Walimatulurus, atau lebih dikenali dengan panggilan " Kenduri Kahwin " tidak asing lagi bagi masyarakat kita pada hari ini. Pada musim cuti persekolahan ini begitu banyak sekali majlis tersebut diadakan. Kadang-kadang kita bermusafir yang jauh untuk meraikannya. Boleh dikatakan setiap daripada ibubapa merancang untuk mengadakan majlis tersebut apabila mereka mengkahwinkan anak-anak perempuan mereka,sama ada mereka faham atau tiada bahawa hukumnya menjadi tuntutan dalam agama.
Hukum Mengadakannya.
Sebagaimana yang telah difahami bahawa hukumnya adalah termasuk dalam kumpulan sunat-sunat yang dituntut supaya melaksanakannya. Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh akan hal ini. Sabda baginda yang ertinya " buatlah oleh kamu akan walimah walaupun dengan seekor kambing". Itu sebagai satu pengisytiharan daripada kedua-kedua pihak bahawa mereka telah berkahwin dan sebagai tanda kesyukuran selain daripada untuk menyukakan sepasang suami isteri yang baru diijab kabulkan. Dari kerana itu sunat diberi hadiah kepada sepasang suami isteri itu sebagai tanda meraikannya.
Perlaksanaannya
Sebagaimana yang kita sedia fahami, dalam ajaran agama kita, mengadakan majlis itu tidaklah kerana bermegah-megah. Apatah lagi untuk mendapat keuntungan
dengan kehadiran mereka yang dijemput. Banyak terjadi dari kalangan masyarakat kita pada hari ini yang sanggup berhutang bergadai untuk mengadakan majlis tersebut dari kerana perbelanjaan tidak mencukupi pada hal mereka daripada orang-orang yang susah. Islam tidak memberati umatnya supaya berbuat sesuatu yang diluar kemampuan. Mengapa kita sampai ketahap berhutang kerana hendak mengadakannya secara yang lebih besar pada hal sudah mencukupi jika dilaksanakan secara kecil-kecilan dan tidak perlu berhutang. Islam tidak menyuruh kita berbuat demikian.
Jikalau perkara ini berlaku juga,kita mesti terfikir-fikir,daripada mana agaknya si tuan rumah hendak dapatkan wang untuk membayarkan semua hutang-hutangnya nanti.
Saya pernah diberitahu bahawa bayaran hutang itu setelah majlis perkahwinan dijalankan. Hasilnya daripada mana?. Kata mereka hasil sumbangan daripada para jemputan yang hadir. Kalau kita bertanya kembali kepada mereka,bagaimana jika ditakdirkan pada hari tersebut hujan lebat yang menyebabkan orang-orang yang dijemput tidak dapat hadir seramai yang dijangka,maka sumbangan pada adatnya tidak sebanyak yang dijangka oleh si tuan rumah. Dari mana pula si tuan rumah nak bayar hutangnya itu.
Sebenarnya dalam contoh seperti ini tuan rumah telah melakukan beberapa kesalahan.
Pertamanya, berhutang pada tempat yang tidak disuruh. Lebih-lebih lagi jika yang berhutang itu orang yang susah yang tiada suatupun yang dia sendiri nampak daripada mana sumber yang ia dapat membayarnya nanti atau cagaran, pada hal kesusahannya itu disembunyikan daripada yang memberi hutang,maka berhutang itu hukumnya haram. Bersalahan jika tuan yang memberi hutang itu mengentahui akan halnya dan memberi juga hutang itu,maka tiada haram.Adapun bercagarkan kepada sesuatu yang belum pasti,seperti kalau ada sumbangan,dapatlah bayar maka tiada diterima. Kalau kita pergi ke bank nak buat pinjaman pun,pihak bank menolak permohonan itu.
Perlu diketahui bahawa dalam Islam ini hendak berhutang pun ada syaratnya. Jika kita membelakangi syaratnya,maka kita berbuat maksiat dengan Allah.
Dan kedua, tidak mengikut sunnah nabi dalam mengadakan majlis tersebut. Sepatutnya kita mengadakannya kerana Allah sebagai tanda kesyukuran dan menyahut seruan nabi, tidak kerana berkehendakkan kepada pulangan atau balasan atau bermegah-megah. Ini dah jadi kebiasaan dalam masyarakat kita. Apabila diperolehi pulangan yang banyak,maka berbangga-bangga. Apabila tidak memperolehi pulangan yang banyak,muka nampak muram. Lebih-lebih lagi jika sumbangan yang diterima itu tidak melepasi hutang yang ditanggung.
Bersanding
Dalam harakah keluaran 28-30 November 2008 yang lepas pada ruangan fikrah ada yang mengulas pasal bersanding.Saya suka nak buat sedikit komentar. Maaf jika apa yang saya katakan ini tidak menempati.
Disebut di situ harus/boleh pasangan pengantin bersanding di depan khalayak ramai jika pengantin perempuan itu menutup aurat. Saya nak saudara kaum muslimin/muslimat sekelian sama-sama fikir beberapa perkara sebelum mengiakan apa yang disebut itu. Sebelum itu kita mesti ingat bahawa tempat ambilan hukum kita adalah Quran,hadis,ijmak ulamak dan qias. Segala masalah hukum yang berkisar dalam kehidupan kita ini, kita boleh rujuk dalam kitab-kitab karangan ulamak. Dan setiap hukum sama ada tegah atau suruh ada padanya sebab dan hikmah. Islam lebih memelihara muslihat terhadap sesuatu perintah itu. Jika sesuatu perkara itu harus pada asalnya,tetapi boleh mendatangkan fitnah atau mudharat,maka perkara itu tertegah pada masa itu. Begitu juga sesuatu yang asalnya tertegah,tetapi jika tidak memperbuatnya boleh mendatangkan mudharat yang lebih besar lagi,maka tidak ditegah pada masa itu bahkan terkadangnya wajib. Dalam masalah bersanding yang disebutkan boleh itu sehingga membuka ruang bagi yang memang suka dengan perbuatan itu,perlu memikirkan beberapa persoalan.
1. Apa tujuan persandingan itu.
Sudah tentu untuk memperlihatkan kepada orang-orang yang datang pada majlis itu. Apakah persandingan yang berlaku sekarang ini hanya di depan mahram bagi pengantin perempuan itu atau di hadapan golongan perempuan sahaja?. Tidak adakah di situ laki-laki ajnabi melihatnya. Bila ada laki-laki lain melihatnya,maka pihak yang terlibat itu telah membuka satu ruang kepada laki-laki untuk melanggar perintah Allah. Allah s.w.t. telah memerintahkan kepada nabinya dengan firmanNya yang Maha Tinggi yang ertinya :
" Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan ".
Surah An Nur ayat 30
Kita sebagai hamba Allah jangan sekali-kali memandang kecil apa sahaja yang ditegah oleh Allah jika kita benar-benar ingin mendapat redhaNya. Lebih-lebih lagi kita yang berada dalam jamaah yang memperjuangkan Islam. Jangan bawa satu contoh yang tidak baik kepada masyarakat.
2. Hukum Perempuan Bersolek.
Persoalannya,adakah harus perempuan bersolek untuk dilihat oleh laki-laki yang lain daripada mahramnya?.
Kita biasa mendengar dalam kuliah-kuliah agama yang disampaikan oleh tuan-tuan guru,perempuan haram memperhiaskan dirinya supaya dilihat oleh laki-laki yang lain daripada mahramnya kerana boleh mendatangkan fitnah. Jesteru itu,
Kita melihat dalam kitab-kitab feqah,jika seorang perempuan itu keluar daripada rumahnya kerana pergi sembahyang berjamaah di masjid,pada hal ia memperhiaskan dirinya atau memakai bau-bauan sehingga boleh mendatangkan fitnah bagi laki-laki,maka haram ia pergi ke masjid pada ketika itu walaupun ia berhias tidak kerana dilihat orang atau bermegah-megah. Adapun bersanding itu memperhiaskan dirinya untuk dilihat oleh orang ramai dan kebiasaannya datang juga kemegahan diri kerana kecantikannya. Maka fikirkanlah.
3. Menutup Aurat Dalam Islam
Kita dalam jamaah Islam sering diingatkan supaya menutup aurat. Kerana ianya menjadi kewajipan bagi setiap muslim laki-laki dan perempuan. Apa ertinya kita berjuang Islam,jika dalam masa yang sama kita melanggar perintah Allah. Melanggar perintah Allah bermakna kita merombakkan cabang-cabang iman. Dalam perkara menutup aurat ini, ingatlah bahawa yang dikatakan menutup aurat itu,tidak sahaja menutup kepala,bahkan menutup bentuk tubuh badan. Jika sekiranya seorang perempuan itu menutupi seluruh tubuhnya dengan pakaian yang ketat yang menampakkan bentuk tubuh,maka ianya tidak lagi dikatakan menutup aurat nisbah di luar sembahyang. Maka perbuatan yang demikian tidak mengikut hukum syarak. Pada majlis persandingan yang berlaku sekarang adakah pengantin perempuan itu menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki dalam Islam.
kesimpulannya,
Persandingan itu lebih besar mudaratnya. Perbuatan itu terlebih mudah mendatangkan maksiat bagi yang melaksanakannya dan yang meraikannya.
Dari kerana itu,saya ingin ingatkan kepada para guru atau ustaz,demi menjaga kepentingan agama dan menjaga daripada fitnah disebabkan perempuan ini terus berlaku dengan hebatnya, lebih baik tak payah bukalah jalan untuk persandingan. Nanti masyarakat berebut-rebut pula untuk mengamalkannya. Kita tahulah masyarakat kita sekarang ini,bila kita ajak mereka untuk berjihad,payah betul untuk menyahut. Tetapi kalau perkara yang tidak mendatangkan faedah dan menyukakan nafsu,mudah sangat menyahutnya.
Kita yang berada dalam gerakan Islam ini sepatutnya lebih beradab dengan Allah dan lebih memelihara agama dengan memelihara diri daripada perbuatan-perbuatan yang mendatangkan fitnah dalam agama. Islam tidak hanya menyuruh kita tegakkan negara dengan Islam,bahkan juga dalam diri setiap muslim.
Kita masih ingat,tahun 80 an dulu,program tarbiah dalam jamaah kita ini sangat menitik beratkan soal pergaulan laki-laki dan permpuan. Kita biasa membuat perbandingan dengan kumpulan yang menentang kita bahawa di antara akhlak buruk mereka ialah mereka tidak membatasi pergaulan antara laki-laki dan perempuan dalam sesuatu majlis. Dari kerana itulah kita dapati pada ketika itu apabila majlis ceramah diadakan,maka sekatan dibuat di antara pendengar laki-laki dan perempuan. Dan kebanyakan daripada yang datang itu mematuhi perkara ini. Kita dapati juga jika ada majlis yang besar yang dihadiri oleh pimpinan daripada muslimin dan muslimat seperti muktamar,tidak ada pula pimpinan dari muslimat yang berada di atas pentas bersama pimpinan muslimin. Tapi sekarang ini semua itu telah berubah. Kalau Islam ini perlu perubahan mengikut peredaran masa,maka itu dinamakan Islam Hadhari. Tidak dinafikan ada juga yang perlu dibuat perubahan dalam kerja-kerja Islam mengikut perkembangan semasa. Tetapi tengoklah perkara apa yang hendak dibuat itu.
Saya masih teringat ketika PAS memerintah Terengganu beberapa tahun yang lalu. Pernah muktamar diadakan di stadium negeri di Batu Buruk. Seorang wakil muslimat yang tak perlu saya sebutkan namanya di sini bersuara,mengapa pimpinan muslimat tidak diberi hak yang sama untuk duduk di atas pentas bersama pimpinan muslimin. Saya cukup berbangga dan berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Tuan Guru Haji Abd Hadi.
Mari kita fikirkan,apa ertinya kita berjuang Islam jika sekiranya diri kita sendiri masih lagi tidak beramal dengan ajaran agama. Orang yang hiasi dirinya dengan agama,Allah akan mempamerkan agama itu pada batang tubuhnya.
Apa yang saya maksudkan amal agama di sini,iaitu hiasilah diri kita dengan sifat-sifat yang baik. Jauhi diri daripada yang haram atau yang menjadi fitnah dalam agama.Merendah diri,ikhlas,barkasih sayang,mengawal diri dari emosi,lemah lembut dalam pergaulan, pemurah,suka tolong menolong dalam perkara yang baik dan berbagai-bagai lagi adalah sifat atau amal yang sangat dituntut dalam agama.
Adapun sifat ego,sombong kerana ilmu atau amal atau pangkat atau sebagainya,permusuhan,hasad dengki,ria', malas berbuat ibadat,bakhil,sentiasa harap pujian manusia apabila berbuat sesuatu amal dan seumpamanya,boleh memadamkan cahaya agama. Oleh itu ingatlah hai sahabat-sahabat seperjuangan sekelian,berjayanya kita dalam usaha yang kita jalankan ini bergantung kepada sejauhmana hubungan kita dengan Allah. Pertolongan Allah akan menyusul setelah kita benar-benar dapat menzahirkan kasih dan cinta kita pada agamanya. Dan Allah Maha Mengentahui akan hal itu. Wallahua'lam.
Daripada.
Us Adam Said
Ketua DPPKB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan