12 September 2008 - ISA Kembali……
3 orang telah ditahan dengan I.S.A hari ini (12 September 2008) iaitu Raja Petra Kamaruddin, Tan Hoon Cheng (Wartawan Sin Chew Daily) & YB Teresa Kok telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini.
Bagi aku, apa jua kesalahan yang dilakukan oleh ketiga-tiga mereka (setakat ini) ini, wajib dibicarakan di Mahkamah. Menahan tanpa bicara, adalah satu kezaliman. Apa jua kesalahan yang dilakukan oleh mereka, bukan tiket untuk menahan secara membuta tuli!
Pak Lah boleh bagi apa jua alasan, tetapi ‘Imam Besar Hadhari’ mesti akui ISA adalah akta yang paling kejam yang masih bermaharajalela di Malaysia. Bagi aku, yang menganut AGAMA ISLAM, aku WAJIB MENENTANG AKTA I.S.A ini. Ia ZALIM….! ZALIM…! ZALIM…!
Tulisan dari saifulislam.com mungkin boleh menyedarkan kepada kita betapa zalimnya ISA ini.
Antara Kamunting dan Guantanamo Bay
Terdiam seketika.
Sejarah memutarkan skripnya dengan lakonan kaum-kaum yang bersilih ganti. Tetapi dek kerana segalanya datang dari akal, hati dan nafsu makhluk yang sama bernama manusia, perbezaan zaman tidak membezakan kelakuan.
Hati saya terasa pedih semasa mengulas kisah Yusuf ‘alayhi al-Salam, tatkala tiba ke tafsiran ayat ke-35.
Kemudian timbullah fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu masa. [Yusuf 12: 35]
Biar pun telah nyata segala pembuktian, bahawa segala kejadian berpunca dari isteri al-’Aziz dan wanita bangsawan yang bersama, Yusuf jua yang akhirnya dihumban ke penjara. Bahkan Yusuf lebih merelakan dirinya untuk dipenjara bersama kesucian prinsip berbanding hidup bebas tetapi memikul kekotoran nafsu wanita-wanita kelas tinggi itu.
Segalanya ditunjukkan Allah… suami yang menjadi Menteri Utama, bacul dan dayus hingga tiada upaya mengawal kelakuan isteri. Nafsunya pula disokong oleh ‘datin-datin’ yang ber’makar’ untuk menundukkan Yusuf kepada kehendak mereka… segalanya adalah skrip yang sama. Kejelekan golongan bangsawan di sepanjang zaman, hingga akhirnya Yusuf dan figura seperti baginda itu jua yang menelan padah.
Bukanlah penjara itu kemuncak segala derita. Sakitnya hukuman itu ialah pada dua realiti yang ada:
- Yusuf tidak bersalah
- Pemenjaraannya tanpa had masa.
Dipenjara tanpa kesalahan adalah suatu kezaliman. Ia jadi lebih zalim apabila tiada perbicaraan sempurna yang dijalankan. Pensabitan hanya atas budi bicara manusia pemegang cemeti lagak al-’Aziz dalam kisah Yusuf. Dan segala kezaliman itu disempurnakan dengan hukuman tanpa had masa.
Tatkala Allah SWT mengungkapkan di dalam ayat itu, bahawa hukuman tahanan ke atas Yusuf adalah ‘hingga ke suatu masa’, saya tidak dapat lari dari tersungkur di hadapan segala keperitan yang ditanggung oleh tahanan ISA di negara kita. Yusuf dan mereka yang terkurung atas nama ISA, bukan dipenjara tetapi mereka ditahan. Ia bukan hukuman, tetapi suatu bentuk penyeksaan.
Masakan tidak?
Ditahan tanpa bicara.
Ditahan tanpa had masa.
Biar pun pemenjaraan berlangsung dengan ketetapan 30 tahun, sekurang-kurangnya 30 tahun itu boleh dihitung. Setiap satu hari berlalu, memendekkan tempoh 30 tahun yang telah ditentu. Tetapi tatkala penahanan berlaku tanpa had masa, ia membunuh segala harapan.
Tanpa harapan tiada kekuatan.
Tanpa kekuatan, manusia mati sebelum mati.
Perasaan saya yang sungguh berkecamuk tatkala menelaah Surah Yusuf ditimpa lagi oleh rasa sedih, marah, panas dan membara tatkala menatap pemergian al-marhumah Aina Mardiah Shahrial yang kembali ke Rahmatullah semalam (3 Julai 2008). Anak gadis ini koma di Hospital Kajang selepas terjatuh di rumahnya.
Sungguh memilukan, Aina Mardiah sudah sejak sekian lama tidak menatap wajah ayahnya, Shahrial Sirin yang ditahan di Kem Kamunting sejak 7 tahun lalu! Beliau kembali kepada Allah dalam kerinduan. Membesar tanpa ayah, yang ditahan, bukan dipenjarakan.
Usaha Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA (ISA) untuk mendapatkan pelepasan Shahrial Sirin berdepan dengan birokrasi Napoleonik yang sungguh luar biasa. Shahrial akhirnya tiba di rumah pada jam 9 malam dan hanya dibenarkan oleh pihak polis bersama jenazah anaknya serta ahli keluarga yang lain selama satu jam!
Sesungguhnya setiap titis air mata yang mengiringi pemergian adik Aina Mardiah Shahrial, adalah minyak yang menyalakan kemurkaan Allah ‘Azza wa Jalla terhadap kezaliman yang sudah menjadi pakaian al-’Aziz dan regimnya
Demi Allah, saya tidak dapat melihat di manakah bezanya antara regim yang mempertahankan kem Guantanamo Bay dan kem ISA Kamunting di negara kita. Jika al-’Aziz dan empayar Mesir serta sekalian yang mengikut jejak kezaliman mereka tumbang di dalam sejarah, mengapa harus kezaliman hari ini, rasa aman dan terkecuali dari hukuman-Nya?
Saya tidak berpendapat bahawa kezaliman ini terbit dari apa-apa ideologi yang menjadi pegangan kuasa yang memerintah. Sama ada kezaliman itu datang dari kelakuan seorang yang ‘muslim’ atau pun ‘kristian’, hakikatnya ia hanyalah kehendak hawa nafsu manusia durjana yang sanggup melakukan apa sahaja demi survival dan kelangsungan kuasa mereka.
Dari Abi Dzar al-Ghifari –semoga Allah meredhainya- dari Nabi saw., menyampaikan apa yang diterimanya dari Rabbnya, bersabda, “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku dan Aku menjadikannya haram di antara kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi.” (H.R. Muslim)
Semoga kematian yang menimpa adik Aina Mardiah menjadi kerehatan buat diri al-marhumah daripada kepenatan dunianya yang penuh kesedihan dan penindasan itu.
1 ulasan:
Keberanian Membina sebuah Malaysia Baru.
-----------------------------------
Kini ialah tahun 2008. Tahun inilah rakyat Malaysia terbangkit dari tidur yang nyenyak. Kebanyakan rakyat terlalu sibuk mencari nafkah dan membina hidup mereka untuk memperhatikan zaman telah berubah dan idealisma yang didukung oleh Bapa-bapa pengasas negara masih belum tercapai untuk negara sahingga hari ini.
Tidaklah lama dahulu pada tahun 1957 dan untuk seteman kita di Malaysia Timur pada tahun 1963, idealisma dan impian yang diucapkan oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Bapa Kemerdekaaan dan Bapa Malaysia) untuk Malaysia diumumkan dan disambut dengan penuh kegembiraan didalam hati sanubari rakyatnya. Allahyarham Tunku Abdul Rahman mempunyai impian dan idealisma sama seperti Martin Luther King, Gandhi, Nelson Mandela dan ramai lagi termasuk nabi-nabi sepanjang sejarah manusia.
Kerapkali impian-impian tersebut dirampas dan diselewengkan dibawah kepura-puraan nasionalisma, perkauman dan idealisma keagamaan oleh ahli-ahli politik dan orang-perseorangan yang memilih dan melantik sendiri sebagai jaguh kebenaran dan beriman (Little Napoleon). Individu yang membangkit meneruskan idealisma tersebut tidak dibenarkan bersuara, diasingkan, dibankrapkan, dicercakan, dipulihkan dan lebih teruknya dipenjarakan cuma kerana tidak mengikut aliran impian dan idealisma agenda-agenda parti terpilih.
Undang-undang digubal dan diluluskan sewenang-wenangnya di Parliamen untuk mengubah idealisma yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia dan menutup muslihat agenda parti dan individu. Memang betul diperkatakan Malaysia mengikut peraturan proses demokratik seperti yang dipraktiskan kebanyakan negara-negara barat semasa pilihan raya (walaupun tercemar tetapi tidak terbukti). Tetapi, selepas sahaja diberikan kepercayaan dan dipilh sebagai pemimpin atau wakil rakyat, idealisma persendirian dan parti mengantikan idealisma nasional dan personaliti Jeykll dan Hyde timbul kembali untuk diulangi pada setiap pilihan raya besar dan kecil.
Rakyat Malaysia telah dipimpin secara tersesat sekian lamanya sahingga apa yang benar dikaburkan, apa yang salah ditoleransikan, apa yang jahat ditutupkan, apa yang adil disebut sebagai tidak adil, apa yang tidak bermoral dijadikan bermoral dan korupsi dan tutup sebelah mata menjadi-jadi dan perlu diterima sebagai kehidupan harian kita. Iri hati, kebencian, ketamakan, perkauman, perampuk dan sifat setan mulai membiak di minda rakyat Malaysia dan sahabat, kawan dan rakyat Malaysia sejagat diperlihatkan sebagai musuh dan manusia tidak setanding. Sekali sekala, pemikiran seperti ini dilontarkan kepada negara asing yang tidak sebangsa dan seagama sendiri.
Minda dan jiwa rakyat Malaysia telah dicemari dan diracuni bertahun-tahun lamanya sahingga ternampak macam Malaysia sahaja yang paling betul dan kita harus memerintah dunia mengikut acuan kita. Contoh negara-negara yang mengikut Malaysia ataupun yang kita mengikut
mereka adalah seperti Korea Utara, Zimbabwe dan Israel. Apakah justifikasi yang boleh diberikan kepada generasi sendiri ataupun generasi rakyat Malaysia yang akan datang tentang apa yang kita buat kepada manusia sejagat terutama kepada rakyat Malaysia sejagat adalah betul dan adil padahal ia dibuat atas pengorbanan dan sengsaraan manusia sejagat iaitu rakyat Malaysia sendiri.
Bolehkah kita memperkatakan, saya melakukannya demi menurut perintah dan arahan Tuhan atau agenda politik parti? Siapakah yang memberikan kamu inspirasi dan idealisma tersebut? Jangan sekali-kali mengampuni minda dan ketamakan sendiri atau menumpang diatas minda dan ketamakan orang lain. Jangan memetik dan memilih dalam kitab-kitab Tuhan atau Undang-undang manusia untuk menjustifikasikan atau menyesuaikan mengikut idealisma dan kehendak minda kamu yang tersongsang. Kamu boleh menipu yang lain atas kejahilan atau emosi mereka pada masa tertentu tetapi tidak akan dapat menipu suara hati manusia atau anak sendiri dan barangkali suatu hari nanti diri sendiri apabila nur cahaya mendatangkan kepada kamu.
Keberanian mengubah yang tak betul di Malaysia untuk mencapai idealisma bapa-bapa pengasas negara tidak mustahil. Kebanyakan rakyat Malaysia telah membangkit dan sedar bahawa masa hadapan negara akan ditentukan oleh warganegara sendiri melalui suara hati mereka dengan panduan kepercayaan kepada agama masing-masing untuk hidup berharmoni dan produktif secara betul dan tidak mengikut acuan politik, perkauman atau keagamaan yang dikutbahkan.
Agenda parti dan persendirian tidak boleh diutamakan berbanding idealisma dan harapan bapa-bapa pengasas untuk semua rakyat Malaysia. Agama dan prinsip-prinsip adalah panduan kepada suara hati kamu untuk menentukan sesiapa yang menjadi pemimpin tidak mengsongsangkan rakyat Malaysia ataupun masyarakat.
Kerana pada akhirnya, apa yang adil dan benar tentu diutamakan oleh setiap pemimpin ataupun agenda parti masing-masing.
Adakah Wakil Rakyat kamu ataupun Kamu! mempunyai Keberanian?
http://patek1472.wordpress.com
Catat Ulasan