2008 ini.

Siapa pula yang layak menggantikan Abdullah? Beberapa nama layak untuk dipertimbangkan sebagai pengganti. Antaranya adalah Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Peluang Najib

Najib selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden UMNO wajar dijadikan pilihan utama. Memang kebelakangan ini ada pihak yang kecewa dengan Najib kerana membisu dan seolah-olah sentiasa bertindak mengikut rentak dan kehendak Abdullah. Najib juga dikatakan kononnya sebagai pilihan yang tidak tepat kerana beliau sedang diselubungi oleh persepsi umum yang negatif yang tidak perlu dihuraikan di sini.

Bagaimanapun, banyak pihak pula menghujjah bahawa Najib adalah pengganti terbaik kepada Abdullah. Kenyataan Najib mengenai peralihan kuasa yang ditegaskannya tiga hari lalu pun sudah menghapuskan sebilangan besar persepsi umum yang negatif terhadap dirinya.

Kegembiraan dan penerimaan warga UMNO di atas kesanggupan Najib mengeluarkan kenyataan mengenai peralihan kuasa tiga hari yang lalu nampaknya bukan ilusi.

Rata-rata warga UMNO yang menghadiri majlis berbuka puasa di kediaman Najib di Putrajaya malam tadi mengatakan bahawa mereka memperolehi semangat baru untuk menyanggah Abdullah bila Najib sendiri sudah bersuara dengan jelas dan tegas mengenai formula peralihan kuasa berkenaan.

Warga UMNO ini meminta Najib tidak berganjak daripada kenyataan tersebut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 18 September 2008. Mereka juga berpendapat bahawa seluruh persepsi negatif akan hapus jika Najib berani bersuara menyanggah Abdullah.

Tetapi, jika Najib masih memilih untuk berdolak-dalik mengenai formula peralihan kuasa ini, pilihan kedua sebagai pengganti Abdullah adalah Muhyiddin.

Muhyiddin

Sejak PRU 12, Muhyiddin jelas amat konsisten dengan pendapat dan pendiriannya mengenai UMNO, BN dan rakyat jelata seluruhnya. Sehingga tiga hari lalu, Muhyiddin kelihatan seperti bertindak keseorangan dan tidak senada dengan Najib yang membisu.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai insan “lurus bendul” telah menegaskan berkali-kali bahawa beliau tidak akan “melangkah bendul” untuk membelakangkan Najib dalam hiraki kepimpinan UMNO dan negara. Ini bermakna Muhyiddin akan sentiasa mendahulukan Najib untuk menggantikan Abdullah dalam tempoh terdekat ini.

Tetapi, jika Najib dan Muhyiddin masih lagi was-was dan kurang keyakinan untuk mendesak Abdullah mengundurkan diri, pilihan ketiga adalah Razaleigh. Pemimpin veteran ini disifatkan sebagai satu-satunya tokoh yang mampu mengemudikan bantera perjuangan negara, terutamanya ketika dunia sedang melangkah ke era ekonomi yang muram dan suram ketika ini.

Kebelakangan ini Razaleigh dikatakan akan menerima sokongan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sudah memutuskan kembali semula ke pangkuan UMNO setelah berkelana sejak kira-kira empat bulan yang lalu.

Kini sampailah kepada persoalan bilakah kerajaan BN perlu menukar pemimpin nombor satunya. Mood pada hari ini membayangkan pertukaran ini perlu dilaksakan sekarang dan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Sebab-sebabnya tidak perlu dihuraikan di sini. Ianya rahsia terbuka yang sudah diketahui umum. Tetapi, matlamatnya adalah supaya pemimpin yang baru mempunyai waktu secukupnya untuk memperkasakan semula UMNO, BN dan kerajaan demi kesejahteraan rakyat jelata menjelang PRU 13.

Majlis Tertinggi

Lantaran itu, apakah pendekatan yang paling sesuai untuk mendesak Abdullah mengundurkan diri daripada UMNO, BN dan kerajaan? Setakat ini ada dua pendekatan yang jelas – menerusi Majlis Tertinggi UMNO atau menerusi bahagian-bahagian UMNO yang akan mengadakan sidang perwakilan masing-masing selama sebulan mulai 10 Oktober 2008.

Maka di sinilah relevannya mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 18 September 2008 ini. Dalam mesyuarat ini Najib wajar mengulangi kenyataannya mengenai formula peralihan kuasa yang dihebahkan tiga hari lalu.

Suara Najib ini wajar didukung oleh majoriti ahli Majlis Tertinggi UMNO, khususnya seluruh Naib Presidennya, termasuklah Ketua Pergerakan Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Puteri.

Dalam menyatakan sokongan dan dukungan ini, wajar sekali ditegaskan tempoh bilakah peralihan kuasa itu perlu dikuatkuasakan supaya ianya boleh diendorse oleh mesyuarat perwakilan bahagian-bahagian UMNO.

Tempoh yang paling ideal adalah 1 Januari 2009. Ini akan membolehkan barisan kepimpinan yang baru menerima sokongan rakyat jelata dengan azam baru ke arah menyemarakkan semula perjuangan BN menjelang PRU 13.

~kudakepang

Dr. Mahathir sertai UMNO hari ini? ~ Malaysiakini

Pak Lah, Sudah tiba masanya aku untuk kembali...

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bebas menentukan masa yang sesuai untuk beliau kembali ke pangkuan UMNO.

Menurutnya, beliau sendiri tidak pasti sama ada Dr. Mahathir akan menyertai parti itu esok seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

''Saya tidak ada maklumat tentang perkara itu kerana hanya dimaklumkan mengenai hasrat beliau itu minggu lalu. Berkenaan tarikh sebenar, saya tidak pasti.

''Perkara terbaik, kita perlu tanya sendiri kepada Dr. Mahathir," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Media anjuran kementeriannya di sini malam ini.

Ibu Pejabat UMNO dilaporkan belum menerima surat permohonan Dr. Mahathir untuk kembali semula ke pangkuan UMNO walaupun perkara itu telah dihebohkan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dilaporkan berkata, pihaknya setakat ini menganggap ia hanya sebagai 'cakap-cakap' selagi tidak menerima surat tersebut.

31 Jul 2008

PAS tolak kerjasama dengan BN bentuk kerajaan - Malaysiakini

KUALA LUMPUR, 31 Julai - PAS menolak mengadakan sebarang rundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi mewujudkan kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata sebarang tawaran untuk mewujudkan kerjasama politik tidak lagi berbangkit.

"PAS akan terus terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan parti-parti politik, badan bukan kerajaan, institusi ataupun mana-mana individu demi kepentingan agama dan rakyat," ujarnya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

PAS mengulangi pendiriannya untuk terus kekal bersama pakatan Rakyat dan akan memainkan peranan aktif dan positif termasuk perjuangan bersama untuk membuat perubahan.

"Kita mengajak ahli-ahli parlimen BN untuk menyertai Pakatan Rakyat untuk sama-sama sokong dan dokong perubahan yang hendak dilaksanakan," katanya.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil oleh parti tersebut terhadap mana-mana pimpinan yang mengadakan pertemuan sulit dengan BN, katanya, "tiada yang sulit lagi, kita mengatakan boleh mengadakan pertemuan dengan syarat ia dimaklumkan kepada parti."

PAS juga katanya menghargai sokongan bukan Islam dan mereka akan diberikan peranan lebih pada masa akan datang dalam arena politik bersama PAS.

Dalam pada itu, Ustaz Abdul Hadi turut menyatakan bahawa pihaknya turut menyatakan sokongan dalam isu Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Isu tersebut hendaklah diselesaikan mengikut syariat Islam, berdasarkan perlembagaan 121 yakni kes yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah dirujuk kepada Mahkamah Syariah.

"Saya tidak mahu isu ini dipolitikkan. Kalau sekiranya ia tidak boleh (dirujuk kepada mahkamah syariah) Umno kena buat perubahan.

"Ya, saya membela siapa yang kena zalim termasuk Dato' Seri Anwar," ujarnya.

Sidang media tersebut diadakan sebaik selesai Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS yang dibuat secara bulanan, dengan turut dihadiri Majlis Syura Ulama' yang dipengerusikan Ustaz Abdul Hadi.

Turut serta dalam mesyuarat tersebut ialah Musyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dalam sidang media tersebut.SUMBER


PEMUDABESUT @ HIMPIT10K

Berita berkaitan dalam PEMUDA BESUT

Blog Widget by LinkWithin

Hancur...Hancur..... Hancur Yahudi.....

ANTARA YANG WAJIB KITA LAKUKAN
Kita Mampu Melakukannya Insyaallah

Wahai Ummat Islam ! Marilah kita lakukan apa sahaja yang mampu kita lakukan demi saudara seagama dan seaqidah yang kini sedang dizalimi , dikepong dan diletupkan oleh Yahudi Alaihilaknatullah .

Mudah-mudahan kita tidak termasuk dalam golongan yang membiayai Yahudi untuk membunuh Ummat Islam di Palestine .


BOYCOTT ISRAEL CAMPAIGN

SENARAI BARANGAN YANG PERLU DIBOIKOT (SILA KLIK)

TAJUK SEBELUM....

PANDANGAN DALAM LAMAN INI
TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER & DPPKB

(DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BESUT, TERENGGANU DARUL IMAN)

©1429 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini
untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.