Buku "Fiqh al Harakah dari Sirah Nabawiyyah" karangan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang yang telah beliau usahakan puluhan tahun dahulu terus menjadi teman bacaan saya walaupun telah dibaca berulangkali sebelum ini. Selain beberapa peristiwa besar yang berlaku dizaman Rasulullah saw, sempena Ramadhan ini sudah pasti persitiwa Peperangan Badar akan terus disebut-sebut dan dihayati oleh mereka yang beriman.Peperangan besar yang pertama yang melibatkan umat Islam di bawah kepimpinan Rasulullah saw ini berlaku pada tanggal 17 Ramadhan 2 Hijrah bersamaan 17 Mac 624 masehi.
Bayangkan para sahabat yang hadir dalam peperangan tersebut melontarkan diri ke barisan hadapan dalam keadaan menempuh bulan puasa. (Menurut Tuan Guru: perintah mewajibkan puasa Ramadhan diturunkan pada bulan Syakban tahun kedua hijrah).
Berkemungkinan disaat ini (kalau boleh kita bayangkan) 14 Ramadhan sudah pastilah para sahabat ketika itu sedang sibuk menyediakan diri bagi menghadapi bala tentera musuh yang lebih besar dan siap dengan kelengkapan, peralatan dan kenderaan tunggangan. Mereka bergerak dalam satu saf dari Medinah menuju ke Badar dengan bilangan antara 313 ke 317 orang sedangkan sebagaimana yang kita ketahui bilangan tentera musyrikan Mekah jauh lebih besar dari mereka.
Menurut Tuan Guru:
Jumlah anggota tentera musyrikin ialah 1,300 orang dengan 100 ekor kuda (tentera Islam cuma 2 ekor kuda), 600 baju rantai dan unta yang banyak yang tidak diketahui bilangannya. Setiap hari mereka menyembelih antara 9 atau 10 ekor unta.
Saya sayu membayangkan bagaimana bersemangatnya tiap-tiap ahli Badar ketika itu. Pastilah mereka telah dibentuk dengan begitu baik dan sempurna oleh Rasulullah saw sehingga mereka bersedia sahaja memikul amanah besar ini tanpa memikirkan risiko dan implikasi, hanya semata-mata yakin dan berbekalkan keimanan kental pada Allah dan Rasul Nya.
Perhatikanlah apabila Rasulullah saw bertanyakan pandangan para sahabat ketika itu, ternyata masing-masing taat dan patuh serta yakin penuh terhadap kepimpinan Rasulullah saw. Tiada sedikti pun syak atau ragu-ragu yang terdetik dari benak mereka masing-masing. Tuan Guru merakamkan betapa Miqdad bin al Aswaad r.a telah berkata kepada Rasulullah saw:
Wahai Rasulullah teruskanlah apa yang telah ditunjukkan kepadamu oleh Allah, kami bersama, demi Allah. Kami tidak berkata kepadamu sebagaimana Bani Israel berkata kepada Nabi Musa: Pergilah kamu bersama tuhanmu, berperanglah kamu berdua (Musa dan Harun), mai mahu tinggal disini sahaja, tetapi kami berkata: Pergilah kamu bersama Tuahnmu, kami pasti akan berperang bersama kamu, maka demi Tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran, kalau engkau berjalan dengan kami ke Birk al Ghamad (satu tempat yang jauh di Yaman) nescaya kami pergi bersamamu sehingga sampai walau apa pun terjadi.
Begitulah pengikut yang berdisiplin, yang mantap dan tegas yang telah dilahirkan oleh Rasulullah saw. Begitulah sumber kekuatan Islam ketika itu yakni bersandarkan kepada pendukung Islam yang seumpama itu lantas menunjukkan kepada kita pilihan yang ada hanyalah samada kita berusaha menjadi seperti mereka atau kita menjadi hina sebagaimana Bani Israel.
Dari pernyataan seperti inilah Rasullah telah disuntik dengan keyakinan yang terus membakar semangat Baginda yang dipimpin pula oleh Allah swt. Pastilah mana pemimpin pun sekiranya inilah jenis pengikut yang berada disisinya, ia akan menjadi kuat dan kuatlah iltizam dan semangat juangnya. Inilah contoh hidup yang telah ditunjukkan oleh Baginda kepada kita, yang perlu kita turuti selagimana kita kekal mewarisi perjuangannya.
Lihatlah bagaimana kenyataan seorang lagi sahabat sebagaimana yang dinukilakn oleh Tuan Guru. Saad bin Muadh r.a telah menyatakan pula kepada Rasulullah saw:
Demi sesungguhnya kami telah beriman kepadamu, percaya kepadamu, kami bersaksi bahawa apa-apa yang kamu datangkan kepada kami itulah yang benar dan kami berikan atas dasar itu janji-janji dan ikatan kesetiaan. Kami bersedia mendengar dan taat kepadamu.
Maka teruskanlah wahai Rasulullah kepada apa sahaja yang engkau kehendaki. Maka demi Tuhan yang membangkitkan kamudengan kebenaran, kalau sekiranya kamu bentangkan kepada kami laut yang luas lalu engkau mengharunginya, nescaya kami akan mengharunginya bersamamu, tiada seorang pun diantara kami yang akan mundur ke belakang dan tidaklah kami merasai benci apabila engkau bertemu musuh dan kami akan bersamamu besok (dalam Perang Badar).
Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang sabar di medan perang, benar mengotakan apa yang kami katakan sekiranya bertempur dengan musuh dan mudah-mudahan Allah membuktikan kepadamua dari kami, apa yang memuaskan hati kamu dengan melihat sendiri apa yang kami lakukan.
Marilah kita teruskan perjuangan, mudah-mudahan Allah memberkati kita.
Demikianlah kesungguhan para sahabat yang akhirnya menyaksikan betapa bilangan mereka yang kecil namun berdisiplin dan taat pada Allah dan Rasul akhirnya berjaya menunjukkan ketumbukan tentera yang lengkap dan tersusun diketuai Abu Jahal yang akhirnya mati terkorban di Medan Badar.
Ayuhlah kita ambil iktibar darinya, mudah-mudahan kita semua beroleh barakah dan terus berada di bawah naungan Nya. ~ Roslan SMS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan