Pautan berita Malaysiakini 1/8/08 yang berikut saya simpan untuk rujukan:Lemah Arab punca al-Azhar batal MoU
Oleh gamisdaily"
Mahasiswa berasa sedikit hairan apabila Najib mengumumkan bahawa pembatalan MOU antara IPTS dengan Al-Azhar adalah kerana kehendak pihak Al-Azhar sendiri. Nampak begitu gugup lagi teragak-agak apabila Najib mengeluarkan kenyataan ketika menjawab isu ini. Walaupun berbagai kenyataan yang cuba menutup bahawa ianya adalah daripada pihak Al-Azhar sendiri, kami tetap yakin usaha pembatalan MOU ini adalah usaha dari pihak kerajaan Malaysia sendiri melalui kedutaannya di Mesir.
Pihak kedutaan dan Kementerian Pengajian Tinggi juga dilihat telah memainkan faktor penting dalam menjayakan misi sabotaj dengan menyekat kemasukan pelajar ke Al-Azhar. Ini dilihat berikutan dari pembatalan secara mengejut yang disyaki terdapat campurtangan dari pihak berkuasa (kerajaan Malaysia). Isu pembatalan ini juga dikesan adalah rentetan dari kepulangan Najib dari Kaherah Mesir pada satu ketika dahulu.
Kerajaan cuba menarik perhatian bahawa faktor utama yang menjadi pembatalan adalah disebabkan penguasaan bahasa Arab yang lemah di kalangan Azhari. Tidakkah sepatut pihak kerajaan melihat pokok punca perkara ini dari akar umbi lagi. Dengan usaha menyekat bantuan per kapita ke atas Sekolah Agama Rakyat (SAR), cengkaman dari pihak kerajaan terhadap perlaksanaan mata pelajaran pengajian Arab-Islam di sekolah Agama kerajaan, persekutuan dan negeri dan serta rakyat, kualiti sukatan pengajian STAM serta perlaksanaannya, kebajikan terhadap guru-guru sekolah agama yang telah dianaktirikan berbanding dengan guru-guru sekolah yang lain sehingga menjejaskan emosi guru yang mengajar di sekolah agama tersebut dan proses akreditasi (MQA) yang dilihat telah melonggarkan sukatan pengajian Arab / agama sehingga mutu graduasi dari sudut thaqafah dan intelektual kelihatan hambar. Apakah kerajaan tidak sedar bahawa puncanya adalah di pihak kerajaan sendiri. Tidak malukah kerajaan Malaysia dengan pembatalan ini menunjukkan kualiti akademik di Malaysia berada di tahap yang minima dan terkongkong sehinggakan pihak Al-Azhar sendiri yang telah membatalkan MOU antara IPTS dengan Al-Azhar. Pelaksanaan ujian Imtihan Qabul selama ini yang menjadi syarat dan sekatan kemasukan ke Al-Azhar di bawah kelolaan Kedutaan Malaysia adakah benar-benar mendatangkan kesan? Natijah perlaksanaan Imtihan Qabul ini adakah berkesan terhadap pelajar yang lemah dan adakah dibuat kelas intensif bagi membaiki kelemahan pelajar tersebut?. Sangat tidak adil jika kelemahan ini dilihat secara pukul rata sedangkan sebaliknya ramai mahasiswa Azhari yang mampu menguasai bahasa Arab.
Kadang-kadang mengapa kemasukan pelajar ke Al-Azhar sering disabotajkan, nilai akademik Al-Azhar kerap kali dipertikaikan dan kemampuan bahasa sering dialasankan. Sedangkan dilihat dari segi kemasukan pelajar ke Jordan dan lain-lain Universiti di Timur Tengah dilihat sangat mudah malah dengan hanya melalui SPM sudah dikira mencukupkan syarat kemasukan, begitu juga dengan sukatan akademik pelajar jurusan pengajian Islam di Universiti tempatan sepatutnya dipertikaikan dan dipandang semula kerana mereka tidak mempunyai asas yang jitu dan kemampuan bahasa Arab yang majoriti sangat ketara lemahnya. Apakah yang telah menggugah pihak kerajaan sehingga pihak kerajaan sangat berselera besar dalam percubaan campurtangan dan mensabotaj kemasukan ke Al-Azhar?
Apakah mereka ini masih memerlukan Intensif khusus selama setahun sedangkan mereka telah mengikuti selama 3 tahun program Ijazah berkembar mereka di sini. Mengulas penguasaan bahasa Inggeris kumpulan itu, Najib berkata, mereka yang terpilih mendapat keputusan baik dalam SPM antara 8A hingga 10A, termasuk pencapaian bahasa Inggeris dan Matematik. Jika subjek Bahasa Arab yang menjadi kelemahan mengapakah subjek bahasa Inggeris yang harus diberi penekanan tidak bahasa Arab ? Adakah penilaian kemasukan dengan STAM sudah tidak diambil kira dan telah digantikan dengan SPM sahaja? Dengan SPM 8A hingga 10A sahaja sebenarnya langsung tidak menjamin kualiti ilmu dan bahasa Arab tanpa mengambil STAM atau melalui Muadalah MOU jika hendak ke Al-Azhar walaupun dengan menyertai program Khusus selama setahun untuk ke Al-Azhar sekalipun.
Apakah yang sering dirisaukan kerajaan sehingga berbagai sekatan telah dilakukan? Bermula dengan isu sekatan pelajar ke Al-Azhar melalui perlaksanaan STAM sedangkan kemasukan ke Universiti Timur Tengah lain tidak menggunakan sijil STAM, diwujudkan “Imtihan Qabul” (peperiksaan kemasukan) yang sepatutnya kemasukan mereka dinilai berdasarkan pencapaian akademik mereka di kolej mereka sebelum ini walaupun mereka sudah mengikuti pengajian berkembar kolej yang mempunyai MOU secara langsung dengan pihak Al-Azhar, perletakan Batu Asas cawangan Al-Azhar di Rembau dan yang terakhir pembatalan terus kemasukan pelajar graduan MOU ke Univ. Al-Azhar.
Kami, Gabungan Mahasiswa IPTS Membantah Pembatalan MOU Al-Azhar (BANTAH) dari 17 buah IPTS, bersama Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak bahawa Universiti Al-Azhar dianggap sebagai peluang terakhir bagi menyambung pengajian ke sana dan pelajar yang ke sana bukan pelajar pilihan di Universiti tersebut. Kenyataan ini sangat memandang rendah martabat pelajar yang menyambung pengajian ke sana. Bagaimanakah mereka hendak menyambung ke sana, melainkan mereka ini mesti terlebih dahulu mencukupkan syarat kemasukan ke Al-Azhar. Perlu diingatkan, mereka inilah (Azhari) satu ketika dahulu di antara yang telah mencorak sejarah Malaysia. Tidak mustahil pada akan datang mereka akan mencorak semula. Corakan dan goncangan mereka bertambah hebat jika kerajaan dan kedutaan Malaysia membuat sabotaj ke atas kami dan warga Azhari. Jangan berasa begitu kebal, sedangkan yang mengiringi anda adalah munajat hamba yang telah dizalimi. Sekiranya kerajaan tidak mempedulikan pandangan kami, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil pendekatan agresif dan berdemontrasi bagi memastikan rakyat sedar akan kejahatan kerajaan sekular yang dilihat anti-ulama.
Zaeem Irsyad,
Pengerusi,
Gabungan Mahasiswa IPTS Membantah Pembatalan MOU Al-Azhar (BANTAH)
Dzulkhairi Mohd Noor,
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Zaeem Irsyad,
Pengerusi,
Gabungan Mahasiswa IPTS Membantah Pembatalan MOU Al-Azhar (BANTAH)
Dzulkhairi Mohd Noor,
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
BANTAH terdiri daripada mahasiswa :
1. Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Kelantan
2. Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) Selangor
3. Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah
4. Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) Kedah
5. MINDA Kedah
6. MADIWA Perak
7. Kolej IHSANIAH Penang
8. Kolej Ar-Razi Penang
9. Pusat Pengajian Tinggi Pondok Moden Kandis Kelantan
10. Darul Hijrah Pahang
11. Maahad Tinggi Pengajian Islam dan Bahasa Arab Pahang
12. Maahad Tinggi Pengajian Islam Perlis
13. Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (KUSZA) Terengganu
14. Kolej Islam Darul Quran (KUDQI) Terengganu
15. Kolej UNITI Negeri Sembilan
16. Maahad Ahmadi (MARSAH) Johor
17. Kolej Pengajian Islam Dan Bahasa Arab Melaka
Petikan dari http://www.gamisdaily.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan