"Saya hanya akan menamakan mereka pada masa yang sesuai. Ini adalah persefahaman...perjanjian dengan teman-teman (para anggota parlimen itu)," katanya.
Walaupun ketika berkali-kali ditanya oleh media massa tempatan dan asing yang meliputi pertemuannya dengan Ikatan Cendikawan Muslim Indonesia (ICMI) di sini hari ini, beliau enggan menyatakan siapa atau berapa bilangan anggota Parlimen BN yang sudah mengesahkan menyeberang ke pihaknya.
Anwar menjelaskan bahawa harapan beliau berjumpa dengan ICMI adalah kerana menganggap pertubuhan Islam di Indonesia penting baginya, seperti juga di Malaysia.
Anwar, yang tetap yakin bahawa impiannya akan menjadi kenyataan pada 16 September, mendakwa beliau tidak menghadapi sebarang masalah lagi untuk mencapai tujuan itu.
Sambil menegaskan bahawa media massa di Malaysia tidak bebas dan hanya melaporkan berita dari sudut pandangan kerajaan Barisan Nasional, Anwar berkata beliau dapat memberikan kepastian kepada media massa Indonesia dan asing bahawa 'penghijrahan wakil-wakil rakyat BN' akan terjadi 16 September ini walaupun di Malaysia dilapor tidak akan berlaku.
Mengulas lawatan yang dirancang untuk anggota-anggota Parlimen BN ke luar negera sehingga 16 September, beliau berkata, "Saya akan tangani hal ini bila pulang ke Kuala Lumpur petang ini".
Beliau masih mendakwa mendapat maklumbalas positif daripada anggota-anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak malahan juga dari Semenanjung Malaysia. Mstar
MB Selangor yakin Pakatan 'on track' menuju 16 September
MENTERI Besar Selangor merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap yakin Pakatan Rakyat mampu merealisasikan impiannya untuk membentuk kerajaan persekutuan pada 16 September ini.
Beliau turut percaya Pakatan kini berada pada 'track' yang betul seperti yang dirancang oleh penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Khalid turut yakin akan ada ahli parlimen dari BN akan menyeberangi sempadan polititik dan melompat ke Pakatan bagi membentuk kerajaan.
Anwar yang sedang melakukan lawatan kerja di Indonesia masih yakin beliau akan berjaya membentuk kerajaan baru pada 16 September ini.
Ketika bercakap kepada wartawan di Jakarta, Indonesia, Anwar berkata, "respons awal daripada ahli-ahli Parlimen kerajaan adalah positif."
"Hanya isu sekarang ialah mereka (kerajaan) hendak memaksa ahli-ahli Parlimen (BN) berkunjung ke China atau ke negara-negara lain sehingga selepas 16 September, jadi kami terpaksa menghadapi keadaan itu.
"Kemungkinan kami akan menemui mereka pada 17 hari bulan kerana mereka akan kembali pada 17 (September)," kata Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat yang berada di Jakarta untuk menghadiri seminar lapor akhbar Mstar.
Difahamkan Anwar akan kembali ke ibu negara hari ini.
Menurut Mstar lagi Anwar dipercayai ada menemui beberapa ahli Parlimen berhubung isu melompat parti di ibu negara Indonesia itu.
"Rancangan untuk membentuk kerajaan baru pada 16 September, diketuai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih aktif," kata Khalid di Klang.
Ketika ditanya sama ada sasaran 16 September menjadi realiti, Khalid yang juga Ketua PKR Selangor berkata, partinya tidak mahu mengatakan apa-apa buat masa sekarang.
"Kami tidak mahu buat spekulasi. Kami tidak membuat penilaian berdasarkan spekulasi," kata beliau ketika ditemui di dewan serbaguna Teluk Pulai. Klang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan