Saya merujuk kepada tulisan YB Khalid Abdul Samad di dalam blognya ( sini ) yang menjemput sesiapa yang berminat untuk berhujjah secara ilmiah sepuas - puasnya mengenai ayat 61 dan 62 daripada surah al Anfal yang diselewengkan maksudnya demi mentabrirkan penyatuan PAS-UMNO.
Beliau menamakan beberapa orang bloggers dalam bentuk cabaran untuk respon dan berhujjah dengannya termasuk saudara Roslan SMS dan adindanya. Oleh kerana saya selalu disantuni saudara Roslan dengan gelaran adinda, maka rasanya tak salah kiranya saya merasakan diri saya termasuk dalam maksud YB Khalid Abdul Samad selain sahabat saya Ustaz Nasrudin Tantawi dan Ustaz Yusaini terutamanya.
Saya agak tergamam dengan jemputan itu tatkala melihat kesungguhan beliau memahamkan kita perihal ayat tersebut. Bukan pada salah dan tak bisanya hujjah beliau, tetapi pada ajakan beliau untuk kami menghujahnya balik dengan ayat yang sama dan selainnya demi menegakkan benang yang basah ke arah penyatuan UMNO-PAS! Juga membenarkan pengkhianatan terhadap pakatan bersama PKR dan DAP.
Saya bertanya diri sendiri, adakah Roslan SMS, Ustaz Nasrudin, Ustaz Yusaini dan saya difahami begitu oleh beliau? Jika itu bukan maksud beliau, saya yakin ramai pembaca akan memahaminya begitu sepertimana saya juga.
Oleh kerana Allah adalah saksi bahawa kami bukan begitu dan tidaklah layak kami disenaraikan sebagai jemputan yang boleh mendatangkan fitnah buruk ke atas kami, saya mencadangkan beberapa perkara kepada YB Khalid Abdul Samad dan menasihatinya dengan beberapa perkara. Ini semoga semua pihak dapat mengambil manfaat bersama, insya Allah. Saya juga berharap ianya disetujui oleh sahabat - sahabat yang ‘terkena penangan’ jemputan itu juga:
1) Demi tidak membatalkan jemputan debat siber tersebut ( permit pun tak perlu ), saya mencadangkan YB Khalid Samad menjemput imam yang berkhutbah tersebut untuk berdebat dengannya. Saya rasa imam tersebut tentu saja bersedia demi menjaga maruah dirinya selain mengeringkan benang basah tersebut.
2) Jika ada tajuk hendak dipaparkan, eloklah dicadangkan debat itu dengan nama ‘ Perang Siber 916: Profesional Haraki vs Imam Hadhari’. Saya fikir ini turut membantu telahan ’sombong’ sesetengah ulama konservatif yang mendakwa hak eksklusif untuk mentafsirkan ayat - ayat al Quran. Saya yakin sepenuh - penuhnya dan sepuas - puasnya bahawa YB mampu.
Kemudian saya dengan rasa sedikit malu - malu mencuba - cuba untuk menasihati YB Khalid Abdul Samad dengan beberapa nasihat yang memberi guna, bukan guna- guna, insya Allah:
1) Sapulah daripada blog YB tu nama ‘adinda’ tu sebagai jemputan, juga Roslan SMS ( walau YB terpaksa menahan geram ). Sedih saya adalah teramatlah sangat.. ( menahan geram sebenarnya..)
2) Janganlah membina kefahaman diri di atas puingan salah faham ( misalnya yang tadilah ) terhadap sahabat - sahabat di dalam satu jamaah. Saya menjadi takut tulisan - tulisan YB yang lain dibina di atas landasan yang sama. Hujah YB akan jadi rapuhlah. Sekali jentik. Apatah ukhuwwah sesama kita.
3) Jauhilah sama sekali sangkaan seperti itu daripada YB Dato Presiden PAS. Saya berkata begitu kerana saya termasuk penyokong kuat presiden dalam menangani isu semasa tertentu. Bacalah beberapa artikel santai saya sebelum ini jika ianya boleh membantu membenarkan dakwaan saya ini. Kerana saya dah kena ‘penangan’ YB, takutlah juga terkena presiden juga! Kebimbangan saya terhadap kerosakan dalam jamaah mendahului kebimbangan saya terhadap kerosakan YB sendiri.
4) Fahamilah maksud pengkhianatan dalam Islam apabila menggunakan ayat - ayat Allah. Saya berkata begitu kerana kesungguhan YB memindahkan artikel ini ke blog mulia YB. Itu tulisan hampas dalam neraca ugama. Fahamilah..
5) Janganlah YB cuba melaga - lagakan di antara ayahanda Tuan Guru dan YB Tuan Guru Presiden. Lebih parah jika YB menjadikannya landasan puaka untuk ahli PAS menerima DSAI. Bukan salah DSAI. Yang salah adalah YB sendiri.
Ketika Allah menjadikan dua insan mulia ini diciumi dan dipeluk tubuh mereka oleh rakyat Malaysia demi cinta Islam dan perjuangannya, juga penyatuan ummah yang sedang bercempera, jangan pula YB mengambil jalan yang akan mencetuskan murka Allah.
Jika ahli PAS terpecah dua, tulisan - tulisan YB mungkin faktornya. Saya enggan mengesahkan. Daripada YB asyik dengan ayat 61 dan 62, lebih jitu saya mengesyorkan YB menyelami maksud ayat 63 dan 64 daripada surah yang sama. Ia lebih bermanfaat saat ini untuk dihayati.
Bertaqwalah sesaat saat YB mengkritik Presiden. Jika itu hak YB untuk mengkritik, bacalah pula hak seorang ketua. Dah lupa ke..?
Adapun saya, sila baca artikel saya, ‘hidangkanku secangkir kopi panas’. Ia begitu angkuh kerana keseronokan menyaksikan para ulama PAS bertaut membina kesatuan.
( Tulisan ini ada unsur - unsur melepas geram. No signature required. Apa yang ada hanyalah bulan Syawal. Mohon maaf dipinta, zahir dan batin. )
Bak gayung bersambut
Saya tidak berhasrat memanjangkan isu ini tetapi tidak juga mahu biarkan ianya tergantung sehingga menganggu ketenteraman jiwa saya. Memang sejak dari bulan Ramadhan lagi saya menerima jolokkan dari blogger/ personaliti tertentu yang mencabar atau mengumpan-umpan saya untuk melayan karenah dan ketaksuban ego mereka. Saya sangkakan jolokkan seumpama itu berkahir begitu sahaja, tetapi rupanya diulangi pula kini oleh seorang tokoh dalam parti yang punya kedudukan yang boleh dianggap tinggi.
Saya kecewa kerana mereka dengan mudah menonjol dan mengenengahkan identiti saya seakan saya telah melakukan dosa besar terhadap mereka dan perjuangan ini. Ramai kawan-kawan yang bertanya, apa sudah jadi? Dan ada juga yang menasihatkan agar saya tidak melayan jolokkan itu atas berbagai alasan, dan setelah berbincang dengan beberapa individu yang saya segani, memang saya memutuskan untuk tidak melayan jolokkan-jolokkan nakal itu.
Sebagai seorang manusia biasa saya tidak dapat menyembunyikan kelukaan hati, kalau musuh yang bersikap dan berperangai demikian tak mengapa, tetapi ini kawan.
Dalam pada itu beberapa sahabat telah bangkit untuk mempertahankan yang hak. Mereka seperti saya kecewa dengan tohmahan yang telah dihamburkan lalu bangkit untuk “put the record straight”, memang mungkin tidak boleh memuaskan hati yang empunya badan, tetapi sekurang-kurangnya memberikan respon sebagaimana yang dikehendaki si empunya badan itu.
Semoga Allah melindungi kita semua.
Berikut respon dari Adinda Yusainie dalam blognya:
http://jihadtegakislam.blogspot.com/2008/10/kita-pun-mesti-ikut-al-quran.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan