Saya tidak pernah percaya apalagi menjadikannya iktiqad bahawa kepimpinan negara tertakluk kepada teori R.A.H.M.A.N .
Namun atas kehendak Allah swt Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui telah mentaqdirkan teori RAHMAN menjadi kenyataan .
Teori ini tidaklah membawa apa - apa keistimewaan untuk dikagumi jauh sekali karamah untuk dipuja . Melainkan ia satu teori yang menepati taqdir Allah swt .
Saya menegaskan bahawa tiada keistemewaan bahkan tiada sebarang karamah padanya kerana episode kepimpinan R.A.H.M.A.N yang bermula dengan Tunku Abdul Rahman , Tun Abdul Razak , Tun Hussein Onn , Tun Dr. Mahathir , Tun Abdullah Badawi dan terakhir dari teori ini ialah Datuk Seri Najib Abd Razak tidak menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang tunduk kepada Allah swt dengan melaksanakan syariat Allah swt. dan sunnah RasulNya saw .
Bahkan semakin ke penghujung teori , bukan sahaja negara semakin tenat dan parah dengan pelbagai maksiat dan mungkar serta penyelewengan seperti rasuah dan salah guna kuasa tetapi juga pemimpinnya semakin pudar integriti bahkan semakin hilang kredebeliti sebagai seorang pemimpin yang adil dan bertaqwa .
Terutama pemimpin terakhir dari teori R.A.H.M.A.N ini . Mendaki takhta kepimpinan negara yang kini menjawat jawatan Prime [ baca Crime ] Minister dengan 1001 fitnah dan noda terpalit pada dirinya yang sehingga kini gagal dibersihkan melalui proses keadilan yang wajar .
Saya melihat teori ini telah berakhir dengan hurufnya yang terakhir . Maka berakhirlah dinasti R.A.H.M.A.N memimpin negara . Persoalannya siapakah selepas R.A.H.M.A.N ini kelak ? Meskipun huruf terakhir Najib baru sahaja sebentar tadi menaiki takhta dan kita tidak tahu bilakah kepimpinannya akan berakhir tetapi apa yang pasti ia akan berakhir !
Jika kepimpinan sebelumnya Tun Abdullah hanya berlansung 5 tahun lebih , saya kira mungkin kepimpinan Datuk Seri Najib lebih lama dari itu dan juga tidak mustahil kepimpinannya menjadi lebih singkat dari pada sebelumnya .
Sebagai renungan dan perhatian semua , saya bawakan firman Allah swt : dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini Dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan Dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang tetap beriman (dan Yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang Yang mati Syahid. dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang Yang zalim.
Aali Imran : 140
Berakhirnya Dinasti UMNO .
Jika PAKATAN Rakyat berjaya mencipta hatrik dalam pilihanraya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau kelak , yakinlah bahawa rakyat sebenarnya sudah bersedia untuk melupakan UMNO sekaligus menobatkan PAKATAN Rakyat untuk meneraju negara selepas ini khasnya melalui pilihanraya umum ke 13 kelak .
Rakyat nyata telah masak dengan propaganda UMNO dan BN yang mengampu dan melambung Datuk Seri Najib setinggi langit di awal kuasanya . Kerana perihal yang samalah dilakukan oleh UMNO dan BN sewaktu menobatkan Tun Mahathir dan Tun Abdullah sebelum ini .
Sewaktu rakyat membenci Tun Mahathir dengan pemerintahan ala kuku besinya melewati tempoh 22 tahun , Tun Abdullah mengambil alih kuasa melalui peralihan kuasa yang dirancang oleh mereka . Maka media UMNO dan BN melambung Tun Abdullah melepasi paras awan biru . Tun Abdullah pula tampil dengan sajak Yang Ku Cari dan Islam Hadhari serta Modal Insannya cukup memukau rakyat .
Malang , Tun Abdullah yang pernah digelar Mr Clean itu hanya mampu bertahan 5 tahun lebih dan kemudiannya dipaksa berundur dan didesak agar segera menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Najib .
Pagi ini , sekali lagi media UMNO dan BN melambung tinggi Datuk Seri Najib dengan ucapan menyokong dan mengampu dari pemimpin UMNO . Disiarkan pula ucapan - ucapan Datuk Seri Najib yang dilihat boleh meyakinkan rakyat . Persoalannya , Datuk Seri Najib yang digelar sebagai Mr Dirty ini , berapa lamakah ia mampu bertahan ?
Selepas berakhir urutan huruf R.A.H.M.A.N , huruf apakah yang akan membentuk teori kepimpinan baru negara kita kelak ? Wallahualam bissowab , segalanya di dalam ilmu Allah swt . Namun semua yang mahukan Islam berdaulat di negara ini berharap dan berdoa agar Dinasti UMNO berakhir dengan berakhirnya teori R.A.H.M.A.N ini .
Tanggungjawab kita ialah berjuang dan terus berjuang bagi membersihkan negara dari dosa dan noda dan berusaha untuk mendaulatkan syariat serta meninggikan syiar agama Allah swt . Sehinggalah negara tercinta ini berada di bawah rahmat dan redha Allah swt . Baldatun Toiyyibah Wa Rabbun Ghafur .~Ustaz Nasrudin Tantawi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan