Saudaraku sekelian,
Sempena ramadan yang penuh dengan barakah ini,sama-samalah kita mengambil kesempatan sungguh-sungguh untuk berbakti kepada Allah, tuhan Pencipta Seluruh Alam ini dan bertaubat sungguh-sungguh kepadaNya sebagai persediaan kita untuk bertemu denganNya.
Ingatlah kita bahawa apabila sampai masa yang dijanjikan olehNya bahawa kita akan tinggalkan dunia dan segala keseronokan yang ada padaNya,pasti akan tertunai janjiNya sama ada kita bersedia ataupun tidak.
Sudah menjadi kebiasaan bagi kita dan sering kita mendengar di mana-mana jua bahawa manusia berlumba-lumba mengerjakan amal terutamanya pada bulan ramadan ini dengan berbagai-bagai amal. Alhamdilillah .
Dalam kita berbuat amal ini, suatu perkara yang penting yang saya perhatikan ramai di kalangan kita ini yang tidak memikirkan dan sungguh-sungguh memperhatikan sama ada amal yang kita kerjakan itu diterima Allah atau tidak. Dan sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tandanya sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh Rasulillah s.a.w.
Untuk mengesahkan amal terlebih mudah daripada nak sempurnakan amal. Sesuatu amal yang dikerjakan apabila cukup rukun dan syaratnya yang zahir,maka sahlah amal itu. Tetapi untuk nak sempurnakan amal suatu hal yang terlebih sukar. Pembersihan jiwa daripada segala penyakit yang boleh merosakkan amal,menjadi rukun supaya amal ibadah diterima.
Bagaimana untuk mengenali amal diterima atau tidak.
Sebagai tanda yang terlebih mudah dirasai,perhatikanlah bagaimana hubungan kamu dengan Allah sebelum dan sesudah kamu kerjakan amal itu. Atau kamu perhatikan setelah sekian lama kamu mengerjakan amal,adakah ada pada hati kamu peningkatan kasih sayang kamu kepada Allah s.w.t. Dan bagaimana yang kamu dapat rasai pada hatimu pada ketika kamu kerjakan ibadah itu. Adakah kamu kerjakan sesuatu amal itu dengan hati yang manis atau sebaliknya atau sebagai adat sahaja.
Jika kamu dapati tiada tanda-tanda pada dirimu akan hal-hal yang menjadi tanda pada penerimaan amal kamu itu,maka hisablah dirimu,apakah sebabnya berlaku yang demikian itu. Rujuklah kamu dengan guru-guru yang boleh membimbing kamu ke jalan Allah ini. Jangan kamu beramal dan berdiri kamu atas sangkaan kamu sahaja.
Semoga peringatan ini dapat memberi manfaat bagi kita semua.
Selamat Berpuasa dan Selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri.
Daripada
Us Adam Said
Ketua DPPKB.
( Pusat Tarbiah Nurul Iman )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan