Pada tahun 1998 pula, DSAI disingkir daripada Umno yang melahirkan Parti KeAdilan Rakyat (PKR). Penyingkirannya daripada Umno membawa musibah besar kepada parti itu. Kebencian yang pada mulanya hanya berpusat kepada Tun Dr M merebak menjadi kebencian kepada Umno. Tragedi itu memaksa Tun Dr M menyerah kuasa kepada timbalannya, PM sekarang.
Walaupun Tun Dr M dilihat Berjaya memulihkan Umno selepas tragedi 1988, namun menghadapi tragedi 10 tahun kemudian dia gagal.Luka Umno pada tahun 1998 amat parah. Tun Dr M gagal mengubatinya. Luka itu terus berdarah. Pada tahun 1999 Umno hampir kecundang kalau tidak kerana PM Abdullah tampil pantas membius luka itu. Umno bernafas lega seketika.
Pada tahun 2004, Umno kelihatan seperti sembuh sepenuhnya daripada luka. Sangkaan itu meleset. Ia hanya nampak seperti sembuh, tetapi bernanah dari dalam. Kini kulit Umno tak mampu lagi menampung nanah yang kian membesar. Ia semakin cekang. Bau hanyirnya sudah keluar walau belum meletup. Sakitnya menyelinap ke seluruh angota badan, dari hujung jari hingga hujung kepala. Kakinya terseradung, ia tersembam dan kepalanya terhempas ke batu pada pilihanraya kecil Permatang Pauh baru-baru ini. Ia masih bernyawa walau pun seperti ikan sepat di atas darat.
Pada hari ini, kalau Tun Ghafar Baba ditakdirkan tuhan masih ada tentu khidmatnya digunakan untuk memulihkan Umno. Tun Dr M pernah menggunakan khidmatnya dalam krisisnya dengan Tun Musa Hitam dengan memasukkannya ke dalam kabinet.
Umno hari ini berusia 62 tahun dikira daripada tarikh sebenar kelahirannya. Sakit yang dideritainya semenjak 10 tahun lalu makin parah. Segenap lapisan ahli Umno terutamanya pemimpin tertingginya meletakkan beban masalah Umno kepada Presidennya sekarang. Dia didesak berundur sebelum 9 Oktober. Congak mereka penggantinya mampu mengubati Umno. Sehingga kini calon popular itu ialah Najib walau pun nama Muhyiddin turut disebut.
Ku Li turut menawarkan khidmat untuk memulihkan Umno. Dia optimis akan mengalahkan Presiden sekarang sekiranya dia enggan berundur secara terhormat. Dia yang dikatakan ultra Melayu dilihat mampu melakukannya.
Ironisnya, samada Najib, Muhyiddin atau Ku Li, mereka semua hanya berangan-angan. Mereka bukan nenek kebayan dalam cerita Abu Hassan Pencuri yang boleh menilik penyakit Umno melalui bola hikmat. Kemudian menyelesaikan masalah Abu Hasan dengan tikar terbang, pedang sakti dan buah hikmat. Umno bukan lagi tuan puteri seperti dalam filem itu. Umno sudah tua. Sakit Umno sakit membawa maut.
Apa yang Najib boleh buat? Adakah Khairi Jamaludin akan berdiam diri? Muhyiddin, adakah Najib akan biarkan dia melangkah kepalanya? Ku Li, mana teamnya? Siapa lagi di kalangan pemimpin Umno yang ada wibawa
untuk memulihkan Umno? Hishamuddin, Shahidan, Mohd Ali Rustam, Rafidah, Noraini, Mukhriz atau…?
Penyakit Umno bukan penyakit kulit. Ia mengidap kanser. Tarikh mautnya telah pun diketahui, cuma tidak diumumkan bimbang anak cucu akan berkecil hati. Kansernya parah. Rasuah, kroni,gila kuasa, tamak pangkat, tolak Islam, perkauman, anti keadilan. Penyakit ini disedari oleh pemimpin Umno bukan sahaja mulai kelmarin atau minggu lepas atau tahun lepas tetapi semenjak sekian lama. Apa yang mereka sudah buat untuk mengubati semua itu?
Kalau sekarang pun mereka gagal mengubatinya, adakah mereka boleh menjamin mereka boleh mengubatinya pada masa hadapan? Kalau mereka ramai-ramai tidak dapat mengubatinya, adakah Najib seorang mampu melakukannya? Atau Muhyiddin atau Ku Li?
Penyakit yang dideritai Umno bukan baru. Bukan semasa PM Abdullah menjadi presiden dan bukan juga semasa Tun Dr M memimpinnya. Penyakit Umno ada semenjak ia lahir lagi. Ia tidak diberi nama dengan nama Islam, tidak diakikahkan, tidak ditahnikkan. Telinga kanannya tidak diazankan dan telingan kirinya tidak diiqamahkan.
Gambar Ehsan : Ronasina
Ia dinamakan dengan nama sekular. Laungan di telinganya ialah ‘Hidup Melayu’. Ia dilahirkan daripada perut seorang penjajah. Bidannya adalah wakil penjajah. Ia didodoikan dengan dendangan perkauman. Ia tidak ditahnikkan dengan kurma tetapi dengan anggur masam yang diterbangkan dari bumi penjajah. Keturunannya bukan berkulit sawo matang tetapi putih berbalar. Ia bukan objek bercahaya menunjuk jalan, tetapi keris terhunus yang membunuh.
Kalau itulah Umno, kini tempat yang paling layak untuknya ialah kubur. Siapa pun yang memimpin Umno, dia sebenarnya akan mengetuai kumpulan pengusung tandu Umno ke kubur. Sakit Umno tiada ubatnya. Tiada pengubatnya. Apa yang ada ialah harapan kalau-kalau ada pemimpin Umno yang boleh mengusahakan supaya parti itu menghadapi detik-detik terakhir kehidupannya dengan husnul-khatimah.
Persoalannya, adakah mana-mana pemimpin Umno yang ada mampu mentalqinkan syahadah ke telinga Umno?
2 ulasan:
Salam,
Orang Melayu tentunya mudah meninggalkan UMNO, kalau mereka ada parti lain sebagai pilihan untuk menggantikan UMNO.
Akan tetapi, "parti Melayu" yang ada sekarang (PAS dan PKR) tidaklah lebih baik daripada UMNO.
PAS parti Islam fundamentalis yang perjuangannya tidak realistik, dan hanya akan membawa orang Melayu "mengejar mimpi".
PKR pula "terlampau liberal" dan tidak lagi menjaga kepentingan orang Melayu, kerana terlalu mengharapkan sokongan orang Melayu.
Mungkin UMNO akan lemah pada satu-satu masa, tapi ia akan kuat semula, apabila orang Melayu melihat tidak ada tempat lain untuk bergantung.
Jadi janganlah mudah menjangka UMNO akan mati. Kalau matipun, mungkin UMNO akan hidup semula.
SAlam,
Ada pembetulan pada posting di atas.
Tentang PKR, harap dibaca seperti berikut:
"PKR pula "terlampau liberal" dan tidak lagi menjaga kepentingan orang Melayu, kerana terlalu mengharapkan sokongan orang bukan Melayu".
Catat Ulasan