Petang tadi secara kebetulan saya dihubungi oleh tiga orang teman wartawan dari Kuala Lumpur. Dua orang daripada media pro-UMNO dan seorang lagi daripada media yang pro-Pakatan Rakyat. Tapi topik pertanyaannya sama – siapa calon sebenar BN dalam PRK Kuala Terengganu.
Saya menjawab dengan soalan – siapa yang ‘diharapkan’ banyak orang terutamanya cakap-cakap di Kuala Lumpur? Ketiga-tiga teman saya menjawab dengan jawapan yang juga sama – mendahului senarai ialah Wan Farid, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri.
"Ada lagi ke nama lain selain Wan Farid?" Tanya saya. Secara kebetulan juga ketiga-tiga teman saya menjawab dengan jawapan yang sama – “ada, tapi nama tidak pasti” dan sebab itu mereka hubungi saya untuk bertanya (kalau-kalau saya tahu?) siapa calon lain yang diuar-uarkan selain Wan Farid.
Sembang-sembang kami akhirnya dapat dirumuskan sebagaimana berikut :
Yang seronoknya bukan soal Wan Farid. Tapi bagaimana tersebarnya berita dan cekapnya mereka menangkap khabar. Sama ada khabar angin ke, khabar asap ke, itu tak penting, yang penting masih ada orang yang bercakap, bukan Wan Farid.
Menariknya juga, yang lebih berkeyakinan menyebut perkara ini (bukan Wan Farid pilihan utama) ialah salah seorang teman daripada media pro-UMNO. Kalau teman daripada media pro-Pakatan tu, bolehlah dikatakan cuba memprovokasi untuk melaga-lagakan orang-orang UMNO atau untuk ‘memudahkan’ kerja PAS. Kalau yang dah pro-UMNO, apa pula muslihatnya atau apa isyaratnya dan dari mana sumbernya atau siapa mengarahkan supaya digembar-gemburkan cerita ini. Susah juga nak fikirkan.
Bagaimana cerita ini terkeluar, saya sendiri dan teman-teman saya tadi pun tak pasti. Namun yang pasti, di tengah-tengah riuh rendahnya suara-suara peramal politik tanah air sama ada tempatan mahupun di luar Terengganu bercakap dan memberi pandangan sehingga seantero dunia tahu bahawa Wan Farid adalah calon BN ‘hampir pasti’, paling sesuai dan mempunyai potensi besar untuk menang di PRK Kuala Terengganu, rupa-rupanya masih terselit nama lain yang ‘mendahului’ Wan Farid.
Bukan menjadi sesuatu yang pelik, malahan sudah menjadi kebiasaan, beberapa nama akan diangkat untuk pertimbangan dan disenaraipendekkan oleh pucuk pimpinan parti bagi pemilihan siapa calon terbaik. Tetapi yang agak sensasinya, Wan Farid sudah menjadi calon bukan pilihan. Maknanya dah berada pada ranking ketiga atau keempat. Namanya kalau pun diangkat, hanya untuk mencukupkan syarat.
Lebih menarik dan sensasi, kata teman saya itu lagi, pucuk pimpinan UMNO/BN (tak pasti sama ada pusat atau negeri) berhasrat meletakkan calon lain berasaskan faktor-faktor tertentu. Antaranya nak merealisasikan kata-kata yang sering kali diungkapkan banyak pemimpin (terutama semasa musim pemilihan UMNO Bahagian) bahawa Ketua Bahagian tidak semestinya menjadi calon pilihan raya. Kata-kata itulah yang selalu disebut bagi mengelakkan berlakunya pertandingan atau pertembungan peringkat atasan.
Sama ada berebut atau tidak, ada pertandingan atau tidak semasa pemilihan, jawatan Ketua Bahagian bukan tiket untuk dicalonkan menjadi calon pilihan raya termasuklah PRK. Hal ini sudah dibuktikan oleh pucuk pimpinan BN semasa meletakkan calon semasa PRU, terbaru dalam PRK Permatang Pauh. Dalam PRU 12/2008 misalnya, ramai Ketua Bahagian tidak dicalonkan (di Terengganu ada 4 orang termasuk Wan Farid) dan dalam kes Permatang Pauh, cadangan bahagian untuk meletakkan Ketua Bahagian tidak diendahkan oleh pucuk pimpinan. Cakap dan kehendak bahagian bukan muktamad.
Faktor kedua katanya, pucuk pimpinan ingin ‘menguji’ semangat sebenar anggota UMNO selepas pemilihan baru-baru ini, sama ada mereka boleh bersatu atau tidak. Sama ada cakap serupa bikin atau tidak. Sama ada benar atau tidak ungkapan UMNO pasti menang dalam pilihan raya walaupun kami bertingkah pendapat bersilih pandangan bersilang sokongan pada setiap kali pemilihan dalaman.
Tegas teman saya lagi, ujian ini akan menjadi ukuran sebenar kesetiaan ahli UMNO terhadap partinya bukan kesetiaan kepada ‘siapa’ yang menjadi calon. Maksudnya bukan ‘Wan Farid adalah calon BN’ tetapi ‘UMNO adalah calon BN’. Dan nantinya UMNO akan dapat buktikan bahawa bukan PAS atau Pakatan sahaja yang boleh bercakap berhubung dengan kesetiaan ahlinya kepada parti, tetapi UMNO juga berhak.
Ketiga, Pak Lah sebelum berundur daripada menjadi Presiden UMNO Mac tahun depan memang berhasrat benar untuk ‘membersihkan’ namanya daripada dikaitkan dengan memberi peluang kepada kroni-kroni dan orang-orang yang rapat dengannya dan dengan anak menantunya. Kalau benar itu yang disebutkan, hampir pasti, Wan Farid bukanlah calonnya.
Keempat – menjadi alasan yang kukuh untuk menguji kepimpinan dan kekuatan Mat Said yang pernah berkata bahawa beliau adalah MB pilihan istana bukan pilihan Pak Lah, sambil dapat mengukur sejauh mana kesetiaan sebenar ahli UMNO Terengganu (khususnya Kuala Terengganu) kepada Mat Said dalam menghadapi PRK ini. Kerana Wan Farid ‘kurang jelas’ daripada kem mana, maka kalau diletakkan Wan Farid, dianggap akan meringankan tugas Mat Said serta bukan ujian sebenar kepada Mat Said.
Faktor-faktor lain yang disebutkan teman saya itu dan siapa sebenarnya yang menjadi calon pilihan utama selepas Wan Farid sekarang, bagi saya sudah menjadi kurang penting.
Itu kata teman saya, bukan kata saya atau kata pemimpin UMNO/BN. Kita tengoklah siapa yang kena.
~ Jaranganakmelayu.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan