ATAS rasa muafakat bersama, PAS Pusat dan Negeri telah mengadakan suatu perbincangan tertutup berhubung pengisytiharan kekosongan dua DUN Perak di Residensi Kediaman Rasmi Menteri Besar, lewat jam 10 malam tadi.
Perbincangan yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS, YB Nasharuddin Mat Isa, turut dihadiri oleh Naib Presiden Ustaz Ahmad Awang, Setiausaha Agong Datuk Kamaruddin Jaafar, Ketua Penerangan YB Dato’ Mahfuz Omar, Pengarah Pilihanraya Pusat Dato’ Mustafa Ali, Pengarah Pilihanraya Negeri Asmuni Awi, Ketua Muslimat PAS Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Penasihat Undang-Undang Sdr. Mohd Hanipa Maidin dan beberapa MP PAS yang lain.
Selepas perbincangan tertutup selama lebih sejam, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan YAB Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin bersetuju untuk menyatakan beberapa pendirian PAS berhubung kekosongan dua DUN Perak tersebut.
Di bawah ini adalah beberapa maklumat tersebut:-
- Mesyuarat tersebut adalah mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat dan PAS Peringkat Negeri Perak di mana lajnah telah dijelaskan berhubung situasi semasa politik kerajaan negeri Perak.
- PAS secara muafakat menyokong keputusan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak berhubung perletakan jawatan ADUN Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering Mohd Osman Jailu melalui penyerahan Notis Kekosongan DUN kepada Speaker DUN.
- PAS juga dimaklumkan bahawa Speaker DUN Perak V. Sivakumar telah menyerahkan Salinan Surat Notis Kekosongan DUN tersebut kepada Pengarah SPR Negeri. Pengerusi SPR Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin MOhd Yusof juga telah dimaklumkan perkara tersebut daripada SPR Negeri.
- PAS juga menyokong penuh saranan mengadakan Pilihanraya Kecil di kedua-dua DUN tersebut berdasarkan Notis Pengisytiharan Kekosongan dua DUN tersebut.
- Komitmen PAS buat masa ini adalah memenangkan calon Pakatan Rakyat di kedua-dua DUN tersebut selepas pengisytiharan Pilihanraya Kecil (PRK) dibuat oleh SPR selepas ini.
Dalam kalangan wartawan yang hadir, ada yang bertanyakan adakah kemungkinan PR/PAS bakal berdepan oleh injunction 2 pilihanraya kecil tersebut?
…perkara ini turut dibincang secara masak dalam mesyuarat Lajnah Politik tersebut. Walau bagaimanapun, buat masa ini PAS masih menunggu keputusan SPR dan perbincangan tersebut berdasarkan keputusan semasa semua pihak,” respon Ustaz Nasharuddin Mat Isa.
Ada wartawan yang bertanya tentang situasi semasa ADUN PR/ PAS sekarang selepas ura-ura dua (2) ADUN PR bakal menyeberang ke kem UMNO/BN?
…untuk ADUN PAS, kami mempunyai enam. Untuk kewibawaannya, tidak perlu dipersoalkan lah. Dan kebanyakkan tohmahan sekarang ini menumpu pada Keadilan (PKR). Namun, kita tetap bersama dengan Keadilan untuk berdepan segala cabaran ini dan saat kritikal ini. Dengan Pakatan Rakyat, kita bersama. Untuk itu jua, saya (MB Perak) telah memanggil semua ADUN Pakatan Rakyat, iaitu dari PAS, Adil (PKR) dan DAP untuk meminta muafakat dan kesemuanya sepakat berdiri kukuh untuk mempertahankan kerajaan (negeri) yang sedia ada (PR),” jelas YAB Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin.
Menteri Besar Perak turut ditanya tentang sejauhmana Kerajaan Negeri mengalami suasana genting hasil daripada onar kedua-dua ADUN Perak tersebut.
….kerajaan negeri masih lagi dalam kawalan dan sehingga kita masih lagi melakukan tugas-tugas asasinya sebagai sebuah kerajaan negeri. Ini kerana, kita (PR) masih lagi mempunyai 30 ADUN…maknanya kita masih lagi ada majoriti,” tambah Menteri Besar tersebut.
Menurut YAB Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin, onar oleh dua ADUN tersebut bukan sahaja tidak menyebabkan Kerajaan Negeri PR sama sekali tidak tergugat, malah terus mendapat simpati oleh rakyat yang dahagakan perubahan.
…selepas UMNO sah menyembunyikan kedua-dua Exco tersebut, maka rakyat bertambah simpati kepada kita dan mungkin benci kepada mereka (UMNO/BN). Apa yang berlaku ini adalah suatu konspirasi politik…kita (kerajaan negeri) semakin kukuh selepas apa yang berlaku tersebut,” tegas Menteri Besar Perak lagi.
Bagi YAB Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin juga, tohmahan UMNO kononnya kerajaan negeri patut dibubarkan tiada asas sama sekali.
Ini kerana, UMNO sendiri bukan sahaja masih gagal mendapatkan representasi kedua-dua ADUN bermasalah/misteri tersebut, malah untuk mendapat lebih dari itu sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia sebelum ini sendiri hampir-hampir mustahil.
Sebenarnya ada isu yang melatari kedua-dua ADUN misteri tersebut. Mereka bakal berdepan oleh perbicaraan di Mahkamah pada 10 Februari ini dan apa yang sedang diusahakan oleh UMNO sekarang ini juga adalah sekadar mengambil kesempatan atas rasa terdesak kedua-dua calon tersebut semata-mata.
Jika Pilihanraya Kecil berlaku di Behrang dan Changkat Jering, PAS juga berkeyakinan bahawa Pakatan Rakyat mampu mempertahankan kedua-dua kerusi tersebut kerana mood perubahan yang yang langsung dalam PRU12 lepas dan dua pilihanraya kecil Permatang Pauh-Kuala Terengganu telah menyaksikan penolakkan besar-besaran rakyat kepada UMNO.
Inilah yang sedang ditakuti UMNO. UMNO sedang mengalami trauma apabila satu-satu Pilihanraya Kecil bakal berlangsung. Dan mungkin sebab ini juga, UMNO cuba sedaya upaya melakukan injunction di Mahkamah dalam masa dan kondisi politik Perak yang genting tersebut -END
~ zainulfaqar.wordpress.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan