Khabarnya, kumpulan yang dikenali dengan nama 'gabungan badan-badan bukan kerajaan' mendapat kerjasama dengan satu yayasan, sudah mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak tertentu, memulakan kempen ke bahagian-bahagian, supaya Muhammad mendapat quota yang diperlukan.
Tentunya, kumpulan ini mendapat restu dari 'orang-orang Abdullah' yang kurang senang hati dengan 'tingkah laku Muhyiddin Mohd Yassin' kebelakangan ini, termasuk mempersoalkan tempoh kempen yang panjang, akan menyebabkan berlaku kemerosotan produktiviti.
Alasan mereka, Muhyiddin berkata demikian bagi 'menyekat' peluang Muhammad yang dilihat kerap 'turun padang' atas kapasitinya sebagai Menteri Luar Bandar dan Kemajuan Wilayah, selain seorang lagi calon, Mohd Ali Rustam yang merupakan Ketua Menteri Melaka dan dalam masa yang sama memegang jawatan Presiden Gerakan Belia 4B, Malaysia.
Berbanding dengan Muhyiddin, kedudukannya sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak banyak peluang yang boleh dibuat di peringkat bawah, kecuali kedudukannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Etika Umno, yang membuka peluang kepadanya mengadakan pertemuan dengan pemimpin dan perwakilan parti.
Satu sumber yang rapat dengan pucuk pimpinan memberitahu, gabungan NGO ini, adalah gabungan yang serupa dengan mereka yang berdemontrasi di depan kediaman rasmi Perdana Menteri dan mereka juga yang berada di PWTC, tempohari dengan laungan 'Abdullah jangan undur' dan 'Abdullah teruskan memimpin Umno' yang gagal merubah hati Presiden Umno dan Perdana Menteri itu, untuk mempertahankan jawatannya.
Menurut sumber itu lagi, mereka akan pastikan Muhammad mendapat cukup pencalonan, jika pun sukar untuk menang kerana Muhyiddin kelihatan bergandingan dengan Dato' Seri Najib Tun Razak, tetapi sekurang-kurangnya, dapat 'menutup' mulut Muhyiddin dari terus bercakap soal tempoh berkempen dalam pemilihan Umno.
Hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shahrir Abdul Samad dan Menteri Besar Negeri Sembilan menegur kenyataan Muhyiddin itu, yang sekaligus mengingatkan Muhyiddin mematuhi keputusan (berkempen panjang) dibuat Majlis Tertinggi Umno.
Malahan, Shahrir, dalam nada yang agak lembut berkata, jika Muhyiddin merasakan tempoh kempen ini boleh menjejaskan produktiviti, lebih baik baginya (mungkin semua Menteri), meletakkan jawatan dan mengambilnya semula (jawatan itu) selepas selesai tempoh berkempen. Maknanya, dengan lain perkataan, Muhyiddin di suruh berhenti dari jawatan menteri.
Dalam perkembangan yang sama, gabungan NGO ini juga akan mengadakan siri sidang media, turut mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan Menteri kerana gabungan ini beranggapan, Muhyiddin menjadi Menteri kerana dilantik oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Desakan ini nanti, (yang dibuat oleh gabungan ini) tentunya dapat member tekanan kepada usaha Muhyiddin untuk menang mudah dalam pertandingan nanti. Lebih ekstrim lagi, khabarnya akan diserang di peringkat bahagian-bahagian (yang masih belum bermesyuarat) supaya dia tertekan dan tidak terus menyangka bahawa Abdullah yang sudah mahu berundur, sudah tidak ada penyokong.
Pendokong gabungan NGO ini juga akan terus berkempen untuk memenangkan Muhammad, jika ditakdirkan Muhammad mendapat cukup percalonan, yang melayakkannya bertanding jawatan Timbalan Presiden. (Catatan : untuk bertanding calon timbalan perlu mendapat 38).
Para penyokong Abdullah sebenarnya melihat Muhyiddin sudah tidak sabar untuk menjadi Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, yang menyebabkan satu demi satu kenyataan yang dibuat Muhyiddin dilihat sebagai 'mempercepatkan' Abdullah mengosongkan Seri Perdana dan Pejabat Perdana Menteri.
Secara kebetulan, Presiden Umno tidak 'pernah masuk' pejabat Presiden Umno di PWTC, walaupun ada pejabat disediakan, yang menyebabkan Umno seperti tidak mempunyai Presiden, jika sesiapa ingin menemui Presiden Umno di Ibu Pejabat Umno.
Lebih menarik, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi seperti tidak sedar, kenyataannya menyokong pandangan Muhyiddin mengenai tempoh kempen ini sebenarnya tidak bersesuaian dengan 'kliknya' yang masih bersama-sama Abdullah.
Malah, apabila Zahid membuat kenyataan mahu menawarkan diri bertanding kerusi Timbalan Presiden dahulu, dipercayai atas kehendak gabungan ini dan beberapa orang yang dipercayai, orang kanan Abdullah.
Apakah kini Zahid, yang bersaing bagi merebut kerusi Naib Presiden mahu menyisihkan dirinya dari 'kaitan dengan Abdullah', yang memungkin dia kurang mendapat sokongan? Kebetulan, Zahid hanya membuat keputusan menarik diri dari bertanding jawatan nombor dua itu, selepas menemui Najib - yang boleh menyebabkan timbul pertanyaan, mengapa Zahid lebih ptuh kepada Najib daripada Abdullah?
Namun demikian, tidak pula kedengaran cerita-cerita dari gabungan ini untuk menyerang Zahid dalam isu ini, kecuali Muhyiddin yang sudah mereka (gabungan ini) anggap sebagai musuh.
Jangan hairan kalau Abdullah sendiri, kelihatan tidak sanggup bertentangan mata dengan Muhyiddin, walaupun mereka duduk semeja dalam majlis-majlis Hari Raya.
Padahal, suatu ketika dahulu, Muhyiddin ini merupakan 'orang kesayangan' Abdullah, walaupun Abdullah melantik Najib menjadi timbalannya kerana, jawatan timbalan hanya ada satu sedangkan calonnya ada dua.
Kebetulan, kedudukan Najib dalam Umno lebih senior dari Muhyiddin walaupun, dari segi menjadi imam solat, Muhyiddin mungkin lebih baik dari Najib dan Abdullah sendiri.
Para penyokong Abdullah dan tentunya gabungan NGO ini tidak 'berupaya' melakukan apa-apa terhadap Najib, tetapi untuk �menyusahkan Muhyiddin� mereka masih berpeluang kerana ada saingan yang terpaksa Muhyiddin hadapi.
Walaupun setakat ini pencalonan terhadap Muhyiddin jauh ke hadapan jika dibandingkan dengan pencalonan Muhammad, namun, gabungan NGO yakin (berkeyakinan), mereka mampu melakukan sesuatu, jika usaha berterusan dilakukan.
Tidak hairanlah, apabila Umno Bahagian Beruas mencalonkan Muhammad sebagai Timbalan Presiden, sedangkan dalam perkiraan Muhyiddin, Bahagian Beruas adalah bahagian yang menyokongnya, kesan dari beberapa kali dia ke bahagian itu, kerana hubungannya dengan kepimpinan terdahulu.
Muhyiddin tidak terkejut dengan pencalonan Muhammad dari Bahagian Sepang kerana bahagian itu diketuai Dato' Mohamad Zin Mohamad yang merupakan orang Abdullah, selepas Mohamad Zin meninggalkan Najib.
Sebelum ini, Mohamad Zin adalah penyokong Najib tetapi apabila Dr Mahathir Mohamad melantik Abdullah menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam tahun 1998, kelibat Mohamad Zin dilihat berada di Jalan Bellamy, kediaman Abdullah ketika itu.
Dari dalam Umno, gabungan NGO yang rata-rata orang Umno yang tidak berjawatan ini merasakan sukar untuk mereka 'mencari jalan menyulitkan Muhyiddin' tetapi, dari luar, dengan menggunakan flatform NGO, mereka yang kenal ramai dengan pemimpin-pemimpin Umno bahagian, akan mudah meminta pencalonan buat Muhammad, tanpa mengganggu sokongan dan pencalonan buat Najib.
Dalam masa yang sama, gabungan NGO masih mengharapkan ada satu keajaiban berlaku dengan Muhyiddin ditewaskan dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden, walaupun 'kejatuhan' Muhyiddin tidak akan menguntungkan Abdullah.
Cuma, biasalah orang-orang Umno, mereka suka jika ketika Abdullah tidak dapat dipertahankan, penyerang Abdullah pun tidak dibenarkan naik. Biar sama-sama tersungkur!
Dalam situasi politik Umno yang begini buruk, malang bagi Tengku Razaleigh Hamzah yang masih berhajat mahu menjadi Presiden Umno, enggan menerima perlawaan dari Pakatan Rakyat supaya menyertai PR untuk melemahkan terus BN.
Tengku Razaleigh tidak mempunyai 'sentuhan terus' dengan kepimpinan Umno di bahagian-bahagian sejak sekian lama, kerana Tengku Razaleigh hanya mucul apabila 'tahun pertandingan' dan kemudiannya hilang semula hinggalah musim bertanding datang lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan