PRESIDEN Umno Abdullah Ahmad Badawi hanya mengulas ringkas apabila ditanya mengenai hasrat Mahathir Mohamad untuk kembali semula ke dalam Umno dengan berkata; kita bincang hal Ahmad Ismail saja", apabila ditanya mengenai hal itu oleh wartawan.
Jawaban ringkas tetapi padat itu memberi tafsiran bahawa beliau mungkin tidak setuju dengan cadangan dikemukakan oleh Muhyiddin Yassin itu yang meminta Mahathir kembali ke dalam Umno.
Mudah saja untuk difahami kenapa kalau Abdullah tidak setuju kerana Mahathir menjadi masalah kepadanya.Jadi cadangan Muhyiddin itu menyenakkan ulu hati Abdullah maka eloklah kalau beliau tidak melayaninya!
Muhyiddin pula tentu ada motif tersendiri kenapa beliau mengajak Mahathir agar kembali dalam Umno? Alasan yang beliau berikan Mahathir dapat memperkuatkan Umno dan BN. Secara tidak langsung alasan Muhyiddin itu Umno kini berada dalam keadaan lemah dan tidak ada siapa boleh mengubatinya lagi sehingga terpaksa memanggil bekas pemimpinnya.
Kalau dalam hikayat wayang kulit bila pengasuh tua (Pak Dogol) dipanggil kembali agar pulang semula ke negeri yang dinyahkan itu bermakna negeri itu berada dalam keaadaan kucar kacir dan di ambang kemusnahan.
Begitu juga dengan Umno kini. Kalau sampai Mahahtir diminta kembali semula ia menggambarkan Umno dalam keadaan teruk kalau pun tidak nazak.
Apakah Mahathir mampu berbuat sesuatu kepada Umno? Apakah beliau ada kuasa jin dapat memperbaiki keadaan Umno hari ini yang semakin tersisih dan di ketepikan rakyat?
Sepatutnya Muhyiddin tidak mengemukakan cadangan demikian dan beliau perlu arif dengan realiti yang berlaku disebabkan Mahathir. Beliau mungkin tahu kemusanahan Umno sebagai wadah perjuangan Melayu bermula ditangan Mahathir. Kenapa beliau tetap berminat dengan Mahathir, mungkin Muhyiddin ada agenda lain yang agak personal.
Antara penyebab kenapa Umno berada dalam keadaan dibenci kini ialah kerana Mahathir juga. Stail, dasar dan sikap liberal beliau dalam menguruskan parti berkenaan sehingga menyebabkan semangat Melayu tulen terhakis dari kerajaan yang dibentuk oleh parti berkenaan.
Jadi apabila orang berpenyakit diajak menyertai Umno semula pasti Umno akan jadi bertambah sakit dan ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang semakin meruncing itu.
Cadangan Muhyiddin itu tidak masuk akal sama sekali melainkan ia dilihat kerana menyelitkan motif tertentu yang mudah untuk diteka. Umno harus diberi dan diserahkan kepada orang lain yang masih belum ada rekod mengkhianati perjuangan orang Melayu itu.
Untuk tujuan ini kenapa Umno begitu liat untuk mencari seseorang yang lain sebagai pengganti kedua mereka itu - Mahathir dan Abdullah? Dalam hal ini Tengku Razaleigh Hamzah nampaknya relevan dan boleh dijadikan penyelamat kepada Umno.
Tengku Razaleigh mampu menjadi nakhoda bagi menyelamat kapal bernama Umno yang semakin senget dan retak di sana sini itu. Dalam keadaan Umno kini sudah kehilangan semangat Melayu adalah sangat elok kalau ianya diserahkan kepada anak raja itu yang kelihatan mempunyai semangat Melayu yang tinggi.Beliau boleh dan mampu menyuntik semula nasionalisme dalam Umno.
Selain daripada itu kepakaran beliau dalam bidang pengurusan kewangan dan ekonomi terbukti menjadi apabila terbangunnya beberapa institusi kewangan dan ekonomi semasa beliau menjadi Menteri Kewangan dulu.
Nama-nama seperti Petronas, Pernas, Bank Bumiputeran, pembinaan lebuh raya adalah antara institusi ekonomi, kewangan dan idea prasarana negara yang seninom dengan beliau. Kita percaya kalau beliau diberi peluang, Tengku Razaleigh mampu berbuat sesuatu yang lebih daripada itu.Kalau dengan hanya sedikit kuasa beliau dapat melakukan sesuatu yang kini mengkagumkan kita apa lagi kalau diberikan kuasa yang lebih besar.
Umno harus berani membuat perubahan dan mencuba khidmat seorang pakar baru untuk membina semula partinya. Tidak ada guna kalau terus menggunakan pakar atau arkitek yang ternyata tidak dapat menyegarkan jiwa Umno seperti mana diharapkan. Kedegilan ahli Umno untuk melakukan anjakan paradigma ia akan memusnahkan parti berkenaan.
Dalam hal ini ahli Umno sepatutnya tidak terikat dengan stigma atau pun label yang telah dilemparkan kepada Tengku Razaleigh oleh seseorang yang menilainya dengan hasad dengki dan dendam kerana cara penilaian itu amat tidak adil.
Apa kata kalau ahli Umno ramai-ramai sepakat untuk mencuba khidmat Tengku Razaleigh bagi memperbaiki keadaan Umno dengan memberikan ruang untuknya mengadu nasib sebagai Presiden Umno pada Disember nanti! ~ MSO
1 ulasan:
Dr. M umpama doktor keluarga yang lebih memahimi sejarah penyakit yang mungkin dihidapi. Jumpa Doktor pun kena yang pakar baru boleh diubati dan diiktiraf. Kalau tak tidak lah sah. Tapi ingat untuk mendapatkan pendapat lain sebab penyakit pun berevolusi. Bukan semua pakar Doktor boleh mengubati penyakit walau pun Doktor tu pakar khusus sakit tertentu kalau niatnya adalah menjadi Doktor sebab gaji lumayan. Macam kalau sakit kecemasan pergi hospital pakar, mereka akan minta deposit duit dulu bukan terus buat pemeriksaan pesakit untuk selamatkannya. Dah faham sakit sendiri patut pun tahu apa perlu buat untuk sekurang kurang meringankan kesakitan atau beban sakit.
Catat Ulasan